Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump, Xi akhiri sidang puncak dengan tumpuan kepada kestabilan
Trump, Xi akhiri sidang puncak dengan tumpuan kepada kestabilan
Dua pemimpin pamer hubungan mesra, Washington dakwa capai ‘perjanjian dagangan hebat’ dengan Beijing
Trump, Xi akhiri sidang puncak dengan tumpuan kepada kestabilan
BEIJING: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dan Presiden China, Encik Xi Jinping, menekankan kepentingan kestabilan hubungan dua kuasa besar dunia itu ketika menamatkan sidang puncak berprofil tinggi di Beijing pada 15 Mei, walaupun tiada penyelesaian konkrit diumumkan berhubung isu perdagangan, Taiwan, perang Iran atau ketegangan geopolitik lain.
Pertemuan itu berlangsung di Zhongnanhai, kompleks kepimpinan tertutup Parti Komunis China di Beijing, dalam lawatan pertama presiden Amerika ke China dalam tempoh hampir sedekad.
Sambil duduk bersebelahan Encik Xi dalam sesi pertemuan rasmi, Encik Trump berkata hubungan antara mereka semakin rapat dan kedua-duanya berkongsi pandangan yang hampir sama mengenai perang melibatkan Iran.
“Kami sudah menyelesaikan banyak masalah yang mungkin tidak mampu diselesaikan orang lain,” kata Encik Trump tanpa menjelaskan secara terperinci.
Encik Xi pula menyifatkan lawatan Encik Trump sebagai satu detik “bersejarah dan simbolik” dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
“Kami telah membentuk hubungan dua hala baharu berasaskan kestabilan strategik yang membina,” katanya.
Encik Xi berkata beliau memilih untuk menerima Encik Trump di Zhongnanhai sebagai membalas layanan yang diberikan ketika lawatannya ke Mar-a-Lago di Florida, Amerika, pada 2017.
Walaupun suasana sidang puncak itu dilihat mesra dengan pujian dan penghormatan diplomatik dipamerkan secara terbuka, ketegangan antara Washington dengan Beijing tetap terserlah di sebalik rundingan tertutup.
Menurut agensi berita rasmi China, Xinhua, Encik Xi memberi amaran kepada Encik Trump bahawa isu Taiwan boleh mencetuskan konflik besar sekiranya tidak dikendalikan dengan berhati-hati.
Encik Xi juga menyentuh konsep “Perangkap Thucydides”, teori geopolitik yang merujuk kepada risiko perang apabila kuasa lama berdepan kebangkitan kuasa baharu.
Namun Encik Xi berkata China dan Amerika masih mampu “melangkaui” perangkap tersebut jika kedua-dua pihak memilih jalan kerjasama.
Rumah Putih dalam kenyataannya selepas pertemuan itu berkata Encik Trump dan Encik Xi bersetuju bahawa Selat Hormuz mesti kekal terbuka dan Iran tidak boleh dibenarkan memiliki senjata nuklear.
Encik Trump turut mendakwa Encik Xi memberi jaminan bahawa China tidak akan membekalkan bantuan ketenteraan kepada Iran.
“Beliau berkata China tidak akan memberi peralatan tentera. Beliau menyatakannya dengan tegas,” kata Encik Trump dalam wawancara bersama Fox News.
Encik Trump juga berkata Encik Xi menunjukkan kesediaan membantu membuka semula Selat Hormuz yang kini terganggu akibat konflik Iran.
“Beliau mahu melihat Selat Hormuz dibuka dan berkata, ‘Jika saya boleh membantu, saya mahu membantu,’” kata Encik Trump lagi.
Kementerian Luar China bagaimanapun hanya mengeluarkan kenyataan umum yang menyeru gencatan senjata menyeluruh dan berkekalan di rantau itu.
“Laluan perkapalan perlu dibuka semula secepat mungkin sebagai respons kepada tuntutan masyarakat antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Encik Trump tiba di Beijing dengan matlamat memperkukuh hubungan perdagangan serta mendapatkan perjanjian dalam sektor pertanian, penerbangan dan kecerdasan buatan (AI).
Beliau mendakwa lawatan tersebut menghasilkan “perjanjian perdagangan hebat” yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
“Kami menghasilkan beberapa perjanjian perdagangan yang hebat, baik untuk kedua-dua negara,” katanya ketika berjalan bersama Encik Xi di taman Zhongnanhai.
Encik Trump turut mendedahkan bahawa Encik Xi bersetuju membeli 200 pesawat Boeing sebagai sebahagian daripada perjanjian perdagangan tersebut.
Selain itu, Beijing juga dikatakan berminat membeli lebih banyak minyak dan kacang soya dari Amerika.
Bagaimanapun, pasaran saham memberi reaksi negatif selepas kenyataan Encik Trump mengenai pembelian Boeing itu, dengan saham syarikat penerbangan itu jatuh kerana pelabur menjangkakan pembelian lebih besar.
Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Encik Scott Bessent, berkata Washington dan Beijing berbincang untuk mewujudkan “garis panduan keselamatan” berkaitan penggunaan AI.
“Dua kuasa besar AI dunia kini akan mula berbincang,” katanya kepada CNBC.
Namun kawalan eksport teknologi canggih Amerika terhadap China masih menjadi isu sensitif dalam hubungan kedua-dua negara.
Dalam hantaran di Truth Social sebelum pertemuan hari kedua berlangsung, Encik Trump turut membalas dakwaan bahawa Encik Xi menyifatkan Amerika sebagai negara yang sedang merosot.
“Apabila Presiden Xi secara elegan menyebut Amerika mungkin negara yang sedang merosot, beliau sebenarnya merujuk kepada kerosakan besar yang berlaku ketika pentadbiran Joe Biden,” kata Encik Trump.
Encik Trump menegaskan bahawa Amerika kini sedang mengalami kebangkitan besar di bawah kepimpinannya.
“Dua tahun lalu kita memang negara yang merosot. Tetapi sekarang Amerika adalah negara paling hangat di dunia,” katanya.
Beliau turut mendakwa Encik Xi mengucapkan tahniah atas “pelbagai kejayaan besar” yang dicapainya.
Walaupun sidang kemuncak itu tidak menghasilkan pengumuman besar berkaitan Taiwan, perang Iran atau tarif perdagangan, kedua-dua pemimpin dilihat cuba mengekalkan saluran komunikasi terbuka bagi mengelakkan hubungan dua kuasa besar dunia itu terus meruncing.
Namun pemerhati antarabangsa melihat banyak isu utama masih belum diselesaikan, termasuk perang Iran, ketegangan Taiwan, sekatan teknologi serta persaingan pengaruh global antara Washington dan Beijing. – Agensi berita.
