Ibarat kata pepatah, ‘jauh di mata, dekat di hati’, meskipun terpisah jarak, kasih sayang dan ikatan tetap utuh.

Ungkapan itu tepat menggambarkan keadaan hati kumpulan asal Indonesia yang juga Naib Juara Gegar Vaganza 12 (GV12), Mendua, yang tetap mahu memelihara hubungan dengan peminat di Malaysia dan Singapura meskipun berjauhan.

Ikatan itu kemudian digambarkan menerusi lagu terbaharu, Jarak, gubahan komposer Indonesia, Arlan Djoewarsa, sebagai tanda penghargaan terhadap mereka yang terus menyokong perjalanan seni Mendua.

“Sewaktu berbincang dengan pencipta lagu, kami ceritakan latar belakang bagaimana Mendua terbentuk, termasuk perjalanan dan perjuangan kami di Indonesia dan Malaysia.

“Apabila menghampiri penghujung GV12, kami terfikir untuk menghasilkan satu single yang boleh meninggalkan kesan mendalam.

“Akhirnya, sahabat kami, Carla, menghasilkan lagu dengan tema sejagat, khususnya buat peminat di Malaysia dan Singapura.

“Sepanjang menyertai GV12, ramai juga peminat dari Singapura yang sanggup datang memberikan sokongan, malah ada yang menemui kami di lapangan terbang.

“Pengalaman dan sokongan itulah yang turut menjadi inspirasi terciptanya Jarak,” kata anggota Mendua, Mariska Friska Halauwet, 43 tahun, atau lebih mesra disapa, Sasha, kepada Berita Harian (BH) menerusi Zoom, baru-baru ini.

Selain Sasha, Mendua turut dianggotai Hendra Purnanto (Pungky), 47 tahun; dan Diana Puspitasari, 43 tahun.

Sebelum ini, nama Mendua mula dikenali selepas menyertai program realiti TV3, Gang Starz, pada 2007.

Biarpun pernah dianggap sebagai kumpulan ‘one-hit wonder’ (hanya dikenali menerusi satu lagu hit) menerusi Hampir Ke Situ, yang mendapat sambutan baik di Malaysia dan Singapura sekitar 2006, Mendua tidak menjadikan kejayaan lagu itu sebagai tekanan ketika menghasilkan Jarak.

Sebaliknya, mereka lebih teruja kerana masih diberi ruang untuk kembali berkarya.

“Kalau ditanya tentang tekanan, bagi saya tidak ada. Tetapi harapan itu tentunya sangat besar.

“Saya sedar, kalau kita melakukan sesuatu kerana tekanan atau menganggapnya sebagai beban sehingga tidak lagi menikmatinya, hasilnya mungkin tidak akan sebaik yang diharapkan.

“Ketika mengerjakan Jarak, semuanya dilakukan dari hati.

“Bagi saya, bukan dalam berkarya sahaja, apa pun yang kita lakukan setiap hari akan menjadi lebih baik apabila dibuat dengan hati,” ujar Pungky, yang baru sahaja menyambut ulang tahunnya pada 9 Ogos lalu.

Biarpun kini sibuk dengan kerjaya dan tanggungjawab keluarga masing-masing, Mendua tetap memperuntukkan sekurang-kurangnya sehari untuk berkumpul dan menjalani latihan bersama.

Sasha, ibu tiga anak berusia enam, 10 dan 16 tahun, berkhidmat sebagai doktor bedah umum.

Diana pula mengusahakan perniagaan berasaskan buah-buahan dan makanan sihat, di samping menguruskan tiga anaknya yang berusia lapan, 11 dan 15 tahun.

Sementara itu, Pungky terus aktif dalam bidang seni suara di Indonesia.

Bagi mereka, pertemuan secara bersemuka penting untuk mengekalkan keserasian dan ikatan sebagai kumpulan.

Selepas dua dekad, pengalaman dan fasa kehidupan yang berbeza turut membentuk pendekatan Mendua dalam berkarya.

Bagi Pungky, pengalaman menjadikannya lebih bijak mengawal emosi dan susunan dalam muzik.

“Dahulu, terlalu banyak yang saya mahu masukkan sehingga kadangkala seperti ‘roller coaster’.

“Sekarang, saya lebih tahu bila muzik perlu tenang dan bila dinamiknya perlu ditingkatkan.

“Saya juga lebih memikirkan susunan muzik yang tidak membebankan mereka berdua (Sasha dan Diana),” kata Pungky.

Sasha dan Diana pula tidak lagi terlalu mengejar kejayaan seperti di awal kerjaya seni mereka.

Sebaliknya, mereka lebih menghargai peluang untuk kembali bersatu sebagai kumpulan.

“Dahulu, kami sentiasa mahukan yang terbaik dan mahu jadi nombor satu.

“Sekarang, dapat berkumpul semula, diberikan kesihatan dan keizinan daripada keluarga untuk berkarya pun sudah cukup menggembirakan.

“Dahulu kami masih gadis, kini masing-masing pun sudah mempunyai keluarga dan tanggungjawab,” kata Sasha dan Diana sepakat.

Lagu Jarak kini boleh didengar di seluruh wadah digital.