Topic followed successfully
Go to BHku‘Meriah Lain Macam’: Sambutan Lebaran artis serantau curi tumpuan
‘Meriah Lain Macam’: Sambutan Lebaran artis serantau curi tumpuan
Peluang rasa air tangan bintang, sulam ikatan kekeluargaan
‘Meriah Lain Macam’: Sambutan Lebaran artis serantau curi tumpuan
Di celah-celah kesibukan dunia seni, Aidilfitri menjadi ruang bagi artis serantau menyulam kembali ikatan ukhuwah dengan keluarga, sanak saudara mahupun sahabat handai.
Menjelang penghujung perayaan Syawal penuh makna ini, Berita Harian (BH) melampirkan foto-foto gembira artis di Singapura, Malaysia dan Indonesia, berlebaran bersama keluarga tersayang.
Gaya Raya Artis Singapura
Suasana Lebaran 2026 bertambah seri dengan perkongsian foto keluarga daripada barisan artis tempatan terkenal menerusi laman media sosial, baru-baru ini.
Kita dapat lihat kemeriahan sambutan Hari Raya yang diraikan deejay stesen Inggeris, 987, dan pengacara Manja, Natasha Faisal; pelakon yang juga usahawan dan ejen hartanah, Lydia Izzati; serta pelakon lelaki pujaan ramai, Hisyam Hamid, yang masing-masing meluangkan masa bermutu bersama anak-anak tercinta.
Natasha, 30 tahun, kelihatan anggun memperagakan busana Melayu berwarna biru kehijauan atau teal blue, yang juga merupakan antara tema warna Hari Raya 2026, di samping suami tercinta, Iqmal Jumaat, 35 tahun, dan kededua anak mereka, Luna, enam tahun; dan Mawi, dua tahun.
Walaupun sibuk sepanjang Ramadan lalu menguruskan gerai sate goreng, Satay Ummi, di bazar Ramadan di Geylang Serai dan Arab Street, pelakon, usahawan dan ejen hartanah, Lydia Izzati, 34 tahun, tetap tidak melepaskan peluang menyambut Aidilfitri dengan penuh keceriaan bersama kededua anaknya, Eliya Izara, tujuh tahun; dan Emir Ilyas, empat tahun, serta suaminya, Zaki Affandi, 32 tahun.
Hari Raya kali ini turut disambut penuh makna apabila anak sulung Lydia, Eliya, buat julung-julung kalinya tampil di kaca televisyen menerusi program kanak-kanak bertema Raya, Juara Mic Junior (JMJ) Magika Raya.
Ia disiarkan di saluran Mediacorp Suria pada 21 Mac lalu.
Bak kata pepatah, ‘jauh di mata, dekat di hati’, begitulah yang mungkin terbit dalam perasaan pelakon ‘kegilaan’ kaum Hawa, Hisyam Hamid, bersama dua permata hatinya, Nurish Syameliah, 18 tahun, dan Hayden, 16 tahun.
Meskipun sibuk dengan kerjaya lakonan di Malaysia dan penggambaran bagi filem aksi, Black Ops: Operasi Serigala, Hisyam, 40 tahun, tidak melupakan tanggungjawabnya sebagai bapa tunggal.
Menerusi perkongsian di wadah Instagram, jelas terpancar keakraban beliau menyambut Aidilfitri bersama kededua anaknya itu.
Ini menjadi bukti sesibuk mana pun kerjayanya, ikatan kekeluargaan tetap menjadi keutamaan.
Riang Raya Artis Malaysia Bersama ‘Orang Baharu’
Ada juga yang menyambut Aidilfitri 2026 dengan pasangan baharu.
Pasangan selebriti, Fattah Amin, 35 tahun, dan Amira Othman, 32 tahun, menyambut Aidilfitri pertama sebagai pasangan suami isteri.
Amira siap tampil dengan lagu Hari Raya baharu, Bincang Raya (nyanyian Amira Othman dan Irfan Haris), yang kini sudah mencapai 7.8 juta tontonan di laman YouTube, sehingga akhbar ini diterbitkan.
Memang ‘ngam’ pasangan suami isteri ini, lebih-lebih lagi dengan kehadiran puteri kesayangan Fattah, Nur Fatima Aisya, enam tahun, yang memeriahkan lagi suasana Lebaran.
Sementara itu, penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, turut meraikan Aidilfitri bersama Anggota Parlimen Muar yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sebelum pasangan itu mengumumkan pertunangan mereka pada 28 Mac, bersamaan 9 Syawal di Taman Bukit Bamboo, Kuala Lumpur, Malaysia.
Bella, 32 tahun, dan Syed Saddiq, 33 tahun, kelihatan manis menggayakan busana Melayu berona merah jambu, di samping kededua anak Bella, Mohamad Ayden Adrean, sembilan tahun; dan Ara Adreanna, enam tahun.
Meski Sederhana, Kemeriahan Aidilfitri Artis Indonesia Tetap Terasa
Dalam satu perkongsian di Instagram, Datuk Seri Rossa, 47 tahun, mengakui Aidilfitri 2026 hadir dengan kelainan apabila beliau menjadi tuan rumah dengan mengundang sekitar 100 ahli keluarga ke kediaman ibunya, Eni Kusmiani, di Sumedang, Bandung, Indonesia.
Lebih istimewa, penyanyi lagu, Ayat-Ayat Cinta, itu memilih untuk tidak menggunakan khidmat katering, sebaliknya menyediakan juadah daripada gerai kaki lima yang menjadi kegemaran keluarganya sejak dahulu.
Acara ‘rumah terbuka’ tersebut turut diserikan dengan pelbagai permainan yang mengeratkan lagi hubungan silaturahim.
“Semoga tradisi berkumpul ini terus berkekalan dan menjadi penguat buat kami semua, seperti pesan kakek (datuk) agar kami sentiasa saling menyayangi dan menjaga antara satu sama lain selamanya,” tulisnya.
Setiap kali Aidilfitri, penyanyi popular Indonesia, Bunga Citra Lestari, 43 tahun, aktif berkongsi detik kesibukannya di dapur menerusi akaun Instagram miliknya, menyediakan pelbagai juadah untuk menjamu tetamu.
Antara hidangan yang sering menjadi kegemaran dan dinanti-nantikan ramai di rumah Bunga ialah rendang khas Padang serta kek coklat hasil air tangannya sendiri.

