Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump, Xi tekankan kerjasama, elak saingan dalam sidang kemuncak di Beijing
Trump, Xi tekankan kerjasama, elak saingan dalam sidang kemuncak di Beijing
Xi harap 2026 buka lembaran baharu hubungan China-AS; Trump sifatkan Xi sahabat; rundingan tumpu perdagangan, isu Iran
Trump, Xi tekankan kerjasama, elak saingan dalam sidang kemuncak di Beijing
BEIJING: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump; dan Presiden China, Encik Xi Jinping, tampak mesra ketika memulakan sidang kemuncak penting di Beijing pada 14 Mei dengan kedua-dua pemimpin menegaskan kepentingan hubungan stabil antara dua kuasa besar dunia itu.
Encik Trump berkata Amerika dan China akan mempunyai “masa depan yang hebat bersama” sambil memuji hubungan peribadinya dengan Encik Xi.
“Satu penghormatan untuk bersama anda. Satu penghormatan untuk menjadi rakan anda, dan hubungan antara China dengan Amerika akan menjadi lebih baik daripada sebelum ini,” katanya ketika pertemuan di Dewan Besar Rakyat di Beijing.
“Kita akan mempunyai masa depan yang hebat bersama.”
Encik Xi pula menegaskan bahawa Beijing dan Washington perlu menjadi “rakan kongsi, dan bukannya pesaing” ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi yang kian rumit.
“Hubungan China-Amerika yang stabil adalah baik untuk dunia,” katanya.
“Kedua-dua pihak mendapat manfaat daripada kerjasama dan akan rugi jika berlaku konfrontasi. Kita sepatutnya menjadi rakan kongsi dan bukannya pesaing.”
Sidang kemuncak itu menjadi tumpuan dunia kerana kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan isu perdagangan, teknologi, Taiwan, perang Iran dan beberapa lagi isu sensitif yang terus menjadi duri dalam hubungan kededua negara.
Senarai utama keinginan Encik Trump dalam sidang kemuncak itu ialah perjanjian perniagaan mengenai pertanian, pesawat dan topik lain.
Perang perdagangan yang berlarutan antara kedua-dua negara juga akan menjadi agenda utama, selepas tarif meluas Encik Trump pada 2025 mencetuskan cukai ‘balas dendam’ melebihi 100 peratus.
Menurut Encik Xi, dunia kini berada di “persimpangan baharu” dan menimbulkan persoalan sama ada China dan Amerika mampu mengelakkan apa yang dikenali sebagai “perangkap Thucydides”, iaitu teori bahawa kuasa besar sedia ada dan kuasa baharu yang sedang meningkat akhirnya akan berperang.
“Saya sentiasa percaya kedua-dua negara kita mempunyai lebih banyak kepentingan bersama berbanding perbezaan,” katanya.
Encik Xi turut melahirkan harapan bahawa 2026 ini akan menjadi “tahun bersejarah” yang membuka lembaran baharu dalam hubungan China-Amerika.
Encik Trump pula berulang kali memuji Encik Xi di hadapan delegasi kedua-dua negara.
“Anda seorang pemimpin hebat. Saya katakan kepada semua orang bahawa anda seorang pemimpin hebat,” katanya.
“Ada orang tidak suka saya mengatakannya, tetapi saya tetap akan mengatakannya kerana itu adalah kebenaran.”
Encik Trump berkata hubungan peribadinya dengan Encik Xi membantu kedua-dua negara menyelesaikan pelbagai masalah sebelum ini.
“Apabila ada kesukaran, kita selesaikannya bersama. Saya akan hubungi anda dan anda akan hubungi saya,” katanya.
“Orang ramai tidak tahu perkara itu. Setiap kali ada masalah, kita selesaikannya dengan segera.”
Encik Trump turut memaklumkan beliau membawa delegasi besar terdiri daripada tokoh korporat dan ahli perniagaan Amerika sebagai tanda penghormatan kepada China.
Antara tokoh perniagaan yang menyertai lawatan itu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Encik Jensen Huang; Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Encik Elon Musk; Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Encik Tim Cook, dan Ketua Pegawai Eksekutif Boeing, Encik Kelly Ortberg.
Sebelum rundingan tertutup bermula, kedua-dua pemimpin menyaksikan upacara sambutan rasmi di hadapan Great Hall of the People.
Ratusan pelajar sekolah China mengibarkan bendera dan bunga bagi menyambut ketibaan Encik Trump yang tiba di Beijing pada malam 13 Mei.
Encik Trump disambut Naib Presiden China, Encik Han Zheng, dan dijadual berada di Beijing sehingga 15 Mei.
Lawatan itu merupakan kunjungan kedua Encik Trump ke China selepas lawatan pertamanya pada 2017 ketika penggal pertama beliau sebagai presiden.
Lawatan kali ini pada asalnya dijadual berlangsung pada Mac lalu tetapi ditangguhkan susulan perang melibatkan Amerika, Israel dan Iran.
Penganalisis melihat dinamik hubungan antara Washington dengan Beijing kini berubah berbanding lawatan Encik Trump pada 2017 apabila China berusaha memberi layanan istimewa kepada Encik Trump dan membeli barangan Amerika bernilai berbilion dolar.
Encik Trump dan Encik Xi kali terakhir bertemu di Korea Selatan pada Oktober 2025 apabila kedua-dua negara bersetuju menghentikan sementara perang perdagangan selama setahun.
Ketika itu, Beijing mengancam mengenakan sekatan besar terhadap eksport nadir bumi sebagai tindak balas terhadap tarif tinggi Amerika ke atas barangan China.
Beberapa jam sebelum sidang kemuncak bermula, Menteri Kewangan Amerika, Encik Scott Bessent, dan Timbalan Perdana Menteri China, Encik He Lifeng, turut mengadakan pertemuan tertutup di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon di Korea Selatan bagi menyelesaikan butiran akhir sidang kemuncak tersebut.
Selepas mesyuarat dua hala, Encik Trump dijangka melawat Tapak Warisan Unesco, Temple of Heaven, sebelum menghadiri jamuan negara yang dianjurkan Encik Xi pada sebelah malam sebelum minum teh dan makan tengah hari bersama pada 15 Mei, tambah Rumah Putih. – Agensi berita.
