Topic followed successfully
Go to BHkuRakyat Iran ikrar terus bertahan hingga ke akhir di pengebumian komander IRGC
Rakyat Iran ikrar terus bertahan hingga ke akhir di pengebumian komander IRGC
Rakyat Iran ikrar terus bertahan hingga ke akhir di pengebumian komander IRGC
TEHRAN: Ribuan rakyat Iran berhimpun di ibu negara pada 1 April bagi menghadiri pengebumian Komander Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), Alireza Tangsiri, yang terbunuh dalam serangan Israel, dengan para hadirin berikrar untuk terus berjuang walaupun berdepan tekanan berterusan dari Amerika Syarikat.
Perarakan pengebumian itu berlangsung bersempena ulang tahun ke-47 Republik Islam Iran yang diisytiharkan pada 1 April 1979 selepas revolusi yang menumbangkan pemerintahan Shah terakhir.
Namun, sambutan tahun ini dilihat lebih bermakna ketika Iran berdepan serangan berterusan oleh Amerika Syarikat dan Israel sejak 28 Februari lalu.
“Perang ini sudah berlangsung sebulan. Walau berapa lama sekalipun, kami akan teruskan,” kata seorang pesara berusia 57 tahun, Encik Moussa Nowruzi. “Kami akan bertahan hingga ke akhir.”
Di Dataran Enghelab, orang ramai membawa sepanduk bertulis “Balas dendam” dan mengibarkan bendera Iran berskala besar.
Dalam kalangan orang ramai yang melaungkan slogan seperti “Allahu Akbar, Khamenei Rahbar” (Tuhan Maha Besar, Khamenei pemimpin tertinggi), ada yang dilihat menangis sambil memegang gambar ahli keluarga yang terkorban dalam konflik.
Keranda Encik Tangsiri dibawa perlahan-lahan merentasi lautan manusia yang hadir memberi penghormatan terakhir.
Encik Tangsiri dikenali sebagai antara tokoh kanan paling lama berkhidmat dalam IRGC serta dianggap arkitek kepada penutupan Selat Hormuz yang memberi kesan besar kepada perdagangan global.
Menjelang ucapan penting kepada negara, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mendakwa Presiden Iran telah meminta gencatan senjata, namun dakwaan itu dinafikan oleh Teheran.Trump turut menegaskan bahawa serangan hanya akan dihentikan apabila Selat Hormuz dibuka sepenuhnya.
Namun, ancaman tersebut tidak menggoyahkan semangat para hadirin. “Sehingga hari ini, kenyataan Trump hanya mengelirukan rakyat Amerika sendiri,” kata Encik Homa Vosoogh, 36 tahun. “Kami tidak peduli apa yang dia katakan.”
Seorang penjawat awam, Encik Mohammad Saleh Momeni, turut menyifatkan kenyataan Trump sebagai tidak masuk akal. “Dia tidak mampu melaksanakan kata-katanya, dan kami berdiri teguh di belakang pemimpin kami,” katanya.
Walaupun serangan telah mengorbankan ramai pegawai kanan termasuk pemimpin tertinggi Ayatollah Ali Khamenei, struktur pemerintahan Iran masih kekal utuh.
Iran juga masih mempunyai keupayaan melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke sasaran di rantau tersebut.
Di seluruh Teheran, potret Khamenei dan penggantinya, Encik Mojtaba Khamenei, dipaparkan sebagai simbol kesinambungan kepimpinan. “Mereka fikir dengan membunuh komander kami, kami akan menjadi lemah,” kata Encik Momeni. “Tiada apa yang mereka boleh lakukan.”
Namun di sebalik sokongan terbuka, terdapat juga suara yang menginginkan perubahan selepas gelombang protes anti-pemerintah yang memuncak pada Januari lalu. Seorang wanita yang enggan dikenali berkata beliau kecewa dengan perkembangan semasa. “Dia mengkhianati rakyat Iran,” katanya merujuk kepada Encik Trump.
Beliau menambah bahawa walaupun tidak lagi mengharapkan perubahan pemerintah, rakyat masih berharap kepada lebih banyak kebebasan dalam kehidupan seharian. - Agensi berita

