SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Trump perlekeh Macron, dakwa isterinya melayan beliau dengan buruk

Trump perlekeh Macron, dakwa isterinya melayan beliau dengan buruk

Apr 2, 2026 | 2:57 PM

Trump perlekeh Macron, dakwa isterinya melayan beliau dengan buruk

Presiden Perancis, Emmanuel Macron, bersama isterinya, Brigitte Macron, mengundi dalam pusingan pertama pilihan raya perbandaran Perancis di Le Touquet-Paris-Plage, Perancis, pada 15 Mac 2026.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, bersama isterinya, Brigitte Macron, mengundi dalam pusingan pertama pilihan raya perbandaran Perancis di Le Touquet-Paris-Plage, Perancis, pada 15 Mac 2026. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mencetuskan kontroversi apabila memperlekehkan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, serta isterinya, Cik Brigitte Macron, dalam satu majlis makan tengah hari tertutup, di samping mengkritik sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) kerana tidak menyertai perang menentang Iran.

Rakaman video ucapan itu, yang dimuat naik secara ringkas di saluran YouTube Rumah Putih sebelum akses disekat, menunjukkan Encik Trump menyindir Encik Macron secara peribadi. “Kami tidak memerlukan mereka, tetapi saya tetap meminta,” katanya.

Encik Trump turut membuat kenyataan sinis mengenai hubungan Encik Macron dengan isterinya.
“Saya hubungi Perancis, Macron, isterinya melayannya dengan sangat buruk. Masih pulih daripada tumbukan di rahang,” katanya, merujuk kepada video lama yang sebelum ini dinafikan Encik Macron sebagai penyebaran maklumat palsu.

Encik Trump mendakwa beliau telah meminta bantuan Perancis untuk menyokong operasi ketenteraan di Teluk. “Saya kata, ‘Emmanuel, kami ingin bantuan di Teluk walaupun kami mencatat kejayaan besar memusnahkan ancaman dan peluru berpandu balistik. Jika boleh, hantarlah kapal dengan segera,’” katanya.

Beliau kemudian meniru loghat Perancis bagi menggambarkan jawapan Macron. “‘Tidak, tidak, kami tidak boleh lakukan itu sekarang, Donald. Kami boleh bantu selepas perang dimenangi,’” katanya.

Encik Trump berkata beliau menolak cadangan tersebut. “Saya kata, ‘Saya tidak perlukan bantuan selepas perang dimenangi’,” tambahnya.

Dalam ucapannya, Trump turut menyasarkan Nato, dengan menyifatkan pakatan itu sebagai lemah.
“Saya belajar sesuatu tentang Nato, mereka tidak akan berada bersama kita jika berlaku perang besar,” katanya tanpa memberikan penjelasan lanjut.

Beliau juga melabel Nato sebagai “harimau kertas,” satu lagi kritikan terhadap pakatan transatlantik itu sejak beliau kembali ke Rumah Putih pada 2025.

Kenyataan Encik Trump itu dibuat sehari selepas Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, berkata Washington mungkin akan menilai semula hubungannya dengan Nato selepas konflik Iran berakhir.

Kenyataan berterusan daripada pemimpin tertinggi Amerika ini mencerminkan ketegangan yang semakin meningkat antara Washington dan sekutunya, ketika perang di Asia Barat terus mencetuskan perbezaan pendirian dalam kalangan negara Barat. - Agensi berita

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg