Dibesarkan oleh datuk dan nenek sejak kecil, penyanyi Azharina Azhar, 40 tahun, akur bahawa liku kehidupan yang penuh pahit, getir, dan pancaroba sudah menjadi sebahagian dari dirinya.
Anak seni kelahiran Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia, yang dikenali menerusi lagu hits Elegi Sepi dan Rawan ini hanya berbekalkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Beliau tekad mula bekerja seawal usia muda demi menyara keluarga, termasuk ibu dan tiga orang adiknya.
Mengulas pertanyaan wartawan Berita Minggu (BM) tentang falsafah hidup yang menjadi pegangannya, beliau berkata:
“Nina (panggilan buat dirinya) dibesarkan oleh datuk dan nenek sejak berusia dua hari.
“Mereka selalu berpesan untuk tidak bersandar dan berharap pada siapa pun dalam hidup.
“Nenek saya juga pernah berkata, ‘Kalau kau jatuh, aku tak boleh angkat kau. Kau perlu bangun dan berdiri sendiri’.
“Tetapi apa pun, saya yakin pengalaman hidup inilah yang membentuk kematangan diri saya hingga menjadi Nina yang dikenali hari ini.”
Wawancara yang diadakan secara maya melalui Zoom itu dibuat sempena pelancaran dan promosi lagu duet terbaru Azharina bersama anak seni Singapura, Nana Karia, 45 tahun, yang berjudul Biar Gambar Bicara.
Lagu itu telah dilancarkan pada 31 Oktober lalu, dan kini boleh didengar di seluruh penstriman digital.
Juara Bintang RTM dan Gegar Vaganza Musim 3 (GV3) itu turut mengakui kedua-dua anak angkatnya iaitu Rahmat Azharin Azhar, 10 tahun, dan Redha Azharin Azhar, lapan tahun – kini menjadi nadi sumber kekuatannya menempuh cabaran kehidupan yang hadir bertali arus.
Pada 2024, Azharina dilaporkan didiagnosis barah, namun beliau memilih untuk tidak mengulas dengan lebih lanjut, lapor laman web Berita Harian Malaysia (BHM).
Setelah dinobatkan sebagai juara GV3 pada 2016, Azharina meluahkan rasa syukur yang teramat, kerana kemenangan itu telah mencetuskan perubahan besar, sekali gus memberikan peluang kedua yang berharga dalam kerjaya seninya.
Bagaimanapun, bagi ibu tunggal bersemangat waja ini, mengimbangi tuntutan kerjaya seni, perniagaan, dan tanggungjawab keluarga bukanlah satu tugas yang boleh dipandang mudah.
“Saya bersyukur kerana peluang berada di pentas GV3 mampu menghidupkan semula kerjaya seni saya setelah 16 tahun berkecimpung dalam bidang seni.
“Tak ramai artis yang ditawarkan peluang kedua seperti ini.
“Pada masa sama, ramai juga tidak tahu yang saya juga seorang usahawan. Jadi, saya perlu bijak mengimbangi masa antara bidang nyanyian, perniagaan dan mengurus anak.
“Jujur saya katakan, ianya tidak mudah untuk melakukan hal tersebut secara serentak.
“Adakalanya saya juga rasa lelah, namun saya belajar untuk melakukan sesuatu tahap demi tahap,” cerita Azharina, yang turut menguruskan syarikat penerbitan muzik, Azharina Entertainment.
Menyentuh pula tentang duetnya bersama Nana menerusi lagu Biar Gambar Berbicara, Azharina akui tertarik pada pesanan yang disampaikan menerusi lagu tersebut, selain turut menggabungkan genre pop kontemporari, jaz dan ‘soul’.
Lagu tersebut diciptakan oleh Jaybon Osman dengan susunan melodi yang dibantu oleh Nana, serta hasil lirik lagu oleh Faizal Sapuan.
Ia turut merupakan kerjasama antara syarikat penganjur acara dan penerbitan muzik milik Nana, Soulitaire Productions dan Azharina Entertainment.
“Saya membesar dengan lagu-lagu jaz, meskipun bukanlah penyanyi jaz yang bagus.
“Ia juga menjadi salah satu impian saya untuk duet bersama Kak Nana (panggilan bagi Nana), dan akhirnya tercapai juga.
“Apabila menyanyikan genre jaz, ini merupakan suatu perkara yang baru bagi saya dan juga Kak Nana.
“Sebab kenapa saya setuju untuk mengeluarkan lagu ini dengan Kak Nana, adalah kerana inti pati lagu ini.
“Ia memberi peringatan pada pendengar untuk sentiasa kuat, dan berhati-hati dalam apa yang dituturkan dalam media sosial,” katanya yang sudah bersahabat dengan Nana selama sembilan tahun.
Walaupun tidak memiliki ramai rakan dalam hidupnya, Azharina merasakan keperibadian Nana yang jujur membuatkan hubungan mereka akrab dan dekat.
Kedua-dua penyanyi yang dikenali dengan vokal ‘belting’ atau menyanyi kuat dengan penuh jiwa raga itu mula bersahabat ketika Azharina hadir ke Singapura pada 2017, bagi menjayakan rancangan Muzika Ekstravaganza yang merupakan kerjasama antara Singapura dan Malaysia.
“Saya tidak ada ramai kawan. Hanya boleh dikira dengan jari sahaja.
“Saya pula jenis orang yang sangat menghargai persahabatan.
“Apa yang membuatkan saya senang dengan Kak Nana adalah kerana beliau seorang yang ‘genuine’ (jujur serta ikhlas).
“Saya sudah bertemu dengan pelbagai ragam manusia.
“Bagi saya, perkara paling utama dalam persahabatan ialah kejujuran serta sahabat yang mahu berkembang bersama,” ujar Azharina.
Lagu Biar Gambar Berbicara kini boleh didengarkan di seluruh penstriman digital.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg