Topic followed successfully
Go to BHkuMeta buang ratusan kerja ketika belanja bagi AI capai tahap rekod
Meta buang ratusan kerja ketika belanja bagi AI capai tahap rekod
Meta buang ratusan kerja ketika belanja bagi AI capai tahap rekod
DENVER (Amerika Syarikat): Meta Platforms sedang membuang beberapa ratus pekerjaan sebagai sebahagian langkah penyusunan semula yang menjejas beberapa pasukan dalam syarikat itu, termasuk divisyen jualan, pengambilan pekerja dan bahagian perkakasan Reality Labs.
Pemberhentian itu akan menjejas pekerja di Amerika Syarikat dan pasaran antarabangsa lain, menurut sumber yang mengetahui perkara tersebut.
Sebahagian pekerja yang terjejas akan ditawarkan jawatan lain atau peluang berpindah ke lokasi lain supaya dapat terus kekal dalam syarikat itu, jelas sumber berkenaan.
Sesetengah kakitangan divisyen Reality Labs Meta diminta bekerja dari rumah pada 25 Mac sebagai persediaan untuk langkah pemberhentian tersebut, menurut dua sumber yang mengetahui tentang pengumuman itu.
“Pasukan di Meta kerap menjalankan penyusunan semula atau melaksanakan perubahan bagi memastikan mereka berada dalam kedudukan terbaik bagi mencapai matlamat mereka,” kata jurucakap Meta dalam satu kenyataan.
“Seberapa boleh, kami akan mencari peluang lain bagi kakitangan yang pekerjaan mereka mungkin terjejas,” tambahnya.
Langkah pemberhentian ini akan menjejas kurang daripada 1,000 pekerja secara keseluruhan, menurut sumber yang mengetahui perkara tersebut.
Meta mempunyai sekitar 79,000 pekerja di serata dunia pada awal 2026.
Meta merupakan antara syarikat teknologi yang paling giat berbelanja dalam teknologi kecerdasan buatan (AI).
Syarikat itu mengunjurkan perbelanjaan modal tertinggi pada 2026, iaitu sehingga AS$135 bilion ($173 bilion).
Ketua Eksekutif Meta, Encik Mark Zuckerberg, berkata syarikat itu akan membelanjakan AS$600 bilion untuk projek prasarana di Amerika menjelang 2028.
Sebelum ini, Encik Zuckerberg membincangkan bagaimana AI akan mengubah aliran kerja syarikat itu, dan jurutera di syarikat itu sudah pun menggunakan ejen AI untuk membantu dalam pengekodan dan projek lain.
Ejen AI merupakan sistem AI yang boleh melakukan tugas secara bebas bagi pihak pengguna.
Meta sebelum ini telah mengurangkan bilangan pekerjanya pada Januari 2026.
Reality Labs – bahagian dalaman Meta yang membangunkan perkakasan canggih seperti kaca mata AI dan set kepala realiti maya (VR) – telah memberhentikan lebih 1,000 pekerja pada Januari.
Langkah itu diambil ketika syarikat itu memberi lebih tumpuan kepada peranti boleh pakai AI dan mengurangkan tumpuan terhadap beberapa produk dunia maya, yang dikenali sebagai metaverse. – Agensi berita.

