Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Iskandar Ismail anggap kisah silam kegagalan rumah tangga sebagai pengajaran

Bintang ‘Gegar Vaganza 12’ langkah ke peringkat separuh akhir, sudah rakam OST drama 60 episod Astro
Jan 11, 2026 | 5:30 AM
Gegar Vaganza 12, gv12, iskandar ismail, eiss
Penyanyi Singapura yang kini sedang berjuang dalam pertandingan realiti kegemaran ramai, ‘Gegar Vaganza 12’ (GV12), Iskandar Ismail, atau lebih mesra disapa Eiss, tidak segan berkongsi sebahagian kisah hidupnya pada umum termasuk kisah kegagalan rumah tangga yang pernah dilaluinya. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Adat hidup berumah tangga, pasti ada pasang surutnya.

Setelah melalui bahtera perkahwinan sebanyak tiga kali, penyanyi Singapura yang kini sedang berjuang dalam pertandingan realiti kegemaran ramai, Gegar Vaganza Musim 12 (GV12), Iskandar Ismail, 47 tahun, tidak segan berkongsi sebahagian kisah hidupnya.

“Saya tidak boleh terus-menerus menyembunyikan kehidupan saya.

“Ramai tahu saya sudah berkahwin sebanyak tiga kali, dan perkahwinan kedua saya adalah dengan seorang wanita bukan Melayu, dari Scotland.

“Anak perempuan sulung saya kini pun sudah dewasa, dan berusia 19 tahun... rasa masa begitu pantas berlalu.

“Walaupun banyak yang telah saya lalui, alhamdulillah, saya bersyukur kerana nafkah yang diberikan untuk anak sulung saya tidak pernah putus.

“Setiap minggu, dia akan menghantar pesanan dan meninggalkan kata-kata semangat untuk saya.

“Saya rasa amat gembira kerana dia masih mengingati saya, dan hubungan kami tetap baik walaupun jarang berjumpa,” kata Iskandar, atau lebih mesra disapa Eiss, yang kini bahagia bersama isterinya, Norazura Mohd Ismail.

Hasil perkahwinan selama 13 tahun itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan berusia tujuh dan sembilan tahun.

Menyentuh pengalaman hidup yang penuh asam garam serta masam manisnya, anak kedua dalam keluarga empat beradik itu akur kematangan diri menjadi tonggak rumah tangga kini kekal bertahan.

“Bagi saya, kaum lelaki macam saya ni matang lambat sedikit.

“Apabila saya muhasabah diri, saya berfikir, ‘Adakah saya akan mengulangi kesilapan lama?’ Saya sudah melalui dua perkahwinan sebelum yang ketiga ini.

“Melalui perkahwinan ketiga, saya belajar untuk membina kekuatan emosi dan kedewasaan dalam diri saya.

“Setiap perkahwinan pasti ada pasang surutnya. Tetapi, apabila sudah lebih matang, saya lebih bijak mengatasi masalah dalam rumah tangga,” katanya lagi, sebelum bercerita lanjut tentang penglibatan di GV12.

Wawancara bersama Berita Minggu (BM) itu berlangsung di Restoran Permata sekitar Kampong Gelam, baru-baru ini.

Menurut ‘jago kampung’ itu, pertandingan GV12 membuka ruang baginya meneroka cara persembahan di luar zon selesa.

“Berbanding pertandingan nyanyian lain yang pernah saya sertai, pentas GV12 ini mempunyai kelainan tersendiri.

“Dalam masa 12 minggu ini, setiap peserta pasti akan menghadapi fasa ‘naik turun’ dalam persembahan. Itu perkara biasa.

“Jadi, kekuatan mental dan fizikal itu sangatlah penting.

“Di GV, peserta bukan sahaja menyanyi semata-mata tetapi perlu menari dan memberi perhatian pada stage act atau persembahan atas pentas.

“Ada kalanya, saya juga rasa persembahan saya pada minggu tertentu kurang memenuhi jangkaan tinggi yang saya tetapkan.

“Tetapi, saya memegang satu prinsip kuat iaitu untuk sentiasa memperbaiki diri dan belajar perkara baru,” kongsi juara peraduan SG Mania (Musim Pertama) pada 2014 itu.

Selain itu, anak biduan Allahyarham R. Ismail itu akur sokongan serta dorongan berterusan daripada syarikat pengurusannya kini, MindOrder, banyak membantu memperhalusi dan memperkasa persembahannya setiap minggu, bak berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Dikatakan sebelum ini, Eiss sudah tidak mahu berkecimpung dalam bidang nyanyian di kelab malam lagi dan berhasrat untuk bertukar angin.

Malah, beliau juga sempat mengambil kursus menjadi jurulatih renang bagi kanak-kanak.

“Pada usia saya ini, saya menginginkan kehidupan lebih stabil dan teratur.

“Saya sudah rancang untuk bertukar haluan dari segi kerjaya iaitu menjadi jurulatih renang bagi kanak-kanak.

“Tetapi perancangan itu berhenti di tengah jalan kerana mendapat tawaran bertanding dalam GV12.

“Sebenarnya, saya tidak mahu masuk pun pertandingan ini. Untuk memberikan komitmen penuh selama tiga bulan, saya rasa ia perkara yang sukar dan berat.

“Namun, apabila saya melihat kesungguhan Murshid Eunos, yang menguruskan MindOrder, serta pasukannya yang turut meneliti latar belakang serta persembahan saya lebih dahulu, semangat saya menghidupkan kembali nama sendiri semakin menyala,” ujar Eiss.

Beliau telah memeterai kontrak bersama MindOrder sebelum menyertai GV12.

MindOrder turut menguruskan artis ternama Malaysia lain seperti Erra Fazira, Noraniza Idris, Fasha Sandha dan juara GV6, Naqiu Boboy.

Apabila ditanya mengenai persembahan paling mencabar di GV12 setakat ini, Eiss dengan pantas menyifatkan tugasan pada minggu kelima sebagai yang paling sukar, apabila beliau mempertaruhkan lagu Kelentang Kelentong yang dipopularkan oleh Hael Husaini.

“Minggu itu, saya menerima tantangan untuk menyanyi sambil menari. Itulah minggu paling mencabar bagi saya.

“Banyak perkara yang perlu saya latih.

“Setiap sesi latihan pula disertai maklum balas daripada guru yang menasihati pergerakan tarian yang sesuai selepas rangkap tertentu dalam lagu,” ceritanya, yang belum pernah membawakan lagu itu di mana-mana, selain di pentas GV.

Bagaimanapun, pengalaman 25 tahun Eiss menyanyi di kelab malam sedikit sebanyak memberi kelebihan dari segi stamina untuk persembahannya di GV12.

“Ketika masih aktif di kelab malam, saya biasanya menyanyi sekitar 30 lagu setiap malam.

“Dari segi stamina, saya sudah ada. Tetapi, yang paling penting ketika membuat persembahan dalam peraduan, saya perlu ingat lirik.

“Maklumlah, bila sudah berumur 47 tahun, loading (proses ingat lirik) pun lambat!” seloroh Eiss.

Sebelum GV12 melabuhkan tirainya, beliau telah pun merakamkan lagu tema bagi sebuah drama Malaysia yang bersiaran di Astro dan memuatkan sebanyak 60 episod.

Dengan semangat baru yang diraih sepanjang penglibatan dalam peraduan tersebut, pintu rezeki bagi Eiss menempa nama di pasaran Malaysia kini semakin luas, dan itulah menjadi tumpuan utamanya setelah tamat peraduan GV12.

Pada minggu separuh akhir (11 Jan), Eiss bakal mempertaruhkan lagu Iris, dendangan asal Datuk Awie, dan lagu berbahasa Sepanyol, Despacito, oleh Luis Fonsi.

GV12 disiarkan di saluran Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV) setiap Ahad, mulai 9 malam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg