Topic followed successfully
Go to BHkuTrump mahu ‘ambil alih minyak Iran’, rampas hab eksport
Trump mahu ‘ambil alih minyak Iran’, rampas hab eksport
Serangan Teheran ke atas kemudahan air dan tenaga di Kuwait ragut 1 nyawa
Trump mahu ‘ambil alih minyak Iran’, rampas hab eksport
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata beliau boleh “mengambil alih minyak di Iran” dan merampas hab eksport Iran di Pulau Kharg, ketika permusuhan di Timur Tengah berterusan masuk minggu kelima.
Beliau memberitahu Financial Times (FT) pada 29 Mac bahawa “keutamaannya adalah mengambil alih minyak”, membandingkannya dengan operasi ketenteraan Amerika di Venezuela pada awal 2026.
Operasi itu menyaksikan Amerika menguasai industri minyak negara Amerika Latin itu, susulan penangkapan pemimpinnya, Encik Nicolas Maduro.
Pentadbiran Encik Trump telah menimbangkan untuk menghantar tentera darat ke Pulau Kharg, menurut Reuters, dengan salah satu sumbernya memberi amaran bahawa operasi sedemikian “sangat berisiko”.
Ini kerana Teheran mempunyai keupayaan peluru berpandu dan dron untuk melindungi pulau tersebut.
Dalam temu bual dengan FT, Encik Trump berkata “apa yang saya suka buat ialah untuk mengambil alih minyak di Iran tetapi beberapa orang bodoh di Amerika menyatakan mengapa anda melakukan itu?”
“Kami mungkin ambil Pulau Kharg, mungkin tidak.
“Kami ada banyak pilihan. Ia juga bermakna kami terpaksa berada di Pulau Kharg untuk seketika,” ujarnya.
Rumah Putih dan Jabatan Negara Amerika tidak segera memberi maklum balas untuk mendapatkan komen.
Kenyataan Encik Trump itu dibuat ketika perang antara Amerika dan Israel dengan Iran memasuki minggu kelima, dengan serangan kian meluas di seluruh rantau Teluk.
Konflik tersebut meningkatkan risiko ke atas sektor tenaga dan prasarana, dan telah menyebabkan harga minyak mentah terus melonjak.
Niaga hadapan minyak mentah Brent pada Mei meningkat lebih 3.2 peratus kepada AS$116.12 ($149.52) setong dengan penanda aras antarabangsa menuju ke lonjakan bulanan yang mencatat rekod.
The Washington Post melaporkan pada malam 28 Mac bahawa Pentagon sedang bersedia untuk melakukan serangan darat.
Sekitar 3,500 tentera Amerika tiba di rantau tersebut pada 27 Mac.
Beribu-ribu askar daripada Divisyen Payung Terjun ke-82 juga diarahkan untuk menyokong operasi tersebut.
Terdahulu, Encik Trump berkata perunding Iran ‘merayu’ Amerika supaya mencapai perjanjian bagi menamatkan perang, walaupun Iran telah menafikan sebarang interaksi langsung dengan Amerika.
Beliau selanjutnya berkata rundingan tidak langsung antara Amerika dengan Iran melalui ‘utusan’ Pakistan berjalan lancar.
Ditanya tentang pengerahan tentera darat, Encik Trump berkata terdapat “banyak alternatif” dan pencapaian tentera Amerika setakat ini adalah serupa dengan “benar-benar satu perubahan rejim.”
Operasi tentera darat Amerika berkemungkinan akan mendorong tentera Iran meningkatkan serangan ke atas prasarana kuasa dan loji penyahgaraman di seluruh rantau Teluk, kata Encik Seth Krummrich, Naib Presiden Global Guardian, dan mantan ketua staf, operasi khas, tentera Amerika.
Menandakan peningkatan selanjutnya, prasarana kritikal di rantau Teluk kian menjadi sasaran Iran.
Dalam satu catatan media sosial pada pagi 30 Mac, Kuwait berkata sebuah bangunan perkhidmatan di loji penjanaan kuasa dan penyahgaraman telah diserang pada petang 29 Mac, membunuh seorang pekerja warga negara India.
Negara itu berkata kemudahan berkenaan disasarkan sebagai sebahagian daripada apa yang disifatkan sebagai pencerobohan Iran terhadap Kuwait. – Agensi berita.

