Topik diikuti
Pergi ke BHkuIran kemuka cadangan damai baru kepada AS
Iran kemuka cadangan damai baru kepada AS
Usul buka Selat Hormuz dan tamat sekatan Washington
Iran kemuka cadangan damai baru kepada AS
TEHERAN: Iran mengemukakan cadangan baharu kepada Amerika Syarikat bagi menamatkan konflik semasa, dengan memberi tumpuan kepada pembukaan Selat Hormuz dan penarikan sekatan laut oleh Washington sebelum rundingan nuklear diteruskan.
Menurut beberapa pegawai Iran, saranan itu disampaikan oleh Menteri Luar, Encik Abbas Araghchi, kepada Pakistan sebagai perantara diplomatik.
Langkah itu diambil selepas usulan awal Iran ditolak oleh Presiden Donald Trump.
Dalam kenyataannya, Encik Araghchi, berkata Iran bersedia mempertimbangkan rundingan baharu.
“Mereka tidak mencapai sebarang matlamat, dan sebab itu mereka kini meminta rundingan. Kami sedang mempertimbangkannya,” kata beliau.
Saranan terkini itu mengusulkan agar isu paling sensitif, termasuk program nuklear Iran, ditangguhkan buat sementara bagi membuka laluan kepada penyelesaian konflik yang lebih segera.
Penganalisis daripada Kumpulan Krisis Antarabangsa, Encik Ali Vaez, menyifatkan pendekatan itu sebagai perubahan strategi.
“Ini adalah usaha menyusun semula keutamaan membuka Selat Hormuz sebagai sebahagian daripada usaha menamatkan perang, dan menangguhkan isu lebih sukar supaya tidak menggagalkan rundingan dari awal,” katanya.
Dalam cadangan itu, Iran menyaran pembukaan semula Selat Hormuz kepada laluan perdagangan sejagat, yang kini terjejas akibat konflik dan sekatan laut oleh tentera laut Amerika.
Sebagai sebahagian daripada pelan, Iran turut mengusul mengenakan bayaran kepada kapal yang melalui laluan tersebut.
Beberapa pegawai Iran dilaporkan mencadangkan bayaran sehingga AS$2 juta ($2.55 juta) bagi setiap kapal, dengan hasilnya dijangka melebihi pendapatan eksport minyak negara itu.
Namun, saranan tersebut mendapat tentangan dari negara Teluk termasuk Oman, yang menggesa laluan itu dibuka tanpa syarat.
Sebelum ini, Amerika menuntut Iran menghentikan program nuklearnya selama 20 tahun serta menyerahkan stok uranium diperkaya tinggi.
Iran menolak tuntutan itu dan menyifatkannya sebagai keterlaluan.
Cadangan terdahulu oleh Teheran termasuk penggantungan pengayaan uranium selama lima tahun, diikuti pengayaan tahap rendah untuk tujuan awam, selain memindahkan sebahagian bekalan uranium ke Russia.
Namun, Encik Trump menyifatkan cadangan itu sebagai “tidak memadai”.
Sekatan laut oleh Amerika dilaporkan memberi tekanan besar kepada ekonomi Iran, terutama selepas serangan oleh Amerika dan Israel merosakkan prasarana utama negara itu.
Pegawai Iran turut memberi amaran bekalan makanan asas mungkin terjejas dalam tempoh beberapa minggu jika sekatan berterusan.
Pemerintah Iran kini berusaha mencari laluan alternatif, termasuk penghantaran barangan melalui Pakistan dan Turkey serta penghantaran kecil melalui Laut Kaspia dari Russia.
Walaupun kedua-dua pihak bertukar cadangan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, rundingan masih belum mencapai kemajuan ketara.
Encik Trump dijangka mengadakan mesyuarat bagi menilai cadangan terkini Iran, ketika usaha diplomatik terus berlangsung dalam keadaan gencatan senjata yang rapuh.
Beliau turut dilaporkan membangkitkan perbincangan mengenai kemungkinan gencatan senjata dalam satu panggilan dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, ujar dua sumber yang mengetahui tentang perkara itu.
Beliau turut bercakap dengan Presiden Amiriah Arab Bersatu (UAE), Encik Mohammed bin Zayed.
Dengan kedua-dua pihak masih berpegang kepada tuntutan masing-masing, usulan terbaru Iran dilihat sebagai percubaan untuk memecahkan kebuntuan dan membuka ruang pada rundingan lebih luas. – Agensi berita.
