Kehilangan ibu tercinta membuatkan dunia penyanyi tempatan, Iskandar Ismail, atau lebih mesra disapa, Eiss, terhenti seketika.

Selepas pemergian insan yang sentiasa menyokong perjalanan seninya itu, Eiss, 47 tahun, mengambil keputusan berehat selama tiga minggu daripada kegiatan seni untuk memberi ruang kepada dirinya menenangkan hati.

Namun di sebalik kesedihan itu, tersimpan sekelumit penyesalan iaitu arwah ibunya, Allahyarhamha Rokiah Mat Shukor, tidak berpeluang menyaksikan sendiri perjuangannya di pentas Gegar Vaganza 12 (GV12).

Kata Eiss, pihak penerbitan ketika itu sudah menyediakan tiket penerbangan dan penginapan untuk membawa ibunya ke Kuala Lumpur, Malaysia.

Namun, anak biduan Allahyarham R. Ismail itu terpaksa melupakan hasrat tersebut kerana keadaan ibunya yang menghidap demensia.

“Saya sedih kerana tidak dapat membawa ibu ke Kuala Lumpur.

“Disebabkan demensia, emosinya ketika itu tidak menentu.

“Ada masanya beliau marah, sedih dan ada kalanya beliau okey.

“Saya bimbang untuk membawanya ke sana.

“Tetapi saya sempat memberitahunya saya menyertai GV12 dan beliau sangat gembira.

“Kalau arwah bapa masih ada, saya rasa beliau juga pasti amat bangga.

“Saya tahu mereka bangga dengan saya,” kata Eiss kepada Berita Minggu (BM) ketika ditemui di restoran Permata, sekitar Kampong Gelam, baru-baru ini.

Allahyarhamha meninggal dunia pada usia 75 tahun di kediamannya di Edgefield Walk pada 29 April selepas mengalami sesak nafas.

Bagaimanapun, kehilangan itu bukan satu-satunya ujian besar yang pernah ditempuhi anak kedua dalam keluarga empat beradik itu.

Belajar hargai kesihatan

Di sebalik kelincahannya di pentas, Eiss pernah melalui detik mencemaskan pada 2005 apabila masalah kesihatan memaksanya menggunakan beg stoma, iaitu sejenis kantung kecil kalis air untuk mengumpul sisa tubuhnya yang dilekatkan pada bahagian bawah badannya, selama hampir lima tahun.

Masalah itu bermula selepas bapa tiga anak berusia tujuh, sembilan dan 19 tahun itu, mengalami kesukaran membuang air besar sehingga berlaku koyakan dalaman dan jangkitan di bahagian tulang ekor.

“Apabila doktor memberitahu saya perlu menggunakan beg stoma, saya benar-benar tertekan.

“Namun, sepanjang hampir lima tahun menggunakannya, saya masih menyanyi dan membuat persembahan tanpa ramai mengetahui keadaan saya.

“Ketika masih muda, kesakitannya tidak begitu terasa.

“Tetapi semakin berusia, saya mula merasakan kesannya, termasuk ketika menyertai GV12.

“Selepas menyanyi dan menari, saya biasanya berendam dalam air panas untuk melegakan badan,” ujarnya.

Eiss akur pengalaman itu membuatnya lebih menghargai kesihatan, apatah lagi kesan pembedahan pada bahagian tulang berkenaan masih dirasainya sehingga kini.

Berani teroka sisi baharu

Di samping itu, pengalaman menyertai GV12 turut membuka ruang bagi Eiss meneroka sisi muzik berbeza menerusi single terkininya, Aku Salah, gubahan komposer Indonesia, Ilham Baso dan Mohsen.

Dikenali dengan kekuatan vokal lantang dan kecenderungan terhadap muzik rok, Iskandar menyifatkan lagu bernuansa ‘galau’ (sedih, kecewa dan patah hati) itu sebagai satu sisi baharu yang belum pernah diterokainya sebelum ini.

“Ini kali pertama saya menghasilkan lagu seperti Aku Salah. Cabarannya memang besar.

“Ketika merakamkannya di Jakarta, Indonesia, bahagian ‘verse’ (rangkap) sahaja mengambil masa hampir sejam kerana saya perlu mendapatkan ‘feel’ (penghayatan) yang tepat.

“Saya sudah biasa dengan ‘belting’ (menyanyi kuat dengan penuh jiwa raga) dan menyanyikan lagu rok, jadi apabila dapat lagu ini, saya rasa ia sesuatu yang sangat berbeza daripada apa yang biasa orang dengar daripada saya.

“Sebagai penyanyi, proses pembelajaran tidak pernah berhenti.

“Setiap genre memerlukan pendekatan berbeza dan saya banyak belajar daripada lagu ini,” kongsi Eiss.

Daripada empat lagu yang diperdengarkan kepadanya di sebuah studio di Kuala Lumpur, Eiss akhirnya memilih Aku Salah, yang membawa kisah penyesalan dan rasa bersalah akibat kesilapan yang meninggalkan luka dalam sebuah percintaan.

Dalam perkembangan lain, Eiss, yang kembali ke pentas pertandingan Anugerah 2026, terbitan Mediacorp Suria sebagai juri undangan pada minggu pertama yang berlangsung pada 25 Ogos, melihat barisan peserta kali ini mempunyai potensi besar.

Berbekalkan pengalaman sendiri sebagai Naib Juara Anugerah 2001 dan Juara GV12, Iskandar memilih pendekatan lebih membina ketika memberikan komen.

Menurutnya, tekanan yang dihadapi peserta di pentas membuatkan beliau lebih berhati-hati agar teguran tidak mematahkan semangat mereka.

“Saya pernah berada di tempat mereka, jadi saya tahu ketegangan yang mereka alami di atas pentas.

“Kalau terlalu banyak kata-kata negatif diberikan, ia boleh menjejaskan mereka.

“Sebab itu, saya lebih memilih untuk memberi kata-kata semangat agar mereka lebih yakin dengan kemampuan sendiri dan terus berusaha memberikan yang terbaik.

“Namun, mereka tetap perlu membuat persiapan secukupnya, termasuk menghafal lirik, memahami penghayatan lagu dan memanfaatkan ruang pentas dengan sebaik-baiknya,” kata Eiss.

Beliau turut mengingatkan peserta supaya bijak memilih lagu yang sesuai dengan kekuatan suara masing-masing, apatah lagi apabila tempoh yang diberikan untuk membuat persembahan agak singkat.

“Masa satu minit lebih itu bukan panjang, jadi gunakan sepenuhnya.

“Jangan simpan-simpan, berikan segala-galanya,” tambahnya, selain akur persembahan Izzan Adlan, Banie dan Falisha, cukup menarik perhatiannya pada minggu pertama.

Pertemuan bermakna bersama peminat

Sebagai buah tangan terkini buat peminat, Eiss turut memperdengarkan Aku Salah buat kali pertama di hadapan khalayak ramai semasa sesi kenal suai yang berlangsung di restoran Permata, pada 29 Ogos.

Eiss (tengah) meluangkan masa beramah mesra bersama peminat yang tidak pernah putus memberikan sokongan terhadap perjalanan seninya.
Eiss (tengah) meluangkan masa beramah mesra bersama peminat yang tidak pernah putus memberikan sokongan terhadap perjalanan seninya. - Foto BM oleh FANDY RAZAK

Acara itu cukup bermakna buat Eiss kerana selepas 25 tahun berkecimpung dalam dunia seni, ia menjadi sesi kenal suai pertama yang diadakannya khusus untuk mendekati dan bermesra dengan peminat.

Selain sesi soal jawab, Iskandar turut menghiburkan peminat dengan lagu Bourgenvilla yang dipopularkan kumpulan Spring, sebelum acara diteruskan dengan kegiatan karaoke berantai menerusi lagu Madah Berhelah (Datuk Ziana Zain).

Sebagai tanda penghargaan, peminat turut menghadiahkan Eiss seutas jam tangan, kaca mata serta bingkai berisi kata-kata semangat buat penyanyi itu.

Meskipun sudah dua dekad menempa nama dalam industri hiburan, Eiss tetap menjadikan pesanan arwah ibu bapanya sebagai pedoman untuk kekal merendah hati.

“Ibu bapa saya mendidik saya supaya menghormati orang sejak kecil.

“Daripada didikan itu, saya belajar untuk sentiasa merendah hati.

“Apabila memasuki dunia hiburan, banyak yang saya pelajari. Tetapi ibu bapa saya sentiasa mengingatkan saya supaya jangan sombong.

“Itulah nasihat yang saya pegang dalam hati sehingga hari ini,” kata Eiss.

Lagu Aku Salah kini boleh didengarkan di semua platform digital.

Pesanan arwah ibu dan bapa kekal dalam ingatan

“Ibu bapa saya mendidik saya supaya menghormati orang sejak kecil. Daripada didikan itu, saya belajar untuk sentiasa merendah hati. Apabila memasuki dunia hiburan, banyak yang saya pelajari. Tetapi ibu bapa saya sentiasa mengingatkan saya supaya jangan sombong. Itulah nasihat yang saya pegang dalam hati sehingga hari ini.”
Iskandar Ismail, atau dikenali sebagai Eiss.