Apabila saya menonton semula persembahan musim Big Stage terdahulu di YouTube, saya teringat mengapa program realiti anjuran Astro itu, begitu mengujakan.

Ada persembahan yang membuatkan mata kita tidak berkelip kerana peserta tampil habis-habisan, baik dari segi vokal mahupun persembahan.

Salah satu contoh terbaik ialah persembahan ‘battle’ yang mempertaruhkan medley Denting dan Roman Picisan oleh Aisha Retno bersama Danial Chuer.

Aisha, 25 tahun, yang kini bergelar juri Big Stage X Rocketfuel, mempamerkan keyakinan luar biasa, penguasaan pentas yang mantap, serta keserasian yang menjadikan setiap minit persembahan terasa hidup.

Begitu juga Danial, 25 tahun, yang tidak kurang hebat mempamerkan penguasaan teknik vokal yang mantap.

Malah, beliau berjaya menyampaikan setiap nota tinggi dengan begitu kemas, sesuatu yang bukan mudah dicapai oleh kebanyakan penyanyi lelaki.

Itulah jenis persembahan yang mampu meninggalkan kesan mendalam kepada penonton dan menjadi penanda aras sesebuah pertandingan nyanyian.

Malangnya, selepas tiga minggu pertandingan realiti, Big Stage X Rocketfuel, berlangsung, saya masih belum menyaksikan persembahan yang memberikan kesan sedemikian.

Tema minggu ketiga iaitu, Time Code, sebenarnya mempunyai potensi yang besar.

Membawakan lagu yang diterbitkan pada tahun kelahiran peserta sepatutnya membuka ruang untuk persembahan yang lebih kreatif, sekali gus menggamit kenangan lama.

Sebaliknya, sebahagian besar persembahan masih terasa seperti ‘tangkap muat’ atau sekadar mencukupi syarat pertandingan.

Apabila saya kembali menonton beberapa persembahan Big Stage pada musim terdahulu, perbezaannya cukup ketara.

Setiap persembahan dibina dengan konsep yang jelas.

Gabungan penari, visual LED, prop, pencahayaan dan pengarahan pentas menjadi unsur penting dalam membantu peserta membentuk identiti, serta mencorakkan persembahan masing-masing dengan lebih menarik.

Musim ini pula, banyak persembahan kelihatan kurang bertenaga, atau mungkin peserta masih belum memanfaatkan sepenuhnya segala kemudahan yang disediakan.

Acap kali, kesan visual kurang membantu dalam menyampaikan penceritaan lagu.

Begitu juga dengan penggunaan pencahayaan dan prop yang dilihat kurang mempunyai kesinambungan.

Mungkin kekangan penaja atau peruntukan wang menjadi antara penyebabnya.

Bagaimanapun, kumpulan duo, Adam dan Nazmie, tetap berjaya muncul antara peserta paling menyerlah pada minggu ketiga, yang berlangsung pada 12 Julai di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Malaysia, dan disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria.

Bagi saya, membawakan lagu, Raikan Cinta, dendangan asal Datuk M. Nasir, bukan tugasan yang mudah.

Karya M. Nasir bukan sekadar menguji kemampuan vokal, malah menuntut peserta memahami jiwa lagu dan menyampaikannya dengan penuh penghayatan.

Meskipun begitu, pasangan ini berjaya mengawal kedua-duanya dengan baik.

Persembahan Adam, 30 tahun; dan Nazmie, 25 tahun, memperlihatkan kematangan yang belum banyak dilihat dalam kalangan peserta lain.

Harmoni yang kemas, teknik vokal yang mantap, serta keyakinan menguasai pentas menjadikan mereka antara pencabar paling meyakinkan setakat ini.

Di samping itu, persembahan Adam dan Nazmie juga jelas berjaya menambat hati juri tetap, Akim Ahmad.

Buktinya, juri yang dikenali dengan penilaian tegas itu, memberikan markah sebanyak 70 peratus.

Ini merupakan markah tertinggi yang pernah diberikan Akim sejauh ini.

Dalam perkembangan sama, Ranisha, 26 tahun, pula terus membuktikan ketekalannya dalam memberikan persembahan terbaik dan meyakinkan.

Lagu, Against All Odds, dendangan asal Mariah Carey dan kumpulan Westlife, disampaikan dengan penuh penghayatan.

Bagi saya, kekuatan Ranisha terletak pada keupayaannya mengekalkan kestabilan vokal sambil menyampaikan emosi lagu dengan begitu berkesan.

Danial Kifli, 23 tahun, yang sebelum ini berada dalam kedudukan tercorot, juga akhirnya berjaya memperlihatkan potensi sebenar yang dimilikinya.

Pemilihan Bukan Cinta Biasa, nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang diberi nafas baharu menerusi sisipan lirik bahasa Korea, membuka ruang buat Danial mempamerkan keupayaan vokalnya dengan lebih menyerlah.

Hasilnya, lahirlah persembahan terbaiknya setakat ini.

Aliff Kimiey, 23 tahun, turut menunjukkan peningkatan apabila tidak lagi terlalu bergantung pada koreografi atas pentas sehingga menjejas nyanyian.

Sebaliknya, apabila memberi tumpuan kepada vokal, persembahannya menjadi jauh lebih meyakinkan.

Minggu ini pula menjadi peluang terakhir buat Sabrina, 24 tahun, yang juga mahasiswi yang memburu ijazah Sarjana Muda Pendidikan Muzik di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), membuktikan kemampuannya selepas tiga minggu berturut-turut berada dalam kedudukan tiga terendah.

Sepanjang tiga minggu pertandingan berlangsung, juri yang terdiri daripada Akim, Aisha dan Hael Husaini tidak putus-putus memberikan panduan bagi membantu Sabrina memahami kemampuan vokalnya.

Namun begitu, Sabrina, yang menyanyikan lagu, Ke Hujung Dunia, nyanyian asal Allahyarhamha Siti Sarah, masih belum memperlihatkan pemahaman jelas terhadap kelebihan yang dimilikinya sebagai penyanyi.

Dalam persaingan yang semakin sengit, kegagalan menemui identiti sendiri hanya akan menyukarkan laluan seorang peserta untuk terus bertahan.