Walaupun terdapat desas-desus sejagat mengenai kecerdasan buatan (AI) generatif, kebanyakan firma di Singapura masih belum menerima pakai teknologi tersebut, menurut laporan sulung yang dikeluarkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 30 April.

Kajian yang mengkaji tahap penerimaan AI, implikasi tenaga kerjanya, dan strategi korporat yang berpandangan ke hadapan itu, mendedahkan 71.5 peratus firma masih belum menerima pakai AI.

Dalam kalangan firma yang telah memulakan perjalanan AI mereka pula, hanya 3.8 peratus yang sedang menyepadukan AI ke dalam proses teras mereka, dengan kebanyakannya masih dalam peringkat awal perancangan (7.4 peratus) atau percubaan (6 peratus).

Tinjauan itu dijalankan Jabatan Penyelidikan dan Perangkaan Tenaga Manusia (MRSD) MOM yang meliputi 2,560 pertubuhan sektor swasta yang menggajikan 486,600 pekerja, dengan tinjauan dijalankan antara Januari dengan Mac 2026.

Laporan itu juga mengetengahkan perbezaan yang ketara berdasarkan saiz syarikat, dengan kadar penggunaan meningkat daripada hanya 23.9 peratus dalam kalangan firma yang mempunyai kurang daripada 25 pekerja, berbanding 76.4 peratus dalam kalangan pertubuhan lebih besar.

Firma yang lebih besar juga menunjukkan penyepaduan lebih mendalam, kemungkinan besar disokong oleh keupayaan digital yang lebih kukuh dan poket yang lebih besar, kata laporan itu.

Penggunaan AI adalah tertinggi dalam sektor seperti Maklumat dan Komunikasi (74.1 peratus); Perkhidmatan Profesional (57.5 peratus); dan Perkhidmatan Kewangan dan Insurans (56.4 peratus).

Sektor-sektor ini biasanya menggajikan tenaga kerja karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) yang fasih secara digital dan mampu bekerja bersama-sama alat AI dalam peranan seperti pembangunan perisian dan analisis data.

Walaupun kebimbangan pengangguran besar-besaran sering menguasai perbincangan AI, laporan MOM itu menyatakan ia “tidak menemui petunjuk terdapat kehilangan pekerjaan yang meluas” disebabkan AI.

“Hanya 6.2 peratus firma melaporkan pengurangan bilangan pekerja selepas menerima pakai AI.

“Sebaliknya, firma mereka bentuk semula peranan (18.9 peratus) dan mewujudkan pekerjaan berkaitan AI baharu (13.9 peratus), menunjukkan AI terutamanya mengubah tugas dan bukannya menggantikan peranan,” tambah laporan itu lagi.

Laporan itu menambah kos pelaksanaan yang tinggi dan kekurangan kepakaran dalaman adalah kekangan yang paling kerap disebut.

Firma yang lebih kecil menghadapi cabaran tambahan seperti kekurangan strategi dan kepercayaan yang rendah terhadap AI, manakala firma lebih besar menghadapi kerumitan penyepaduan dan kebimbangan keselamatan data.

Semasa Belanjawan 2026 pada Februari, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan penubuhan Majlis AI Kebangsaan (NAIC) untuk menyelaras dan memacu strategi AI Singapura.

NAIC akan menyelia pembangunan dan pelaksanaan misi AI dalam sektor utama ekonomi Singapura, iaitu perkilangan termaju, ketersambungan, kewangan dan penjagaan kesihatan.

Bagi menyokong penerimaan AI, MOM menggesa firma di sini untuk memanfaatkan Pakej Transformasi Tenaga Kerja Perusahaan (EWTP).

Pakej tersebut akan membantu syarikat menjalankan reka bentuk semula pekerjaan, kemahiran semula dan membina keupayaan pertubuhan yang diperlukan untuk menterjemahkan penerimaan AI kepada hasil tenaga kerja yang lebih baik.