SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Jiwa besar bintang kecil Adrianna Putri ligat beraksi dalam bidang lakon

Jiwa besar bintang kecil Adrianna Putri ligat beraksi dalam bidang lakon

Mar 30, 2026 | 5:30 AM

Jiwa besar bintang kecil Adrianna Putri ligat beraksi dalam bidang lakon

adrianna putri
Bintang cilik, Adrianna Putri, yang juga anak saudara penyanyi tempatan, Rahila Rashun, tampil lebih berani meneroka kemampuan lakonannya melalui watak yang menuntut kedalaman emosi dan penghayatan mantap. - Foto INSTAGRAM ADRIANNA PUTRI

Dikenali sebagai bintang cilik berjiwa besar, Adrianna Putri, semakin menambat hati peminat dan penggiat seni berkat komitmen dan dedikasi luar biasa.

Dalam wawancara bersama Berita Harian (BH) baru-baru ini, penyanyi dan guru vokal, Nana Karia, menyifatkan Adrianna, 11 tahun, sebagai pelakon cilik yang matang.

Pengakuan itu dibuat ketika Nana dan Adrianna digandingkan pada pusingan akhir program realiti terbitan Mediacorp Suria, Berani Lakon!, dan Adrianna memegang watak sebagai anak kepada watak Hana (lakonan Nana).

Adrianna sendiri tidak menyangka naskhah itu mampu meninggalkan kesan emosi yang begitu mendalam.

Biarpun ia merupakan gandingan sulung mereka, keserasian yang terjalin menjadi titik permulaan keakraban istimewa antara Adrianna dengan Nana.

“Ketika itu, saya cuba membayangkan perasaan seorang ibu yang sangat menginginkan anak.

“Perjuangan dan cabaran yang dilalui oleh seorang wanita yang sukar mendapatkan zuriat memang amat menyentuh hati.

“Bagi saya, Mama Nana (panggilan untuk Nana) seorang yang mudah diajak berbincang.

“Antara kenangan yang buat hati saya terkesan semasa lakonan itu ialah ketika mata saya bertemu mata Mama Nana. Timbul satu perasaan yang sukar digambarkan sehingga kami menangis.

“Malah, selepas persembahan tamat, di belakang pentas, kami saling berpelukan sambil masih menitiskan air mata,” ujar Adrianna, ketika dihubungi BH melalui Zoom pada 20 Mac.

Walaupun bakatnya pernah dipandang remeh kerana usianya yang masih setahun jagung, Adrianna kekal positif dan menumpukan sepenuh perhatian bagi membuktikan kebolehan melalui mutu kerja yang dihasilkan.

Hasilnya, Adrianna, yang merupakan anak saudara penyanyi tempatan, Rahila Rashun, dicalonkan dalam kategori Bintang Cilik Terbaik dalam acara meraikan bakat tanah air dan rantau ini, iaitu Pesta Perdana 2025.

Dia dicalonkan hasil persembahan cemerlang dalam drama, Mencari Marina, terbitan Poetry In Motion.

Bagi Adrianna, pencalonan buat julung-julung kalinya itu merupakan satu penghormatan besar, mengiktiraf bakat lakonannya yang semakin mendapat perhatian ramai.

“Pencalonan itu sangat bermakna buat saya. Saya berasa amat gembira dan bersyukur.

“Ia juga satu penghormatan untuk dicalonkan bersama pelakon cilik berbakat lain seperti Nik Aqimi, Shaqeel Jailani dan pemenang kategori tersebut, Mishall Kiara.

“Kenangan paling saya ingati daripada drama, Mencari Marina, ialah peluang bekerja bersama bintang legenda, Fauziah Latiff, selain bekerjasama dengan pasukan penerbitan sepanjang Ramadan,” kongsi Adrianna, yang bakatnya dicungkil melalui program Juara Mic Junior 2, pada 2023.

Si cilik dengan senyuman manis itu turut mengakui watak yang dibawakannya dalam drama itu, amat mencabar kerana menuntut penghayatan emosi yang mendalam.

“Salah satu watak paling mencabar yang pernah saya bawakan ialah Marina dalam drama, Mencari Marina, kerana saya perlu menampilkan emosi yang mendalam serta mengharungi adegan berat, terutamanya babak menikam ayah sendiri.

“Bagi membuat persiapan, saya banyak berlatih dialog dan cuba menyelami perasaan watak tersebut,” ceritanya, yang memulakan perjalanan lakonan seawal empat tahun dengan menghasilkan video di laman TikTok.

Baru-baru ini, Adrianna merupakan salah seorang bakat cilik yang menjayakan program kanak-kanak bertema Raya, Juara Mic Junior (JMJ) Magika Raya.

Rancangan itu disiarkan di Mediacorp Suria, pada 21 Mac lalu.

Adrianna memegang watak sebagai Ayla, seorang kanak-kanak yang dibawa ke dalam dunia khayalan, dan dia menyedari nilai sebenar Aidilfitri yang berpaksikan pengampunan, kesyukuran, kasih sayang dan kebersamaan.

Menurutnya, cabaran seperti tersasul atau terlupa dialog semasa rakaman berlangsung adalah perkara yang lumrah bagi pelakon cilik seusianya.

“Apabila berdepan dengan situasi seperti terlupa skrip atas pentas, saya akan cuba bertenang sambil melemparkan senyuman dan mengulang semula babak itu.

“Saya sedar kesilapan sebegini adalah lumrah, jadi saya kekal fokus dan tampil yakin untuk meneruskan rakaman tersebut,” ujar Adrianna.

Rancangan Juara Mic Junior (JMJ) Magika Raya boleh ditonton semula melalui aplikasi mewatch.

Salah satu watak paling mencabar yang pernah saya bawakan ialah Marina dalam drama, ‘Mencari Marina’, kerana saya perlu menampilkan emosi yang mendalam serta mengharungi adegan berat, terutamanya babak menikam ayah sendiri. Bagi membuat persiapan, saya banyak berlatih dialog dan cuba menyelami perasaan watak tersebut.
Adrianna Putri.
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg