SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Trump: AS akan tamatkan operasi di Iran dalam dua hingga tiga minggu

Trump: AS akan tamatkan operasi di Iran dalam dua hingga tiga minggu

AS hantar kapal induk ketiga ke Timur tengah, kerah jet pengebom B-52 ke Iran
Apr 1, 2026 | 12:23 PM

Trump: AS akan tamatkan operasi di Iran dalam dua hingga tiga minggu

iran, donald trump
Seorang anggota pasukan keselamatan Iran berkawal di sebelah sepanduk yang memaparkan pemimpin tertinggi Iran terdahulu dan semasa di Teheran, Iran, pada 31 Mac sedang operasi ketenteraan bersama Amerika dan Israel terus menyasarkan lokasi strategik di seluruh Iran. - Foto EPA

WASHINGTON: Presiden Donald Trump berkata Amerika Syarikat dijangka menamatkan kempen ketenteraannya di Iran dalam tempoh dua hingga tiga minggu, sambil menegaskan bahawa isu penutupan Selat Hormuz bukan lagi tanggungjawab Washington semata-mata.

“Kami akan berundur tidak lama lagi,” katanya kepada wartawan di Pejabat Oval ketika pentadbirannya masih berbincang dengan Iran dan serangan udara terhadap republik Islam itu masih diteruskan.

“Apa yang saya perlu lakukan hanya keluar dari Iran dan kami akan melakukannya tidak lama lagi, mereka akan jatuh merudum. Kami sedang menamatkan tugas itu dan saya fikir dalam masa mungkin dua minggu, mungkin beberapa hari lebih lama, untuk menyelesaikan tugas itu,” katanya ketika ditanya pada satu acara di Rumah Putih mengenai kesan harga bahan api yang tinggi sejak permulaan perang pada 28 Februari lalu.

Encik Trump dijangka menyampaikan ucapan khas kepada rakyat Amerika bagi memberikan perkembangan terkini mengenai Iran, menurut Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt.

Encik Trump turut berkata bahawa penamatan operasi Amerika itu tidak bergantung kepada sebarang perjanjian dengan Iran, yang telah menutup Selat Hormuz kepada laluan kapal tangki minyak.

“Mereka tidak perlu membuat perjanjian dengan saya. Amerika hanya akan berundur apabila yakin Iran tidak lagi mampu menghasilkan senjata nuklear. Sama ada kita ada perjanjian atau tidak, itu tidak relevan,” katanya.

Beliau juga mengulangi gesaannya di platform Truth Social pada 31 Mac supaya negara lain mendapatkan bekalan minyak sendiri melalui Selat Hormuz, selepas sekutu Amerika enggan membantu membuka semula laluan kapal tangki itu.

“Jika Perancis atau mana-mana negara lain mahu mendapatkan minyak atau gas, mereka boleh melalui Selat Hormuz, mereka akan pergi ke sana, dan mereka mampu mempertahankan diri sendiri.

“Apa yang berlaku dengan selat itu, kami tidak akan terbabit, kerana negara-negara ini, China akan pergi dan mengisi bahan api kapal-kapal mereka yang cantik… dan mereka akan menjaga diri mereka sendiri. Tiada sebab untuk kami melakukannya.

“Amerika tidak akan berada di sana untuk membantu anda lagi, sama seperti anda tidak berada di sana untuk kami. Iran pada asasnya telah dilemahkan sepenuhnya. Bahagian paling sukar telah selesai. Pergi dapatkan minyak sendiri!,” katanya.

Presiden Trump turut menyatakan bahawa Iran tidak perlu mencapai sebarang perjanjian dengan Washington bagi membolehkan perang ditamatkan.

Menurut beliau, syarat utama operasi tersebut dihentikan adalah apabila Iran “dikembalikan ke zaman batu”, iaitu tidak lagi berkeupayaan memperoleh senjata nuklear dalam masa terdekat.

Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, menafikan dakwaan bahawa rundingan rasmi sedang berlangsung dengan Amerika.

Beliau berkata Iran belum memberi sebarang maklum balas terhadap cadangan damai 15 perkara yang dikemukakan Washington, dan tidak mengemukakan cadangan balas.

Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Pete Hegseth, turut mengulangi mesej itu dalam satu sidang media sambil mengesahkan beberapa hari mendatang akan menjadi tempoh penting dalam konflik itu.

“Hari-hari mendatang akan menjadi penentu. Iran tahu perkara itu dan hampir tiada apa yang boleh mereka lakukan dari segi ketenteraan mengenainya,” katanya.

Encik Hegseth turut memaklumkan beliau telah melawat tentera Amerika yang terbabit dalam operasi di rantau berkenaan, namun lokasi tidak didedahkan atas faktor keselamatan.

“Kami berada di lapangan di Pentadbiran Pusat (CENTCOM) pada Sabtu (28 Mac) selama kira-kira setengah hari,” kata Encik Hegseth, merujuk kepada perintah tentera Amerika yang bertanggungjawab bagi rantau berkenaan.

Amerika turut meningkatkan kehadiran tenteranya di Asia Barat dengan menghantar kapal pengangkut pesawat tambahan ke rantau itu.

Kapal pengangkut pesawat USS George H.W. Bush dijangka menggantikan salah satu daripada dua kapal yang sudah ditempatkan, iaitu USS Abraham Lincoln dan USS Gerald R. Ford.

Selain itu, ribuan anggota Marin dan tentera laut turut dihantar, bersama kapal serangan dan jet pejuang tambahan.

Di Washington, Pengerusi Ketua Turus Bersama, Encik Dan Caine, berkata Amerika kini mula menerbangkan pengebom B-52 di ruang udara Iran buat pertama kali sejak perang bermula.

Langkah itu menunjukkan bahawa sistem pertahanan udara Iran telah mengalami kerosakan serius sehingga tidak lagi mampu menghalang pesawat besar seperti pengebom B-52 daripada memasuki ruang udaranya.

Encik Hegseth, bagaimanapun mengakui Iran masih mempunyai keupayaan untuk bertindak balas.

“Mereka akan melancarkan beberapa peluru berpandu, dan kami akan memintasnya,” katanya. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg