Penyanyi dan pelakon Malaysia, Daiyan Trisha tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap individu tidak bertanggungjawab atas fitnah kononnya beliau sudah bertukar agama.
Daiyan atau nama sebenarnya, Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin, 32 tahun, menyifatkan perbuatan tidak bertanggungjawab itu sebagai melampau dan memalukan keluarganya sehingga ada yang bertanyakan kesahihan perkara itu kepada orang tuanya.
“Sekali lagi (fitnah itu) keluar, memang kita akan lapor kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan ambil tindakan ke atas akaun itu.
“Saya sudah berbincang dengan pasukan saya mengenai perkara ini. Setakat ini akaun itu tidak muncul lagi, namun jika ia berulang, tindakan undang-undang akan menyusul,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut pelakon drama Projek: High Council itu, beliau pada mulanya enggan memberikan perhatian kepada isu itu kerana menganggapnya sebagai sesuatu yang mengarut.
Bagaimanapun, tindakan individu itu yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menyebarkan fitnah berat itu mula mengganggu emosi keluarganya.
“Saya tak suka sebab orang dah mula tanya keluarga saya, ‘Eh, Daiyan dah tukar agama?’. Ia sangat memalukan keluarga saya.
“Keluarga saya tahu perkara itu tidak betul, cuma mereka sedih bagaimana anak mereka boleh terpalit dengan fitnah seberat itu. Ia sangat teruk,” katanya.
Mengulas mengenai dalang di sebalik akaun itu, Daiyan mendedahkan hasil siasatan peminatnya mendapati akaun berkenaan mempunyai kaitan dengan lokasi di luar negara.
“Ada peminat buat kajian sendiri untuk mengesan akaun itu.
“Walaupun menggunakan nombor telefon Malaysia, namun lokasinya dikesan berada di luar negara. Ia sangat mencurigakan,” katanya.
Dalam pada itu, Daiyan turut meluahkan kebimbangan mengenai penyalahgunaan teknologi AI yang kini digunakan untuk tujuan memudaratkan seperti mengubah identiti agama dan menjatuhkan maruah artis.
“Saya faham AI boleh digunakan untuk kebaikan, tetapi apabila digunakan tanpa tanggungjawab sehingga mengganggu prinsip hidup dan menggantikan bakat manusia, itu sesuatu yang saya sangat tidak suka.
“Gunakanlah minda sendiri dan buatlah kajian dengan lebih berhemah serta bertanggungjawab,” katanya yang dikenali dengan lagu Jatuh, Penat dan Jom Raya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg