Bagi kebanyakan warga Singapura, dekak-dekak atau ‘abacus’ sering dikaitkan dengan budaya pembelajaran masyarakat Cina, dengan kanak-kanak pantas menggerakkan manik sambil menghitung.

Namun, dekak-dekak bukan sekadar mengajar kanak-kanak membuat kira-kira pantas atau pengiraan mental – ia juga membantu mengasah daya tumpuan, memupuk daya tahan dan meningkatkan keyakinan diri.

Pengasas pusat pengayaan Iron Scholars, yang menawarkan program dekak-dekak untuk kanak-kanak, Cik Nabila Abu Talib, berkata kemahiran ‘sampingan’ yang diraih itu dapat membantu kanak-kanak melangkaui mata pelajaran matematik.

Dalam bilik darjah Iron Scholars di Aljunied, perkataan ‘resilience’ atau daya tahan tertera jelas di atas papan putih.

Malah Cik Nabila, 35 tahun, sendiri memaparkan semangat itu, apabila beliau keliru dengan kira-kira yang dibuat menggunakan dekak-dekak gergasinya yang digantung di papan putih itu.

“Saya baru setahun belajar menggunakan dekak-dekak. Biasanya pelajar mengambil masa sekitar enam bulan untuk menggunakan alat ini dengan yakin.

“Apabila murid kelihatan seperti mahu menyerah pada peringkat awal menggunakan dekak-dekak, kami mengingatkan mereka untuk berdaya tahan,” kongsi ibu tiga anak itu.

Cik Nabila menubuhkan Iron Scholars pada 2025 dan menawarkan program menulis karangan Bahasa Melayu, kelas latihan minda dan program Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (Steam), selain dekak-dekak.

Pusat pengayaannya itu antara empat pemegang francais jenama Shenmo Education, yang ditubuhkan di China pada 1998.

Buat masa ini, kelas dekak-dekak Iron Scholars mempunyai 15 penuntut.

Mereka dibimbing tiga guru yang telah menjalani latihan dekak-dekak dari Shenmo.

Cik Nabila berkata dekak-dekak sesuai dipelajari kanak-kanak sekecil empat tahun.

Kanak-kanak yang baru mula belajar dekak-dekak tidak terus diperkenalkan kepada alat itu.

Mereka menggunakan flash cards atau kad imbas yang membantu mereka mengingati dan mengaitkan susunan manik dengan nilainya.

Mereka juga diajar melakukan kira-kira mudah menggunakan blok manik dekak-dekak. Kemudian, barulah mereka diajar menggunakan alat dekak-dekak.

Setelah mahir, pelajar boleh melakukan kira-kira menggunakan dekak-dekak dengan pantas.

Lama-kelamaan, pelajar boleh melakukan pengiraan mental dengan jari-jemari yang menggerakkan manik dekak-dekak di udara atau dalam minda.

Cik Nabila menekankan, dekak-dekak bukan hanya untuk kanak-kanak yang mahir dalam mata pelajaran matematik.

Dekak-dekak boleh membantu kanak-kanak yang lemah dalam pelajaran itu dengan memberi mereka keyakinan untuk melakukan kira-kira mudah sebelum beralih ke kira-kira yang lebih rumit.

Kanak-kanak boleh mempelajari kemahiran itu hingga umur 10 tahun iaitu dalam tempoh asas matematik sedang dibangunkan, katanya.

Ini kerana selepas mencapai umur 10 tahun, kanak-kanak itu biasanya sudah di peringkat sekolah rendah atas dan perlu menggunakan cara membuat kira-kira yang diajar sekolah.

Tetapi asas kira-kira menggunakan dekak-dekak tidak sia-sia, kata lulusan Sarjana Falsafah (MPhil) dalam Pendidikan di Universiti Cambridge itu.

“Kanak-kanak boleh memeriksa jawapan mereka menggunakan kaedah dekak-dekak dengan cepat,” katanya.

Walaupun mempunyai banyak manfaat, penguasaan dekak-dekak mengambil masa yang lama, kata Cik Nabila.

Pelajar yang mengikuti program dekak-dekak di Iron Scholars mengambil sekitar dua bulan untuk mula menggunakan alat itu dengan yakin.

Untuk membuat kira-kira menggunakan dekak-dekak dengan pantas, mereka memerlukan masa yang lebih lama.

Cik Nabila berkata buat masa ini, program dekak-dekak beliau belum ada pelajar Melayu kecuali anak-anaknya, dan beliau tidak menafikan yang ini mungkin disebabkan salah tanggapan bahawa dekak-dekak adalah alat kira-kira orang Cina.

“Sebenarnya dekak-dekak adalah alat universal yang telah diterima pakai dan disesuaikan oleh banyak budaya serata dunia.

“Hari ini, Shenmo Abacus diajar di ratusan negara, dari Iran ke Myanmar dan Nigeria.

“Ini menunjukkan sejauh mana ia telah berkembang serta bagaimana pelbagai masyarakat telah menerima dan menghayatinya,” kata Cik Nabila.

“Bagi masyarakat Melayu di Singapura, dekak-dekak mudah diakses melalui program pengayaan pembelajaran.

“Pendedahan kepada dekak-dekak seawal usia empat tahun dapat membantu kanak-kanak membina asas kukuh dalam matematik, penyelesaian masalah dan keyakinan diri.

“Ia bukan soal kaum atau etnik, tetapi tentang memberi setiap kanak-kanak peluang untuk mengukuhkan kemahiran berfikir melalui kaedah yang terbukti berkesan merentasi batas budaya,” tambahnya.