Topik diikuti
Pergi ke BHkuSemangat tunai haji tidak luntur di tengah peperangan
Semangat tunai haji tidak luntur di tengah peperangan
Cabaran kenaikan kos dan isu keselamatan tidak halang jutaan tuju ke Makkah
Semangat tunai haji tidak luntur di tengah peperangan
RIYADH: Konflik yang terus memuncak di Asia Barat akibat perang melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan Israel kini mula memberi kesan langsung kepada ibadah haji tahun 2026, khususnya dari segi kos perjalanan dan kebimbangan berhubung isu keselamatan.
Namun, di sebalik ketidaktentuan geopolitik itu, jutaan umat Islam khususnya di Asia masih meneruskan persiapan untuk menunaikan rukun Islam kelima dengan penuh keyakinan dan kepercayaan.
Salah satu kesan paling ketara ialah peningkatan mendadak harga bahan api penerbangan sejagat yang melonjak lebih 70 peratus sejak serangan pertama Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari lalu.
Keadaan itu menyebabkan beberapa negara berdepan tekanan besar untuk menampung kos tambahan penerbangan haji.
Di India, pemerintah mengumumkan kenaikan tambahan sebanyak 10,000 rupee atau kira-kira $133 bagi pakej haji 2026 selepas syarikat penerbangan meminta tambang asas dinaikkan lebih AS$400 ($507).
Jawatankuasa Haji India berkata kenaikan itu dibuat susulan “keadaan semasa di Asia Barat” dan tekanan kos operasi syarikat penerbangan.
Keputusan itu bagaimanapun menerima kritikan daripada pemimpin masyarakat Islam dan ahli politik yang menyifatkan kenaikan tersebut membebankan golongan berpendapatan rendah.
Setiausaha Agung, Lembaga Undang-Undang Peribadi Syiah Seluruh India, Encik Maulana Yasoob Abbas, berkata ramai umat Islam di India terpaksa menyimpan wang bertahun-tahun demi menunaikan haji.
“Ia benar-benar memberi kesan kepada umat Islam miskin. Ada yang bekerja sebagai buruh harian atau pemandu beca dan menabung sepanjang hidup untuk ke Makkah,” katanya.
Ahli politik India, Encik Asaduddin Owaisi, pula menyifatkan kenaikan itu sebagai satu bentuk “eksploitasi” terhadap bakal jemaah.
Namun, di sebalik tekanan ekonomi itu, majoriti jemaah masih memilih untuk meneruskan perjalanan mereka kerana menganggap haji sebagai kewajipan kerohanian yang jauh lebih besar daripada cabaran semasa.
Keadaan itu menunjukkan bahawa ibadah haji bukan sekadar perjalanan biasa, malah, lambang pengorbanan, kesabaran dan keimanan umat Islam di seluruh dunia.
Indonesia, negara Islam terbesar di dunia dengan kuota haji tahunan sebanyak 221,000 anggota jemaah, turut berdepan cabaran yang sama akibat peningkatan kos bahan api penerbangan.
Namun, Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, menegaskan rakyat negara itu tidak akan dibebankan dengan kenaikan tambahan kos haji 2026.
Menteri Haji dan Umrah Indonesia, Dr Mochamad Irfan Yusuf, berkata pemerintah sedang meneliti pelbagai pilihan untuk menyerap tambahan kos sekitar AS$103 juta yang kebanyakannya berpunca daripada kenaikan tambang penerbangan.
Pendekatan itu dilihat sebagai usaha dalam memastikan ibadah haji kekal mampu dilaksanakan rakyat walaupun dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi dan konflik geopolitik.
Dalam masa sama, perang Iran turut menimbulkan persoalan mengenai keselamatan jemaah di rantau Asia Barat yang kini berada dalam keadaan tegang.
Namun, Arab Saudi mengambil pendekatan yang dianggap banyak pihak sebagai matang dan profesional dengan memisahkan urusan politik daripada pengurusan haji.
Jutaan orang menyaksikan video jemaah Iran disambut dengan bunga dan layanan mesra di Madinah walaupun Arab Saudi sendiri pernah menjadi sasaran serangan dron dan peluru berpandu Iran sepanjang perang tersebut.
Walaupun berdepan ancaman keselamatan, Riyadh tetap menerima jemaah Iran sebagai tetamu Allah yang datang untuk beribadah, bukan sebagai musuh politik.
Pendekatan itu mencerminkan dasar lama Arab Saudi yang menolak “mempolitikkan haji” dan mahu memastikan ibadah tersebut kekal aman, tersusun dan bebas daripada pengaruh ideologi atau konflik serantau.
Ketika perang selama 12 hari antara Israel dengan Iran pada 2025, ribuan anggota jemaah Iran terkandas di Arab Saudi dan tidak dapat pulang ke tanah air mereka.
Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz, kemudian mengarahkan Kementerian Haji dan Umrah menyediakan semua keperluan serta perkhidmatan kepada jemaah Iran sehingga keadaan mengizinkan untuk mereka pulang dengan selamat.
Arahan itu dilaksanakan di bawah penyeliaan rapi Putera Mahkota Mohammed bin Salman.
Pemerhati melihat tindakan tersebut sebagai mesej penting bahawa kestabilan haji perlu diutamakan melebihi perbezaan politik dan konflik ketenteraan.
Dalam konteks lebih luas, haji memerlukan penyelarasan antarabangsa yang amat kompleks setiap tahun.
Hampir dua juta anggota jemaah dari seluruh dunia berkumpul di Makkah dalam tempoh singkat, menjadikannya antara perhimpunan manusia terbesar di dunia.
Arab Saudi turut mengenakan kuota kepada setiap negara bagi mengelakkan kesesakan melampau dalam memastikan keselamatan jemaah.
Pegawai keselamatan Arab Saudi, Mejar Jeneral Mohammed Al-Omari, menegaskan:
“Keselamatan menunaikan haji adalah garis merah (kiasan garis batas). Kami tidak akan membenarkan sesiapa mendekatinya, apatah lagi melanggarnya,” katanya.
Beliau berkata matlamat utama pasukan keselamatan adalah memastikan jemaah dilayan dengan penuh keselesaan dan keselamatan sepanjang berada di Tanah Suci.
Pendekatan tegas itu penting kerana tanpa kawalan ketat, musim haji boleh dieksploitasi kumpulan tertentu untuk menyebarkan propaganda politik atau agenda sektarian yang akhirnya mengancam keselamatan jutaan anggota jemaah.
Dalam masa sama, beberapa tokoh agama di Najaf, Iraq dan Qom, Iran turut mengingatkan jemaah Iran supaya mematuhi semua peraturan Arab Saudi ketika menunaikan haji.
Mereka menegaskan melanggar undang-undang negara tuan rumah adalah sesuatu yang dilarang dari sudut agama kerana menjaga ketenteraman merupakan tanggungjawab utama umat Islam.
Apa yang berlaku pada 2026 menunjukkan bahawa walaupun perang, ketegangan politik dan tekanan ekonomi terus membelenggu dunia Islam, ibadah haji masih menjadi lambang perpaduan yang mampu merentasi sempadan politik dan ideologi.
Cabaran seperti kenaikan kos penerbangan dan risiko keselamatan memang memberi tekanan kepada jutaan anggota bakal jemaah.
Namun, semangat untuk menunaikan ibadah di Tanah Suci tetap tidak luntur.
Dalam dunia yang semakin terpecah akibat konflik geopolitik, haji terus menjadi ruang yang mengingatkan umat Islam bahawa perpaduan, disiplin dan keamanan adalah asas paling penting dalam ibadah dan kehidupan sejagat. – Agensi berita.
