Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelabur runcit kini boleh pilih nasihat kewangan, MAS perketat perlindungan ekstra
Pelabur runcit kini boleh pilih nasihat kewangan, MAS perketat perlindungan ekstra
Pelabur runcit kini boleh pilih nasihat kewangan, MAS perketat perlindungan ekstra
Majoriti pelabur runcit kini tidak perlu lagi mendapatkan nasihat kewangan wajib sebelum membeli produk pelaburan kompleks, seperti Polisi Berkaitan Pelaburan (ILP).
Langkah itu adalah sebahagian daripada perubahan yang dimuktamadkan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada 15 Mei.
Ia bertujuan untuk memberi pilihan kepada pelabur sama ada mereka ingin mendapatkan nasihat kewangan atau sebaliknya, jelas MAS.
Meskipun begitu, peraturan asal masih dikuatkuasakan bagi pelabur yang dikenal pasti memerlukan perlindungan tambahan.
Produk yang diklasifikasikan sebagai kompleks merangkumi pelaburan berstruktur dan derivatif (instrumen turunan).
Setelah usulan dilaksanakan, ILP turut akan dikategorikan sebagai produk kompleks.
Perubahan ini menyusuli sesi rundingan yang dilancarkan MAS pada Julai 2025, yang bertujuan memudahkan kerangka produk kewangan kompleks dan memperkukuh keperluan Lembaran Sorotan Produk (Product Highlights Sheet atau PHS).
Pada masa itu, MAS menyatakan matlamatnya adalah untuk mengukuhkan keberkesanan sistem pendedahan maklumat.
Ini membolehkan pelabur membuat pilihan yang termaklum secara kendiri, sementara campur tangan sewajarnya tetap diwajibkan bagi pelanggan yang memerlukan bantuan tambahan.
MAS menegaskan bahawa tahap perlindungan yang lebih teguh akan dikekalkan bagi kategori pelabur tertentu yang dinilai memerlukan sokongan tambahan.
Golongan ini merangkumi individu yang memenuhi sekurang-kurangnya dua daripada tiga kriteria: berumur 62 tahun ke atas, mempunyai penguasaan bahasa Inggeris yang terhad, atau berkelulusan akademik di bawah paras sijil GCE ‘O’, ‘N’ atau setaraf.
Syarat mandatori bagi kumpulan ini termasuk kewajipan mendapatkan nasihat kewangan serta kehadiran seorang individu kepercayaan bagi menemani mereka sepanjang proses jualan dan sesi khidmat nasihat tersebut.
Sebagai langkah tambahan, institusi kewangan diwajibkan melakukan panggilan pengesahan sebelum transaksi bagi memastikan pelanggan benar-benar memahami selok-belok produk kompleks yang ingin dibeli.
MAS juga akan meneruskan cadangan bagi memperkasakan keperluan pendedahan dalam PHS serta langkah kawal selia pengagihan lain bagi membolehkan pelabur membuat pertimbangan yang wajar.
Bagi mengurangkan risiko, satu mekanisma “amaran pra-transaksi bagi produk kompleks” akan diperkenalkan bagi mengingatkan pelabur untuk meneliti kesesuaian produk berkenaan dengan profil mereka.
Setiap pelabur akan menerima notifikasi bahawa produk tersebut diklasifikasikan sebagai kompleks, bersama saranan untuk mengkaji dokumen berkaitan dengan mendalam.
Bagi mereka yang tidak melepasi penilaian pengetahuan pelanggan, makluman akan diberikan bahawa instrumen kewangan tersebut berkemungkinan besar tidak bersesuaian dengan mereka.
Notis amaran itu juga akan menyertakan cadangan agar pelabur mengikuti modul pembelajaran khusus atau mendapatkan khidmat nasihat profesional jika timbul sebarang keraguan.
Sekiranya pelabur melakukan transaksi produk kompleks berulang kali dalam tempoh sebulan, mereka diberi pilihan untuk menerima notis amaran pra-transaksi dalam versi yang lebih ringkas.
Penolong Pengarah Urusan (Pasaran Modal) MAS, Encik Lim Tuang Lee, menyatakan:
“Inisiatif ini bakal mewujudkan pasaran yang lebih terbuka dan dinamik. Ia mencerminkan tahap kematangan pengetahuan pelabur yang kini lebih mampu menguruskan portfolio secara mandiri, tanpa mengabaikan aspek kebajikan pelabur yang masih memerlukan bantuan serta perlindungan ekstra.”
Walaupun rangka kerja bagi contoh PHS dan langkah perlindungan telah dimuktamadkan, perincian mengenai pindaan perundangan bagi menguatkuasakan peraturan ini akan diumumkan kelak.
