Semakin hari, semakin berdebar jiwa raga peserta program realiti Astro, Big Stage X Rocketfuel, yang kini menuju ke garisan penamat.

Persoalannya, siapakah yang bakal bergelar juara musim ini?

Harus saya akui, bahang Big Stage X Rocketfuel kali ini agak lambat dirasakan.

Ada minggu yang mencuri perhatian, ada juga agak mendak.

Namun, setelah berminggu-minggu menyaksikan jatuh bangun peserta, beberapa nama akhirnya mula menyerlah dan menunjukkan potensi sebenar bagi merebut gelaran juara dan hadiah kontrak pembangunan artis bernilai sehingga RM200,000 ($62,623).

Ia turut merangkumi penghasilan ‘single’ dan video muzik, latihan vokal, pembangunan imej, sokongan pemasaran serta bimbingan kerjaya secara profesional.

Selepas Qilo dan Aliff Kimiey tersingkir, yang masih bertahan ialah Ranisha, duo adik-beradik – iaitu Adam dan Nazmie, Hussain, Danial Kifli, Yad-Z dan Danny.

Sebagai satu-satunya peserta wanita yang masih bertahan, Ranisha sebenarnya bukan ‘budak baru’ dalam dunia pertandingan nyanyian.

Juara Idola Kecil 5 yang turut menduduki tempat keempat Mentor 7 itu sudah beberapa kali membuktikan kebolehan ‘memakan’ pelbagai genre.

Antara yang paling melekat di fikiran saya ialah Nak Dara Rindu, lagu Dayang Nurfaizah, yang pada minggu keempat dan diberi nafas baru dengan nyanyian lebih lembut dan mendayu-dayu sehingga mendapat perhatian di media sosial.

Bagi pusingan akhir yang akan berlangsung di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria pada 16 Ogos, Ranisha memilih untuk membawakan lagu Breathe, dendangan penyanyi Korea Selatan, Lee Hi.

Ini bukan kali pertama beliau membawa lagu Korea.

Pada minggu kedua, Ranisha menyanyikan lagu, I Will Show You, nyanyian asal Ailee, sambil menunjukkan kemampuan menari.

Cuma sejujurnya, untuk pentas akhir ini, saya berharap Ranisha memilih lagu yang lebih menyerlahkan identiti dan warna dirinya sebagai penyanyi.

Apa lagi sisi Ranisha yang belum penonton lihat?

Mungkin ada kelainan yang mahu ditonjolkannya menerusi Breathe. Kalau benar, saya memang menantikannya.

Bagaimanapun, tidak hairanlah jika Ranisha menjadi antara nama pilihan untuk dinobatkan juara.

Sejak awal pertandingan, anak kelahiran Labuan itu, merupakan antara peserta yang paling tekal dan kemampuan vokalnya juga sukar dipertikaikan.

Namun begitu, dalam pertandingan seperti Big Stage X Rocketfuel, menyanyi dengan baik setiap minggu mungkin belum memadai.

Apatah lagi, tiga pemenang utama bakal berpeluang meneruskan perjalanan seni menerusi kontrak pembangunan artis bersama syarikat hiburan, Rocketfuel Entertainment, selepas pertandingan berakhir.

Tentunya, pencarian ini bukan sekadar mahu menemukan penyanyi yang bagus, malah bakat yang boleh digilap dan mempunyai nilai tambah untuk diketengahkan dalam industri.

Kalau ada peserta yang membuatkan saya ternanti-nanti apakah yang bakal disajikan setiap minggu, Adam dan Nazmie, antara orangnya.

Dua beradik itu seakan tidak pernah ketandusan idea.

Bagi saya, persembahan Satu (nyanyian asal Allahyarham Tan Sri SM Salim dan Datuk Zainalabidin) pada peringkat separuh akhir antara yang paling menyerlah sepanjang musim, apatah lagi ditutup dengan tarian zapin yang cukup rancak dan bertenaga.

Sampai satu tahap saya terfikir, apalah dua beradik ini tak boleh buat?

Dari segi vokal, harmoni mereka memang antara yang paling sedap didengar musim ini.

Mereka juga tidak takut mencuba dan ‘membaham’ hampir setiap genre yang diberikan.

Dalam persembahan akhir, saya rasa pilihan untuk menyanyikan lagu Arjuna (Dewa 19) adalah tepat.

Lagu itu mampu memberi mereka ruang bermain dengan susunan muzik, harmoni, teknik vokal dan nota tinggi.

Dengan rekod mereka yang gemar memberikan kejutan semasa persembahan, saya tertanya-tanya – apakah ‘kegilaan’ yang bakal disajikan buat kali terakhir?

Harapan saya ialah Adam dan Nazmie kekal berada dalam kedudukan tiga terbaik.

Lagipun, sudah agak lama kita tidak melihat kumpulan duo lelaki yang mampu mencuri perhatian dalam arus perdana.

Antara yang masih saya ingat ialah Azhael (dianggotai Hael Husaini dan Azhar Osman), yang terkenal antara 2013 dengan 2017.

Cuma jika mereka benar-benar mahu dibentuk sebagai artis selepas ini, saya harap mereka diberikan kebebasan untuk menentukan muzik sendiri.

Jangan sampai keistimewaan yang ditonjolkan mereka sepanjang peraduan Big Stage X Rocketfuel, akhirnya hilang hanya kerana perlu mengikut apa yang dianggap ‘laku’ dalam pasaran.

Sementara itu, bakat Hussain pula cukup menarik untuk diperhatikan.

Sepanjang pertandingan, beliau jelas mempunyai tarikan tersendiri dalam kalangan peminat.

Hampir setiap minggu gelaran Rocket Star of the Week menjadi miliknya menerusi undian peminat di laman web, Gempak.

Namun begitu, jika diketepikan dahulu soal populariti, masih ada beberapa perkara yang boleh diperhalusi dari segi vokal.

Ada ketika ketepatan nada dan permainan dinamik vokalnya kurang sekata, terutama dalam lagu yang lebih mencabar, atau balada.

Dalam peringkat akhir, Hussain bakal menyanyikan Seniman Menangis, lagu yang pernah dipopularkan bapa saudaranya, Datuk Jamal Abdillah.

Sejujurnya, apabila melihat pilihan itu, saya sedikit berharap anak seni kelahiran Ipoh, Perak, tersebut memilih lagu lain.

Bukan apa, kita sudah beberapa kali mendengar Hussain membawa lagu bapa saudaranya dalam pertandingan, termasuk sejak Talk To My Manager 2 (TTMM2) lagi.

Namun, jika Hussain berjaya menyuntik cita rasa generasi muda dan mengolah lagu itu mengikut identitinya sendiri, ia mungkin menjadi antara sajian paling menarik pada malam pusingan akhir.

Lebih menarik sekiranya Hussain turut mengiringi nyanyiannya dengan petikan piano, seperti pernah dilakukan Jamal ketika membawakan lagu tersebut.

Yad-Z pula berpotensi menjadi ‘kuda hitam’ selepas tampil dengan persembahan penuh perasaan menerusi lagu, Fatwa Pujangga (Datuk Aishah), dalam pusingan separuh akhir.

Persembahan lagu Jeritan Batinku (Azlan & The Typewriter) pada pusingan akhir, bakal menjadi penentu sama ada beliau mampu mencipta kejutan sekali lagi.

Peserta lain, Danial Kifli memilih lagu Purnama (Naim Daniel), yang cukup dekat dengan kekuatannya dalam lagu balada, manakala Danny mempertaruhkan lagu Romancinta (kumpulan Mojo) selepas menunjukkan peningkatan dari segi vokal dan keyakinan atas pentas.

Lebih penting lagi, kejayaan tidak hanya diukur menerusi gelaran juara.

Ujian sebenar bermula selepas pertandingan berakhir, apabila mereka perlu membuktikan nama dan karya masing-masing masih mampu terus mendapat tempat dalam industri.

Pusingan akhir, Big Stage X Rocketfuel, boleh ditonton di saluran Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV), pada 16 Ogos mulai 9 malam.