BEIJING: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, tiba di Beijing pada 13 Mei bagi menghadiri sidang puncak penting bersama Presiden China, Xi Jinping, ketika dua ekonomi terbesar dunia itu berusaha menstabilkan hubungan di tengah-tengah perang Iran yang semakin membayangi politik global.

Pesawat Air Force One mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Capital sekitar jam 8 malam waktu tempatan.

Encik Trump disambut Naib Presiden China, Encik Han Zheng, bersama kawalan kehormat tentera dan ratusan kanak-kanak yang mengibarkan bendera kedua-dua negara di atas hamparan permaidani merah.

Pemerhati politik melihat kehadiran Encik Han untuk menyambut Encik Trump sebagai isyarat penghormatan besar daripada Beijing terhadap pemimpin Amerika itu.

Semasa lawatan Encik Trump ke China pada tahun 2017, Beijing hanya menghantar pegawai bertaraf lebih rendah untuk menyambutnya.

Sidang puncak sebenar dijadual bermula keesokan hari di Great Hall of the People apabila Encik Trump dan Encik Xi mengadakan pertemuan rasmi.

Encik Xi dilihat berada dalam kedudukan lebih kukuh menjelang rundingan kali ini selepas China berjaya menggunakan penguasaan eksport nadir bumi untuk memberi tekanan kepada Washington supaya menarik balik ancaman tarif dalam pertemuan kedua-dua pemimpin di Korea Selatan pada 2025.

Pada masa sama, perang Iran turut memberi tekanan politik kepada Encik Trump di dalam negara, selain menjejaskan imej pentadbirannya.

Namun, Encik Trump memberi bayangan bahawa beliau tetap akan menekanEncik Xi dalam beberapa isu sensitif termasuk peranan China dalam konflik Asia Barat dan halangan perdagangan terhadap syarikat Amerika.

“Saya akan meminta Presiden Xi, seorang pemimpin yang sangat dihormati, supaya membuka China agar syarikat-syarikat hebat ini dapat membantu membawa Republik Rakyat China ke tahap lebih tinggi,” kata Encik Trump menerusi hantaran media sosialnya.

“Malah saya berjanji, apabila kami bertemu dalam beberapa jam lagi, itu akan menjadi permintaan pertama saya,” katanya lagi.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, Encik Trump secara terbuka melahirkan rasa kecewa terhadap cadangan Iran berhubung program nuklearnya dan memberi amaran bahawa gencatan senjata rapuh ketika ini boleh berakhir pada bila-bila masa.

Sebelum berlepas ke Beijing, Encik Trump cuba merendahkan kepentingan isu perang Iran dalam sidang kemuncak tersebut dengan menegaskan bahawa fokus utamanya ialah rundingan perdagangan dengan Encik Xi.

Namun penganalisis percaya konflik Iran tetap akan mendominasi perbincangan kerana China merupakan pembeli terbesar minyak Iran dan menjadi talian hayat ekonomi utama bagi Teheran.

Washington baru-baru ini turut mengenakan sekatan terhadap beberapa syarikat China kerana membeli minyak Iran atau membantu Teheran menerusi imej satelit.

Seorang pegawai Amerika berkata hasil minyak yang diterima Iran daripada China serta kemungkinan eksport senjata dijangka menjadi antara topik utama rundingan.

Dalam masa sama, EncikTrump turut mahu mencapai beberapa perjanjian perdagangan dalam sektor pertanian, tenaga dan aeroangkasa. Beliau juga membawa delegasi perniagaan besar yang merangkumi tokoh korporat terkenal seperti Elon Musk dari Tesla, Tim Cook dari Apple dan Kelly Ortberg dari Boeing.

Dalam perkembangan mengejutkan, Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA, Encik Jensen Huang, turut menyertai delegasi pada saat akhir, sekali gus menjadikan isu kecerdasan buatan antara fokus utama lawatan tersebut.

Turut berada dalam Air Force One ialah Setiausaha Negara Amerika, EncikMarco Rubio, yang pernah dikenakan sekatan oleh Beijing kerana mengkritik tindakan China di Xinjiang dan Hong Kong, serta Setiausaha Pertahanan EncikPete Hegseth.

Ini juga merupakan lawatan pertama presiden Amerika ke China dalam tempoh hampir sedekad dan lawatan pertama Trump sejak tahun 2017.

Selain isu Iran, perbincangan dijangka menyentuh penjualan senjata Amerika kepada Taiwan, perdagangan dua hala, pelaburan serta risiko kecerdasan buatan.

Encik Trump sebelum ini berkata beliau akan membincangkan penjualan senjata Amerika kepada Taiwan bersama Xi dan telah menangguhkan pakej senjata bernilai AS$14 bilion (S$17.8 bilion) untuk pulau itu sebelum lawatan ke Beijing.

Ahli Kongres dari kedua-dua parti di Amerika memberi amaran bahawa langkah itu boleh menjejaskan sokongan tradisional Washington terhadap Taipei.

Encik Xi pula sebelum ini meminta Encik Trump mengendalikan isu Taiwan dengan “amat berhati-hati” semasa perbualan telefon pada Februari lalu.

Encik Trump juga dijangka membangkitkan kes Jimmy Lai, bekas tokoh media Hong Kong yang dijatuhi hukuman penjara 20 tahun atas dakwaan bersekongkol dan hasutan.

Lawatan Encik Trump mendapat perhatian besar di media sosial China dengan ramai pengguna Internet mengikuti pergerakan Air Force One dan membincangkan kehadiran tokoh-tokoh korporat Amerika dalam delegasi tersebut. - Agensi berita