JEDDAH: Jemaah haji Iran mula tiba di Arab Saudi bagi menunaikan ibadah haji musim 2026 dalam perkembangan yang dilihat penting ketika hubungan antara Riyadh dengan Teheran masih dibayangi ketegangan akibat perang di Timur Tengah.

Menurut laporan penyiar berpangkalan di Riyadh, Al Arabiya, Kementerian Haji Arab Saudi memaklumkan bahawa kumpulan pertama jemaah Iran tiba melalui udara untuk menyertai ibadah tahunan umat Islam itu.

Ketibaan itu berlaku meskipun hubungan antara Arab Saudi dengan Iran merosot sejak tercetusnya perang Asia Barat, selepas Iran melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas beberapa negara Teluk, termasuk Arab Saudi, sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran bermula 28 Februari.

Kempen serangan udara Teheran hanya terhenti awal April selepas Amerika dan Iran mengumumkan gencatan senjata yang masih rapuh.

Dalam konteks itu, penerimaan jemaah Iran oleh Arab Saudi bagi musim haji 2026 dilihat bukan sekadar urusan keagamaan, malah, isyarat penting dalam hubungan dua kuasa utama dunia Islam itu.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berkata kerajaannya sudah membuat persiapan penuh bagi menyambut jemaah Iran dan memastikan mereka dapat melaksanakan ibadah haji dengan selamat, teratur dan selesa.

Seorang wakil kementerian itu berkata kumpulan pertama jemaah Iran tiba di Madinah sebelum meneruskan perjalanan ke Makkah.

“Jemaah Iran akan bergerak ke Makkah dalam keadaan selamat dan tenang bagi melaksanakan ibadah haji dengan selesa dan terjamin,” kata pegawai Arab Saudi itu, lapor media Iran, Tasnim.

Pegawai itu turut berkata Arab Saudi menyambut kedatangan tetamu Masjidil Haram dengan layanan baik.

Pihak Iran pula berkata beberapa perhubungan sudah dibuat antara pegawai Saudi dengan Iran bagi memastikan semua persiapan berjalan lancar, termasuk penginapan, makanan serta pengangkutan darat dan udara.

Wakil Pertubuhan Haji dan Ziarah Iran berkata pihak Arab Saudi telah beberapa kali menegaskan bahawa Riyadh menyambut kedatangan jemaah dari seluruh dunia Islam, termasuk Iran.

“Pegawai Arab Saudi dalam beberapa perhubungan dengan pihak Iran menegaskan bahawa mereka menyambut jemaah dari dunia Islam, khususnya dari Iran, dengan tangan terbuka,” katanya.

Menurut Pertubuhan Haji dan Ziarah Iran, kira-kira 30,000 anggota jemaah Iran dijangka menunaikan haji pada 2026.

Penghantaran jemaah itu dilakukan selepas mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Kebangsaan Tertinggi Iran.

Agensi berita rasmi Iran, Irna, melaporkan kumpulan pertama membabitkan 260 anggota jemaah Iran sudah memasuki Madinah pada 27 April.

Mereka disambut dalam satu majlis yang dihadiri pegawai Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Konsul Jeneral Iran di Jeddah, wakil Pertubuhan Haji dan Ziarah Iran di Arab Saudi serta ketua ibu pejabat Madinah.

Jemaah dari wilayah Golestan itu berlepas dari Lapangan Terbang Imam Khomeini pada malam 27 April dan ditempatkan di sebuah hotel di Madinah sebelum berjalan kaki ke Masjid Nabawi untuk menunaikan solat isyak dan menziarahi makam Nabi Muhammad saw.

Sebanyak 16 hotel di Madinah dan 24 hotel di Makkah diperuntukkan bagi menempatkan jemaah Iran.

Perkhidmatan kesihatan juga akan disediakan sepanjang tempoh haji.

Penerbangan pula dikatakan bersedia untuk beroperasi sementara menunggu kelulusan akhir pihak penerbangan awam.

Pada masa yang sama, pelan pengangkutan darat turut disediakan sekiranya diperlukan.

Kemasukan jemaah Iran ke Arab Saudi sering menjadi ukuran tahap hubungan antara dua negara itu.

Iran dan Arab Saudi tidak menghantar jemaah Iran ke Makkah selama beberapa tahun selepas hubungan diplomatik terputus pada 2016.

Ketegangan itu bermula apabila Saudi Arabia memutuskan hubungan dengan Iran selepas kedutaan Arab Saudi di Teheran dan konsulatnya di Mashhad diserang ketika bantahan terhadap pelaksanaan hukuman mati ke atas ulama Syiah, Nimr al-Nimr.

Hubungan kedua-dua negara hanya dipulihkan pada Mac 2023 menerusi perjanjian mengejut yang diusahakan China.

Namun perang Asia Barat sekali lagi menguji hubungan itu.

Pada 1 Mac, Kementerian Luar Arab Saudi memanggil Duta Iran ke Riyadh bagi membantah serangan terhadap Arab Saudi dan negara jiran Teluk.

Pada 9 April pula, Menteri Luar Saudi Arabia, Putera Faisal bin Farhan, mengadakan perbualan telefon dengan rakan sejawatannya dari Iran, Encik Abbas Araghchi.

Ia menjadi hubungan rasmi pertama antara kedua-dua negara sejak perang itu bermula. – Agensi berita.