Topik diikuti
Pergi ke BHkuFilem ‘The Voice of Hind Rajab’ tinggalkan luka yang sukar dilupa
Filem ‘The Voice of Hind Rajab’ tinggalkan luka yang sukar dilupa
Tragedi sebenar kanak-kanak Palestin, Hind Rajab, dipapar dengan penuh emosi
Filem ‘The Voice of Hind Rajab’ tinggalkan luka yang sukar dilupa
Kebanyakan filem perang memilih untuk memaparkan kemusnahan melalui letupan, tembakan dan gambaran yang mengerikan bagi memperlihatkan keadaan sebenar yang dilalui manusia.
Bagaimanapun, filem drama dokumentari, The Voice of Hind Rajab, mengambil pendekatan yang sederhana, tetapi kesannya begitu menusuk ke hati.
Hanya dengan mendengar satu suara kecil yang dipenuhi ketakutan sudah cukup untuk menghancurkan perasaan penonton yang mengisi pawagam, The Filmhouse, sekitar Golden Mile Tower, baru-baru ini.
Diangkat daripada tragedi sebenar yang menggemparkan dunia pada Januari 2024, filem ini mengisahkan nasib Hind Rajab, kanak-kanak perempuan Palestin berusia enam tahun, yang terperangkap di dalam sebuah kereta di utara Gaza selepas anggota keluarganya menjadi mangsa serangan.
Dikelilingi mayat bapa saudara dan empat sepupunya, Hind menjadi satu-satunya mangsa yang masih hidup.
Hind, yang bersembunyi di bawah tempat duduk kereta, menghubungi Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin untuk meminta bantuan, tanpa mengetahui sama ada dirinya akan diselamatkan atau menjadi mangsa seterusnya.
Penonton yang mengikuti perkembangan konflik di Gaza mungkin sudah mengetahui pengakhiran kisah Hind.
Ambulans yang dihantar tidak berjaya menyelamatkannya, malah pasukan paramedik yang menuju ke tempat tersebut turut terkorban.
Namun begitu, bagi saya, mengetahui pengakhiran itu tidak sedikit pun mengurangkan ketegangan.
Sebaliknya, setiap minit yang berlalu terasa semakin menyeksakan kerana penonton hanya mampu berharap agar keajaiban berlaku, walaupun hakikatnya sejarah telah tertulis.
Keberanian pengarah asal Tunisia, Kaouther Ben Hania, terserlah apabila beliau memilih untuk mengehadkan hampir keseluruhan jalan cerita di pusat panggilan kecemasan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin.
Meskipun keputusan tersebut mungkin menyebabkan filem terasa sedikit mendatar, Ben Hania bijak memanfaatkan ruang terhad itu sebagai nadi utama penceritaan, sekali gus menimbulkan ketegangan dari awal hingga akhir.
Saya dapat rasakan setiap panggilan telefon, wajah yang cemas dan saat yang berlalu seperti satu perlumbaan masa.
Kekuatan terbesar filem ini sudah tentu terletak pada penggunaan rakaman suara sebenar Hind Rajab, yang diambil daripada arkib rakaman asal.
Tangisan, ketakutan dan harapan yang semakin memudar itu kedengaran begitu nyata sehingga membuatkan saya, termasuk ramai penonton lain benar-benar merasai keadaan yang dilaluinya.
Sepanjang tayangan yang berlangsung selama sejam 10 minit itu, suasana panggung begitu sunyi sehingga setiap esakan kecil penonton cukup jelas didengari.
Tiada latar muzik atau dialog dramatik yang bermain dengan perasaan penonton.
Hanya bunyi nafas, suara di hujung talian dan penantian yang terasa tidak berkesudahan cukup mencengkam dada.
Sedang Hind menantikan ketibaan pihak ambulans, penonton turut dihimpit rasa cemas, seolah-olah setiap minit yang berlalu semakin menipiskan harapan Hind untuk diselamatkan.
Dari sudut lakonan pula, pelakon kacukan Canada-Jordan, Saja Kilani, merupakan tunjang utama emosi filem menerusi watak Rana Hassan Faqih, penyelia pusat panggilan kecemasan di Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin.
Persembahannya cukup meyakinkan dalam menggambarkan tekanan dan kecemasan petugas yang berhempas-pulas menyelamatkan Hind, namun terikat dengan pelbagai kekangan di luar kawalannya.
Walaupun hanya berinteraksi melalui panggilan telefon, setiap riak wajah, nada suara dan tindak balasnya berjaya menyampaikan rasa cemas, putus asa dan harapan yang silih berganti.
Antara babak yang paling meruntun jiwa saya ialah apabila Rana, yang menyedari ketakutan semakin menyelubungi Hind, membimbing kanak-kanak itu membaca doa melalui telefon sementara pasukan penyelamat masih belum tiba.
Dalam keadaan yang serba tidak berdaya, hanya suara dan kata-kata menjadi penghubung antara Rana dengan Hind.
Bagi saya, Saja Kilani menghidupkan watak Rana dengan penuh kejujuran.
Riak wajahnya yang sarat dengan kebimbangan, nada suara yang sesekali bergetar serta usahanya menyembunyikan rasa putus asa berjaya menyampaikan beban emosi yang ditanggung Rana.
Malah, saya sendiri dapat berasakan beratnya penantian itu, sedangkan saya hanya menyaksikannya dari kerusi pawagam.
Sukar dibayangkan penderitaan yang benar-benar dilalui oleh mereka pada ketika itu.
Sebagai penutup, Ben Hania menayangkan gambar kereta yang menjadi tempat persembunyian Hind, yang musnah akibat serangan.
Gambaran itu tidak bertujuan mengejutkan penonton, sebaliknya menjadi noktah yang menyedarkan segala debaran, doa dan harapan yang mengiringi perjalanan filem ini berakhir kelam.
Turut dipaparkan ialah nasib pasukan paramedik yang terkorban ketika cuba menjalankan misi menyelamat.
Pengakhiran itulah yang melengkapkan lagi kekuatan penceritaan, The Voice of Hind Rajab.
Kesan emosinya begitu mendalam sehingga dewan pawagam diselubungi kesunyian, seolah-olah tiada kata-kata yang mampu menggambarkan beratnya kehilangan yang baru sahaja disaksikan.
Filem, ‘The Voice of Hind Rajab’, boleh ditonton di pawagam The Filmhouse.
“
“Sepanjang tayangan yang berlangsung selama sejam 10 minit itu, suasana panggung begitu sunyi sehingga setiap esakan kecil penonton cukup jelas didengari. Tiada latar muzik atau dialog dramatik yang bermain dengan perasaan penonton. Hanya bunyi nafas, suara di hujung talian dan penantian yang terasa tidak berkesudahan cukup mencengkam dada. Sedang Hind menantikan ketibaan pihak ambulans, penonton turut dihimpit rasa cemas, seolah-olah setiap minit yang berlalu semakin menipiskan harapan Hind untuk diselamatkan.”