Topic followed successfully
Go to BHkuTrump: Iran bukan lagi ancaman besar
Trump: Iran bukan lagi ancaman besar
Mahu bawa Iran ‘kembali ke zaman batu’ jika syarat tidak dipenuhi
Trump: Iran bukan lagi ancaman besar
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menyatakan bahawa operasi ketenteraan Washington terhadap Iran hampir mencapai matlamat utama dan konflik itu dijangka berakhir dalam masa terdekat.
Dalam ucapan televisyen kepada negara, Encik Trump berkata tentera Amerika telah memusnahkan keupayaan utama Iran, termasuk tentera laut, tentera udara serta program peluru berpandu balistik dan nuklear.
“Saya gembira untuk mengatakan bahawa matlamat strategik utama ini hampir selesai,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa serangan akan dipertingkat dalam tempoh terdekat.
“Kita akan membelasah mereka dengan sekuatnya dalam dua hingga tiga minggu akan datang. Kita akan membawa mereka kembali ke zaman batu,” katanya.
Encik Trump menambah bahawa selepas 32 hari operasi ketenteraan, Iran kini “bukan lagi ancaman besar”.
Walaupun memberi bayangan perang akan segera berakhir, Encik Trump tidak menetapkan garis masa yang jelas.
“Kita akan selesaikan tugas ini dengan cepat. Kita sudah sangat hampir,” katanya.
Namun pada masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan serangan baharu, termasuk terhadap sasaran tenaga dan minyak jika perlu.
Walaupun menegaskan “perubahan rejim bukan matlamat kami”, Encik Trump mendakwa perubahan kepimpinan telah berlaku susulan kematian pemimpin asal Iran, tanpa memberikan penjelasan lanjut mengenai kenyataan tersebut.
Beliau juga memberi amaran khusus mengenai kemungkinan serangan ke atas prasarana kritikal Iran, termasuk loji penjanaan elektrik, jika tiada perjanjian dicapai dalam tempoh yang ditetapkan.
“Jika dalam tempoh masa ini tiada perjanjian dicapai, kami mempunyai sasaran utama dalam pengawasan kami.
“Jika tiada perjanjian, kami akan menyerang setiap satu loji penjanaan elektrik mereka dengan sangat hebat, dan kemungkinan besar secara serentak,” katanya.
Ucapan Encik Trump dibuat ketika sokongan rakyat Amerika terhadap perang kian merosot, terutama dalam kalangan pengundi bebas.
Tinjauan Reuters/Ipsos menunjukkan 60 peratus rakyat tidak menyokong perang, manakala 66 peratus mahu Amerika menamatkan penglibatan dengan segera.
Kenaikan harga minyak akibat gangguan bekalan sejagat turut menambah tekanan terhadap pentadbiran Encik Trump.
Menjawab kebimbangan itu, Encik Trump berkata kenaikan harga adalah sementara.
“Kenaikan harga ini adalah akibat serangan pengganas oleh rejim Iran terhadap kapal minyak komersial negara jiran,” katanya.
Beliau memberi jaminan harga akan kembali stabil.
Di sebalik kenyataan perang hampir tamat, Amerika masih menghantar ribuan tentera tambahan ke rantau Teluk, menandakan semua pilihan ketenteraan masih terbuka.
Antara cadangan yang dipertimbangkan termasuk operasi untuk merampas bekalan uranium Iran serta penguasaan kawasan strategik seperti pesisir Iran dan Pulau Kharg.
Namun, Encik Trump memberi bayangan serangan untuk mendapatkan bahan nuklear mungkin tidak diperlukan.
“Tapak nuklear mereka telah dimusnahkan dengan teruk sehingga mengambil masa berbulan untuk menghampirinya,” kata beliau.
Encik Trump turut menyatakan rundingan tidak langsung sedang berjalan melalui perantara, termasuk Pakistan, dan mendakwa ia menunjukkan perkembangan positif.
Namun Iran menafikan wujudnya rundingan langsung dengan Washington.
Dalam ucapannya selama hampir 20 minit, Encik Trump menegaskan bahawa Amerika tidak bergantung kepada Selat Hormuz, laluan utama eksport minyak sejagat.
“Kita tidak memerlukannya,” kata Encik Trump.
Namun, kenyataan itu dilihat tidak mengambil kira realiti ekonomi sejagat – gangguan bekalan minyak tetap memberi kesan kepada harga bahan api di Amerika.
Encik Trump juga cuba meyakinkan rakyat konflik itu tidak berpanjangan seperti perang sebelum ini.
“Penting untuk kita melihat konflik ini dalam perspektif,” katanya, sambil membandingkan tempoh perang tersebut dengan Perang Dunia, Vietnam dan Iraq yang jauh lebih lama.
Beliau menegaskan bahawa operasi itu adalah pelaburan untuk masa depan.
“Ini adalah pelaburan sebenar untuk masa depan anak-anak dan cucu anda,” katanya.
Selepas ucapan Encik Trump, harga saham jatuh manakala harga minyak meningkat mendadak, dengan pelabur kecewa kerana tiada penjelasan jelas mengenai cara cepat menamatkan konflik.
Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) pada 1 April memberi amaran perang itu memberi kesan besar, di peringkat sejagat dan sangat tidak seimbang.
Sumber kanan Iran memberitahu agensi berita, Reuters, Teheran menuntut gencatan senjata terjamin untuk menghentikan serangannya dan tiada rundingan melalui orang tengah berlaku mengenai gencatan sementara.
Akhbar setempat lain turut melaporkan secara berasingan bahawa agensi perisikan Amerika menilai Iran kini enggan terbabit dalam rundingan besar untuk menamatkan perang.
Encik Trump berkata perbincangan sedang dijalankan dengan pemimpin Iran yang dianggapnya kurang radikal berbanding pemimpin terdahulu.
“Namun, jika dalam tempoh ini tiada perjanjian dicapai, kita mempunyai sasaran utama.
“Jika tiada perjanjian, kita akan menyerang setiap loji jana elektrik mereka dengan keras dan mungkin serentak,” katanya.
Dua sumber keselamatan Pakistan, yang menjadi orang tengah dalam konflik, memberitahu Reuters, Islamabad mengusulkan gencatan senjata sementara tetapi belum menerima maklum balas daripada kedua-dua pihak. – Agensi berita.

