Meskipun bergerak sebagai penerbit bebas, pengarah setempat, Mas Ikhwan, daripada Santai Production, enggan membiarkan kekangan dana membataskan cita-citanya menghasilkan filem dengan skala visual meyakinkan.

Keterbatasan itu malah mendorong Mas Ikhwan, atau nama sebenarnya, Masli Ahmad Basri, 45 tahun, mencari pendekatan berbeza dalam pembikinan filem seram sulungnya berjudul, Tumbal Warisan.

Ia termasuk memanfaatkan pelbagai unsur gambaran seperti teknologi kecerdasan buatan (AI), skrin hijau dan penggunaan kesan visual.

Pendekatan yang disebutnya sebagai pembikinan filem hibrid itu, digunakan bagi memperluas visual filem tanpa bergantung sepenuhnya kepada kaedah biasa yang mungkin memerlukan kos lebih tinggi.

Bagaimanapun, di sebalik penerokaan teknologi tersebut, Mas Ikhwan menegaskan sentuhan manusia tetap menjadi nadi utama pembikinan Tumbal Warisan.

“Asas filem ini tetap menggunakan pelakon, lakonan dan penggambaran sebenar.

“Selepas itu, sesetengah babak digabungkan dengan sentuhan AI, skrin hijau dan kesan visual bagi memperluaskan dunia filem itu.

“Bagi saya, AI bukanlah pengganti pelakon atau pembikin filem.

“Teknologi hanyalah alat untuk membantu visi pengarah menjadi lebih besar, tetapi jiwa dan emosi sesebuah filem tetap datang daripada manusia,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH), baru-baru ini.

Tumbal Warisan mengetengahkan kisah mengenai kesilapan dan perjanjian hitam daripada generasi terdahulu yang meninggalkan kesan sehingga terpaksa ditanggung oleh generasi berikutnya.

Di sebalik unsur seram, filem itu juga mengangkat tema kekeluargaan, keimanan dan penyesalan serta perjuangan memutuskan diri daripada kitaran kejahatan.

Lebih menarik lagi, sebahagian penggambaran itu dilakukan di Batam, Indonesia, kerana menawarkan latar dan suasana yang semakin sukar diperoleh di Singapura.

Usaha merealisasikan Tumbal Warisan turut mendapat sokongan beberapa rakan kerjasama Santai Production, antaranya Hello Logistics Pte Ltd, Keyzievisu, Wishmaster, The Mismatch Podcast, Roti Bakar Leleh dan 145 Studio.

“Batam dipilih kerana masih mempunyai banyak tempat yang sukar ditemui di Singapura sekarang.

“Kawasan kampung, jalan-jalan kecil, hutan dan rumah lama di sana memang cukup kuat dengan suasana Nusantara.

“Saya mahu Tumbal Warisan dekat dengan budaya Melayu, tetapi pada masa sama membawa penonton jauh daripada suasana kehidupan bandar yang biasa kita lihat.

“Jadi, Batam bukan sekadar tempat penggambaran, malah turut membantu memberikan identiti dan suasana tersendiri kepada filem ini,” ujarnya.

Menurut Mas Ikhwan, antara adegan paling mencabar ialah babak kerasukan yang menuntut kerjasama pelbagai bahagian penerbitan, selain daya ketahanan fizikal dan emosi pelakon.

“Babak rasuk memang mencabar kerana pergerakan yang hanya beberapa saat di layar kadangkala perlu diulang berkali-kali untuk mendapatkan sudut kamera berbeza.

“Pelakon juga perlu melakukan pergerakan badan, jeritan dan tangisan, selain mengekalkan ekspresi serta kedudukan tertentu yang agak tidak selesa.

“Jadi, ia memang memerlukan stamina dan kawalan tubuh yang baik.

“Dari segi emosi pula, saya tidak mahu mereka sekadar menjerit atau menunjukkan wajah menakutkan.

“Saya mahu penonton masih dapat rasakan ketakutan dan kesakitan watak itu, termasuk usahanya melawan sesuatu yang menguasai dirinya.

“Apabila lakonan itu sendiri sudah kuat, teknologi hanya digunakan untuk menambah kesan dan menjadikan babak tersebut lebih meyakinkan,” singkap Mas Ikhwan.

Filem itu menampilkan barisan pelakon tempatan seperti Rosita Abu, Jamil Yunos, Syed Ahmad, Afiq Danish dan Layla Wahid.

Menerusi filem sulung itu, Mas Ikhwan mahu membuka mata penonton terhadap kemampuan bakat tempatan, termasuk pengarah, penulis dan penerbit bebas, dalam menghasilkan karya bermutu.

“Kalau selepas menonton nanti penonton kata, ‘Aku tak sangka penerbitan tempatan boleh buat macam ini’, itu bagi saya sudah satu pencapaian yang sangat besar.

“Impian kami bukan sekadar mahu menghasilkan sebuah filem seram, malah membuktikan bakat Singapura juga mampu menghasilkan karya dengan visual, teknologi dan penceritaan yang bertaraf antarabangsa.

“Bagi saya, Tumbal Warisan hanyalah permulaan,” kata Mas Ikhwan.

Filem, Tumbal Warisan, dijadual menemui penonton di pawagam Golden Village pada penghujung 2026, namun tarikh tayangan belum diumumkan secara rasmi.