Topic followed successfully
Go to BHkuAS kerah pasukan khas, tentera cecah 50,000 di Timur Tengah
AS kerah pasukan khas, tentera cecah 50,000 di Timur Tengah
AS kerah pasukan khas, tentera cecah 50,000 di Timur Tengah
WASHINGTON: Amerika Syarikat meningkatkan kehadiran tenteranya di Asia Barat apabila ratusan anggota Pasukan Operasi Khas dihantar ke rantau itu, menyertai ribuan Marin dan pasukan payung terjun dalam usaha memberi lebih banyak pilihan ketenteraan kepada Presiden Donald Trump dalam konflik yang berlarutan dengan Iran.
Menurut dua pegawai tentera Amerika pada lewat 29 Mac, pasukan elit termasuk Army Rangers dan Navy SEAL itu masih belum diberikan misi khusus, namun berpotensi digunakan dalam beberapa operasi strategik.
Antara kemungkinan utama ialah penempatan pasukan bagi melindungi Selat Hormuz, laluan penting yang mengendalikan kira-kira 20 peratus perdagangan minyak dunia, tetapi kini terjejas akibat tindakan Iran menyekat penghantaran sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika dan Israel.
Selain itu, pasukan khas tersebut juga boleh digunakan dalam operasi untuk menawan Pulau Kharg, pusat eksport minyak utama Iran di Teluk Parsi, atau dalam misi berkaitan kemudahan nuklear Iran di Isfahan.
Pengerahan sekitar 2,500 anggota Marin dan 2,500 kelasi menjadikan jumlah keseluruhan tentera Amerika di rantau itu melebihi 50,000, iaitu kira-kira 10,000 lebih tinggi daripada tahap biasa.
Secara lazimnya, sekitar 40,000 anggota ditempatkan di pangkalan dan kapal di negara seperti Arab Saudi, Bahrain, Iraq, Syria, Jordan, Qatar, Amiriah Arab Bersatu dan Kuwait.
Pentagon turut mengarahkan kira-kira 2,000 anggota daripada Divisyen Airborne ke-82 ke Asia Barat minggu lalu bagi memperkukuh keupayaan operasi darat. Lokasi sebenar mereka tidak didedahkan, namun disahkan berada dalam jarak serangan ke Iran.
Pegawai Amerika memaklumkan Encik Trump kini sedang menilai sama ada untuk melancarkan operasi lebih besar, termasuk kemungkinan menawan kawasan strategik bagi membuka semula Selat Hormuz.
Namun, penganalisis ketenteraan memberi amaran bahawa jumlah tentera sedia ada masih tidak mencukupi untuk operasi darat berskala besar.
Sebagai perbandingan, Israel menggunakan lebih 300,000 tentera dalam operasi di Gaza, manakala pencerobohan Iraq pada 2003 melibatkan sekitar 250,000 tentera gabungan yang diketuai Amerika.
Dengan keluasan hampir satu pertiga daripada Amerika dan populasi sekitar 93 juta orang, Iran dianggap terlalu besar dan kompleks untuk ditawan atau dikawal dengan hanya 50,000 tentera.
Pakar ketenteraan menegaskan sebarang operasi darat berskala besar berisiko tinggi dan berpotensi mencetuskan konflik yang lebih panjang serta sukar dikawal.
Perkembangan ini menunjukkan Washington masih berada di persimpangan antara pendekatan diplomatik dan peningkatan tindakan ketenteraan, ketika konflik di rantau itu terus memuncak tanpa tanda penyelesaian segera. - Agensi berita

