SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Yeo’s hentikan khidmat 25 kakitangan S’pura susulan pemindahan operasi mengetin ke M’sia

Yeo’s hentikan khidmat 25 kakitangan S’pura susulan pemindahan operasi mengetin ke M’sia

Mar 31, 2026 | 7:30 PM

Yeo’s hentikan khidmat 25 kakitangan S’pura susulan pemindahan operasi mengetin ke M’sia

Yeo’s, buang kerja, alih operasi tin ke M’sia
Bangunan syarikat pengeluar minuman, Yeo Hiap Seng (Yeo’s), yang terletak di Senoko akan kekal sebagai ibu pejabat kumpulan. - Foto fail

Syarikat pengedar minuman, Yeo Hiap Seng (Yeo’s), menghentikan 25 pekerja di kemudahannya di Senoko menyusuli penyelarasan operasi pengetinan di Malaysia, umum Bursa Saham Singapura pada 31 Mac.

Langkah itu dijangka dapat meningkatkan kecekapan dan mengoptimumkan penggunaan kapasiti di kilang syarikat tersebut yang terletak di Johor dan Selangor.

Tapak di Senoko itu akan kekal sebagai ibu pejabat kumpulan, serta berfungsi sebagai hab logistik rentas sempadan dan pusat perkilangan berskala kecil.

Yeo’s menyatakan, pekerja yang terjejas akan menerima faedah pemberhentian kerja selaras dengan garis panduan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan persetujuan bersama pihak kesatuan.

Selain itu, mereka akan diberikan bantuan penempatan kerja, sokongan kerjaya dan khidmat kaunseling.

Selagi mampu, pekerja yang terjejas juga akan ditawarkan jawatan dalam operasi kumpulan tersebut di Malaysia.

Yeo’s berkesatuan di bawah Kesatuan Gabungan Pekerja-Pekerja Minuman dan Makanan (FDAWU) dan telah memaklumkan kepada pihak kesatuan lebih awal mengenai penyatuan tersebut.

Apabila dihubungi Berita Harian (BH), Setiausaha Agung FDAWU, Encik Sankaradass S Chami, berkata Yeo’s telah memaklumkan isu tersebut kepada FDAWU dengan lebih awal.

Maka, pihak kesatuan telah berbincang dengan syarikat tersebut bagi merundingkan hasil yang adil dan bertanggungjawab untuk pekerja yang terjejas.

“Melalui perbincangan itu, Yeo’s telah memberi jaminan kepada FDAWU bahawa seberapa boleh, pekerja yang terjejas akan ditawarkan peluang untuk mengisi jawatan kosong di Malaysia.

“Bagi pekerja yang tidak dapat ditempatkan semula, Yeo’s akan menyediakan pakej pemberhentian kerja selaras dengan Perjanjian Bersama (CA) dan norma syarikat berkesatuan, dengan peruntukan yang berbeza-beza berdasarkan gaji pekerja, tempoh perkhidmatan dengan syarikat, dan status keahlian kesatuan,” katanya.

FDAWU turut hadir dalam sesi komunikasi Yeo’s bersama pekerja yang terjejas pada 31 Mac bagi memastikan mereka diberikan maklumat yang tepat dan jelas.

“Pihak kesatuan juga berada di sana untuk menangani soalan serta keraguan, dan memberi jaminan kepada mereka yang terjejas bahawa pihak kesatuan sentiasa ada untuk menyokong mereka,” tambah beliau.

FDAWU juga menyediakan khidmat kaunseling percuma di lokasi, manakala Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) membekalkan sumber kerjaya dan khidmat nasihat kerjaya bagi membantu pekerja yang terjejas beralih kepada peluang pekerjaan baharu.

Encik Sankaradass menambah bahawa antara sokongan FDAWU dengan Yeo’s bagi pekerja yang terjejas termasuk menghubungkan mereka kepada rangkaian Gerakan Pekerja seperti e2i NTUC.

Beliau berkata: “e2i bersedia menyokong warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR) yang terjejas dengan perkhidmatan pemadanan pekerjaan, bimbingan kerjaya dan khidmat nasihat peningkatan kemahiran.”

Menurutnya, pekerja yang layak dalam kalangan warga Singapura atau PR juga boleh menerima lebih banyak sokongan pekerjaan melalui Skim Bantuan Pencari Kerja (JS) SkillsFuture dengan menyertai kegiatan carian kerja e2i.

Skim JS menyediakan sokongan kewangan sementara sehingga $6,000 selama enam bulan bagi individu yang menganggur secara tidak sukarela.

“Skim ini bertujuan meningkatkan peluang mencari pekerjaan yang menggunakan kemahiran dan pengalaman pencari kerja dengan lebih baik.

“Melalui skim JS, individu yang layak akan menerima bayaran yang sepadan apabila mereka memenuhi mata minimum yang diperlukan untuk setiap bulan,” kata Encik Sankaradass.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg