Topic followed successfully
Go to BHkuTrump ugut serang jambatan, loji kuasa elektrik Iran
Trump ugut serang jambatan, loji kuasa elektrik Iran
Dakwa Washington hampir capai matlamatnya di Iran tetapi tidak tetapkan garis masa untuk perang tamat
Trump ugut serang jambatan, loji kuasa elektrik Iran
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, memberi amaran pada 2 April tentang serangan dan pemusnahan jambatan serta loji kuasa elektrik di Iran dalam ancaman terbarunya untuk menyerang infrastruktur negara itu.
Tentera Amerika “belum pun mula memusnahkan apa yang berbaki di Iran. Selepas ini jambatan, kemudian Loji Kuasa Elektrik”, tulisnya di media sosial.
Menurut kirimannya itu, kepimpinan Iran “tahu apa yang perlu dilakukan, dan perlu dilakukan, segera!”
Encik Trump, yang sebelum ini menawarkan garis masa dan objektif perang yang berubah-ubah, dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen pada 1 April berkata perang itu boleh memuncak jika Iran tidak tunduk kepada syarat Washington, dengan kemungkinan serangan ke atas infrastruktur tenaga dan minyaknya.
Puluhan pakar undang-undang antarabangsa di Amerika menandatangani surat terbuka yang dikeluarkan pada 2 April, yang mengatakan bahawa serangan Amerika ke atas Iran mungkin dianggap sebagai jenayah perang.
Konvensyen Geneva 1949 mengenai kelakuan kemanusiaan dalam perang melarang serangan ke atas tapak yang dianggap penting untuk orang awam.
Konvensyen Geneva dan protokol tambahan menyatakan bahawa pihak yang terlibat dalam konflik ketenteraan mesti membezakan antara “objek awam dan objektif ketenteraan”, dan serangan ke atas objek awam adalah dilarang.
“Kita akan menyerang mereka dengan sangat teruk dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang. Kita akan mengembalikan mereka ke Zaman Batu, keadaan mereka yang sepatutnya,” kata Encik Trump dalam ucapannya pada 1 April.
Walaupun beliau berkata Washington hampir mencapai matlamatnya di Iran, Encik Trump tidak menetapkan garis masa untuk menamatkan perang.
Perang itu bermula pada 28 Februari apabila Amerika dan Israel menyerang Iran. Teheran bertindak balas dengan melancarkan serangannya sendiri ke atas Israel dan negara-negara Teluk dengan pangkalan Amerika.
Serangan bersama Amerika-Israel di Iran dan serangan Israel di Lebanon telah membunuh ribuan orang dan menyebabkan jutaan lagi kehilangan tempat tinggal.
Perang itu juga telah menaikkan harga minyak dan menggegarkan pasaran global.
Mesej bercampur-baur Encik Trump setakat ini tidak banyak membantu mengurangkan kebimbangan mengenai serangan ketenteraan terbesar negaranya itu sejak pencerobohan Iraq pada 2003.
Sementara itu, setelah menjadi sasaran kemarahan dan penghinaan oleh Encik Trump berhubung Iran, pemimpin Eropah telah mula menjawab dengan Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, sebagai yang paling lantang.
Pada 2 April, Encik Macron mengecam Encik Trump atas apa yang beliau katakan sebagai pendekatan yang tidak serius terhadap perang dan serangan yang tidak membantu terhadap Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).
“Apabila kita serius, kita tidak mengatakan yang bertentangan dengan apa yang kita katakan pada hari sebelumnya,” kata Encik Macron semasa lawatan ke Korea Selatan.
“Kita bercakap tentang perang, kita bercakap hari ini tentang wanita dan lelaki yang berada dalam pertempuran, tentang wanita, lelaki dan orang awam yang terbunuh,” kata Encik Macron. “Kita juga bercakap tentang kesan perang ini terhadap ekonomi kita.”
Ia merupakan luahan kegusaran yang ketara terhadap Encik Trump, daripada seorang pemimpin yang telah lama berbangga dengan kemahirannya berurusan secara bijaksana dengan presiden Amerika itu dan caranya yang tidak menentu.
Tetapi ia mencerminkan penentangan yang semakin meningkat dalam kalangan pemimpin Eropah, yang sebelum ini cuba mengimbangi keraguan mendalam mereka tentang kempen ketenteraan itu kerana tidak mahu memusuhi Encik Trump. – Reuters.

