Topic followed successfully
Go to BHkuLydia Izzati ‘Remuk’ dihimpit persiapan Raya sambil niaga di bazar
Lydia Izzati ‘Remuk’ dihimpit persiapan Raya sambil niaga di bazar
Sekian lama tidak muncul di TV, tauke Satay Ummi sahut cabaran bawa watak ditimpa duka, gembira anak sulung ikut jejak dunia hiburan
Lydia Izzati ‘Remuk’ dihimpit persiapan Raya sambil niaga di bazar
Setiap Hari Raya, pelakon yang juga ejen hartanah dan tauke Satay Ummi, Lydia Izzati, ‘kecoh’ membuat persiapan Lebaran.
Manakan tidak? Selepas sibuk berniaga di bazar sepanjang Ramadan, Lydia, atau nama sebenarnya, Lydia Izzati Jasmian, 34 tahun, hampir tiada masa mencari kelengkapan Raya.
“Masalah ini memang berlaku setiap tahun. Selepas sebulan sibuk di bazar, menjelang minggu terakhir Ramadan, masih ada sahaja barang yang belum dibeli.
“Kadang-kadang saya akan muat naik hantaran di Instagram Story dan bertanya, ‘Siapa ada kuih Raya?’
“Tapi kali ini, Alhamdulillah, saya mampu selesaikan persiapan baju Raya sebelum Ramadan, semasa bercuti di Kuala Lumpur.
“Tahun lepas (2025) lebih huru-hara sebab saya baru sahaja pindah rumah. “Entah mengapa malam Raya itu jugalah saya mahu pindah, dan bazar pula sedang bongkar tapak.
“Saya sampai di rumah sekitar 5 pagi,” kata Lydia, ketika ditemui Berita Harian (BH) di Mediacorp Campus, baru-baru ini.
Jadi peniaga di bazar bukanlah perkara mudah bagi anak pelakon veteran, Jasmian Basri itu, apatah lagi dengan isu tenaga kerja yang sentiasa menjadi cabaran utamanya.
Lydia menyedari cabaran tersebut kerana kerja di bazar menuntut pekerja berdiri lama dan kecekapan menyiapkan tempahan pelanggan secepat mungkin.
“Isu tenaga kerja memang sentiasa menjadi cabaran, terutamanya dalam perniagaan makanan dan minuman (F&B).
“Bagi Satay Ummi pula, kerja kami dianggap berat. Tak ada unsur glamor bekerja sambil berdepan dengan bahang asap dan berpeluh-peluh.
“Adakalanya, kami ambil pekerja, tetapi selepas dua atau tiga hari, mereka tidak dapat memberikan komitmen penuh.
“Lebih mencabar lagi pada bulan puasa, apabila pekerja berpuasa, berdepan cuaca panas terik, sambil membakar sate… memang tidak mudah.”
“Matlamat kami sentiasa sama, iaitu melayan pelanggan secepat mungkin tanpa menjejas mutu makanan.
“Namun, apabila berniaga pada Ramadan, cabarannya bertambah. Kami perlu mengutamakan pelanggan.
“Kalau boleh, memang ingin semuanya siap sebelum waktu berbuka, tetapi kadangkala terpaksa berkorban dan mula berbuka puasa lambat sedikit,” kata satu-satunya anak perempuan dan yang ketiga dalam keluarga empat beradik, yang semuanya lelaki itu.
Dalam pada itu, bak pepatah Melayu, ‘bagaimana acuan, begitulah kuihnya’, pelakon Jeritan Sepi itu turut meluahkan rasa teruja apabila anak sulungnya, Eliya Izara Muhammad Zaki, tujuh tahun, buat julung-julung kalinya tampil di kaca televisyen menerusi program kanak-kanak bertema Raya, Juara Mic Junior (JMJ) Magika Raya.
Program Juara Mic Junior (JMJ) Magika Raya disiarkan pada 21 Mac lalu, 10 pagi di saluran Mediacorp Suria.
Meskipun diberikan tempoh persiapan yang singkat, Lydia sebagai ibu turut turun padang membantu anaknya menghafal skrip serta menguasai gerakan tarian sebelum sesi rakaman pada 1 Februari.
“Sebenarnya, tempoh persiapan yang diberikan hanyalah sekitar dua minggu.
“Pihak penerbitan memaklumkan tentang penglibatan Eliya dalam JMJ Raya sekitar minggu pertama atau kedua Januari.
“Dia juga hanya sempat menjalani tiga sesi latihan bersama barisan artis cilik lain untuk penggambaran program ini.
“Jadi, saya memang berasa risau untuknya kerana ada banyak perkara yang perlu diingat, termasuk skrip, lagu dan juga tarian.
“Setiap kali pulang dari sekolah, kami akan memainkan lagu-lagu tersebut di rumah agar Eliya dapat mengikutinya dan berlatih.
“Untuk skrip pula, Alhamdulillah, Eliya tidak mempunyai dialog yang panjang. Semuanya ringkas, dan dia berjaya menghafalnya dalam tempoh yang diberikan,” ujar ibu dua anak itu.
Menurutnya, beliau tidak dapat membendung air mata ketika melihat puteri kesayangannya itu memberikan persembahan yang cemerlang di atas pentas.
“Apabila melihatnya begitu yakin atas pentas, saya rasa sangat terharu sehingga menitiskan air mata.
“Saya melihat sendiri betapa bersungguh-sungguhnya dia berlatih di rumah, dan dalam tempoh singkat yang diberikan, ia sememangnya bukan sesuatu yang mudah.
“Bagi orang dewasa sahaja, tempoh dua minggu itu pun boleh membuatkan kita terkial-kial. Namun, kelebihan kanak-kanak pada usia ini ialah mereka mudah menyerap apa yang dipelajari.
“Misalnya, Eliya dapat menguasai gerakan tarian dengan cepat, walaupun pada awalnya sedikit sukar,” ceritanya lagi.
Pada masa sama, kata Lydia, pengalaman Eliya dalam menghasilkan kandungan bagi mempromosikan produk suplemen kanak-kanak yang diuruskannya, Omiee, dan dimuatnaikkan di laman media sosial, turut membantu Eliya berasa lebih selesa di hadapan kamera.
Eliya yang ada di sisi ketika wawancara ini diadakan pula berkongsi dia tidak berasa gementar ketika berada di atas pentas kerana ditemani rakan artis lain seperti Adrianna Putri dan Sofia Adelia.
“Saya berasa gembira dapat berada di atas pentas dan menjadi sebahagian daripada JMJ Raya.
“Sejujurnya, saya tidaklah berasa gementar.
“Kebanyakan barisan artis cilik pernah terlibat dalam edisi tahun lalu (2025), dan mereka banyak membantu saya sepanjang proses ini.
“Selain itu, ibu saya juga banyak membantu dari segi penghafalan skrip.
“Kami guna masa dalam kereta, ketika dalam perjalanan ke Mediacorp, untuk hafal skrip,” kata Eliya, yang baru memasuki Darjah Satu.
Sementara itu, selepas sekian lama tidak muncul di kaca televisyen, Lydia kembali membintangi drama terbaharu di saluran Mediacorp Suria berjudul Remuk, yang telah mula ditayangkan pada 11 Mac.
Drama Remuk turut menampilkan barisan pelakon seperti Fadhlur Rahman, Hamidah Wahab, Suzairhe Sumari, Farah Lola dan Yusoff Maruwi.
Remuk ialah siri drama memuatkan 13 episod tentang kisah kesan rapuh selepas kemalangan pelbagai kenderaan yang tragik, sambil menyingkap kehidupan tiga keluarga yang terikat oleh kesedihan dan rasa bersalah.
“Sebenarnya, kali terakhir saya berlakon pada 2019.
“Selepas itu, ada juga beberapa tawaran, tetapi bukan untuk drama bersiri panjang.
“Kebanyakannya saya terpaksa tolak kerana ketika itu saya agak sibuk menguruskan perniagaan.
“Bukan tiada tawaran…ada sahaja, namun saya tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya.
“Dalam masa sama, saya juga memberi tumpuan kepada keluarga, termasuk menyambut kelahiran anak kedua, Emir Ilyas, yang kini berusia empat tahun.
“Jadi apabila ditawarkan watak dalam drama Remuk, saya terus menerimanya kerana naskhah tersebut menarik dan sesuatu yang belum pernah saya cuba sebelum ini,” kongsi Lydia.
Lydia memainkan watak seorang wanita, Ziana, yang telah berkahwin lebih lima tahun dan sedang mencuba untuk mendapatkan zuriat, namun berdepan dengan cabaran keguguran.
Lebih tragis, dia kemudian mendapat tahu suaminya berlaku curang.
Drama Remuk, kini boleh ditonton di saluran Mediacorp Suria, setiap Isnin hingga Rabu, bermula 9.30 malam.

