Firma perunding hartanah global JLL telah memberhentikan sebilangan kecil pekerja di Singapura susulan penyusunan semula baru-baru ini.

Beberapa pekerja JLL berkongsi tentang pemberhentian tersebut di LinkedIn, dengan seorang menyatakan sekurang-kurangnya empat individu daripada jabatan yang sama terjejas.

Seorang bekas pekerja yang enggan dikenali memberitahu The Straits Times (ST) bahawa mereka yang terjejas, termasuk rakan sekerja di AS, menerima notis pada 15 April dan diberi pilihan untuk pelepasan awal atau berkhidmat hingga tamat notis.

Pada 29 April, jurucakap JLL mengesahkan pemberhentian tersebut, namun tidak mendedahkan butiran lanjut. Beliau menjelaskan bahawa sebagai syarikat global, JLL melaksanakan “penjajaran semula organisasi” untuk memperkemas operasi dan meletakkan perniagaan pada kedudukan lebih baik bagi pertumbuhan jangka panjang.

“Sebagai sebahagian daripada transformasi lebih luas merentas pelbagai pasaran, kami telah membuat keputusan sukar untuk menyusun semula fungsi tertentu di Singapura sejak beberapa minggu ini, yang telah menjejaskan sebilangan kecil peranan,” katanya.

JLL Singapura telah memaklumkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan mematuhi garis panduan tempatan bagi pengurusan tenaga kerja berlebihan.

Laman LinkedIn JLL menunjukkan lebih 1,700 pekerja di pejabat Singapura. Walau bagaimanapun, semakan pada 30 April mendapati lebih 100 jawatan kosong di Singapura dalam pelbagai bidang seperti pengurusan kemudahan, kewangan, dan operasi.