Topik diikuti
Pergi ke BHkuFilem ‘Al-Awda’ papar realiti perjuangan kemanusiaan penuh jujur
Filem ‘Al-Awda’ papar realiti perjuangan kemanusiaan penuh jujur
Pengarah Jason Soo selamatkan baki rakaman, abadikan misi buka mata dunia
Filem ‘Al-Awda’ papar realiti perjuangan kemanusiaan penuh jujur
Tidak semua dokumentari memerlukan lambakan rakaman atau visual yang megah untuk meninggalkan kesan mendalam pada penonton.
Ada kalanya, kesederhanaan itulah yang menjadi kekuatan utama sesebuah karya.
Itulah yang saya rasakan selepas berpeluang menonton dokumentari Al-Awda di Filmhouse, sekitar Golden Mile Tower, baru-baru ini.
Meskipun dihasilkan daripada bahan rakaman yang agak terhad, dokumentari arahan pengarah tempatan, Jason Soo, itu berjaya memikat perhatian saya dari awal hingga akhir menerusi jalan cerita yang disusun dengan kemas.
Ini setelah sebahagian besar rakaman Soo dirampas tentera Israel.
Beliau kemudian mengambil masa enam tahun bagi menyusun semula dokumentari itu dengan menggunakan baki rakaman yang berjaya diselamatkan serta video daripada aktivis lain di atas kapal nelayan kecil, Al-Awda.
Berdasarkan kisah benar, filem Al-Awda merakam pelayaran 22 aktivis dari 15 negara yang belayar menaiki kapal nelayan, Al-Awda pada 2018, dalam satu usaha membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, Palestin.
Turut menyertai misi itu ialah Soo sendiri bersama doktor asal Singapura, Ang Swee Chai, yang juga balu kepada mendiang peguam, Francis Khoo.
Dr Ang merupakan pengasas badan amal yang menyalurkan bantuan perubatan kepada rakyat Palestin, Medical Aid for Palestinians (MAP).
Apa yang paling mengagumkan ialah kemampuan Soo memanfaatkan setiap rakaman yang dimiliki.
Tanpa perlu bergantung kepada suntingan yang berlebihan atau babak yang dramatik, beliau membina jalan cerita yang penuh debaran dengan cukup baik.
Malah, keterbatasan bahan rakaman langsung tidak menjejaskan pengalaman menonton filem ini.
Pendek kata, dalam setiap babak yang dipaparkan, ia seolah-olah mengajak penonton berada sekali gus di atas kapal itu sambil berkongsi debaran, harapan dan ketidakpastian yang dilalui sepanjang misi tersebut.
Dokumentari ini turut memperkenalkan beberapa individu yang mencuri perhatian.
Antaranya bekas juruterbang Tentera Udara Israel, Yonatan Shapira, yang kini aktif memperjuangkan gerakan keamanan; penyanyi dari Sweden, Divina Levrini; dan Profesor Hubungan Antarabangsa di Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr. Mohd Afandi Salleh.
Berdasarkan perkongsian mereka, jelas setiap aktivis digerakkan oleh satu prinsip yang sama, iaitu mempertahankan nilai kemanusiaan yang menjadi hak setiap insan di muka bumi ini.
Kehadiran individu daripada pelbagai latar belakang turut menyerlahkan semangat kemanusiaan yang merentasi batas bangsa, negara dan juga budaya.
Babak yang paling meninggalkan kesan dalam diri saya ialah apabila aktivis menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan dipintas dan ditahan tentera Israel.
Mereka dilatih untuk kekal tenang serta memberi tindak balas secara aman sekiranya berdepan kekerasan.
Bagaimanapun, saat kapal nelayan itu akhirnya dipintas tentera laut Israel, saya menjangkakan dokumentari ini akan memberi tumpuan kepada detik tegang yang berlaku antara dua pihak terbabit.
Namun begitu, yang menyentuh hati adalah apabila Soo memilih untuk merakam bagaimana aktivis saling menenangkan, menguatkan dan memberi sokongan antara satu sama lain ketika berdepan saat getir dan penuh ketidakpastian.
Melihat adegan itu, saya tidak dapat menahan sebak.
Saya tertanya-tanya, ‘Apakah yang bermain di fikiran mereka ketika itu?’
Perasan takut pasti ada, namun mereka tetap memilih untuk meneruskan misi dengan penuh tenang.
Barangkali itulah erti sebenar keberanian. Apa yang paling membekas dalam hati saya ialah kesedaran aktivis akan peluang untuk mereka melepasi sekatan itu amat tipis.
Namun begitu, mereka tetap memilih untuk meneruskan pelayaran kerana percaya usaha tersebut mampu membuka mata masyarakat di seluruh dunia terhadap apa yang sebenar-benarnya sedang berlaku.
Sebagai filem dokumentari bebas, Al-Awda wajar diberikan penghargaan atas keberanian dan ketekunan yang dicurahkan sepanjang proses pembikinannya.
Tayangan Al-Awda seterusnya dijadual berlangsung pada 11 Julai, jam 8.30 malam, di Filmhouse.
Sekiranya menerima sambutan yang memberangsangkan, tayangan bulanan akan diteruskan, bergantung pada kelulusan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).
Tiket bagi tayangan filem dokumentari Al-Awda, boleh didapati di laman https://filmhouse.sg/films/
Sementara itu, bagi mereka yang berminat untuk menaja tiket tayangan filem terbabit boleh lakukan demikian menerusi laman https://alawda.weebly.com/
“
“Berdasarkan perkongsian mereka, jelas setiap aktivis digerakkan oleh satu prinsip yang sama, iaitu mempertahankan nilai kemanusiaan yang menjadi hak setiap insan di muka bumi ini. Kehadiran individu daripada pelbagai latar belakang turut menyerlahkan semangat kemanusiaan yang merentasi batas bangsa, negara dan juga budaya... Sebagai filem dokumentari bebas, Al-Awda wajar diberikan penghargaan atas keberanian dan ketekunan yang dicurahkan sepanjang proses pembikinannya.”