MAKKAH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan bahawa semua persiapan pentadbiran dan operasi lapangan bagi musim Haji tahun 2026 ini telah siap sepenuhnya, termasuk pengurusan pergerakan jemaah ke kawasan Jamrah untuk melontar, akses ke metro di tanah suci serta sistem pengangkutan antara lokasi ibadah utama.

Menurut laporan Agensi Berita Saudi (SPA) pada 10 Mei, persiapan itu dilakukan dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan sebagai sebahagian daripada sistem operasi bersepadu yang menggunakan perancangan moden dan teknologi terkini bagi memastikan keselamatan serta kelancaran perjalanan jutaan anggota jemaah.

Kementerian itu berkata penyelarasan di lapangan turut diperkukuhkan menerusi struktur kepimpinan bersatu, pertukaran maklumat yang lebih pantas serta mekanisme tindak balas segera bagi menangani sebarang perkembangan sepanjang musim haji.

Langkah itu bertujuan meningkatkan kecekapan pengangkutan dan pergerakan jemaah di kawasan tanah suci yang dijangka sesak ketika kemuncak ibadah nanti.

“Kepatuhan terhadap jadual pergerakan yang diluluskan amat penting untuk memastikan aliran jemaah berjalan lancar dan selamat,” menurut kementerian itu.

Pihak berkuasa juga menggesa semua jemaah mematuhi peraturan pergerakan yang ditetapkan bagi memastikan ibadah haji dapat dilaksanakan dalam keadaan teratur dan selamat.

Dalam perkembangan berkaitan, Kidana Development Co., cabang pelaksana Suruhanjaya Diraja bagi Bandar Makkah dan Tanah Suci, turut menyiapkan kerja menaik taraf rangkaian sistem penyejukan dan kebakaran di kawasan khemah Mina.

Projek itu melibatkan 188 zon penempatan yang merangkumi 565 khemah dengan panjang keseluruhan rangkaian itu mencecah 339,000 meter.

Kerja naik taraf itu dilaksanakan dalam empat fasa dan bertujuan menggantikan sistem lama dengan rangkaian moden yang memenuhi piawaian teknikal lebih tinggi.

Menurut SPA, sistem baharu itu dijangka meningkatkan tahap keselamatan, mengurangkan risiko kerosakan dan kebocoran serta memastikan perkhidmatan penyejukan dapat beroperasi tanpa gangguan sepanjang musim Haji.

Selain itu, projek berkenaan juga dijangka meningkatkan kecekapan kerja penyelenggaraan dan menyediakan suasana lebih selesa untuk para jemaah ketika berada di Mina.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Makanan dan Ubat-Ubatan Arab Saudi (SFDA) turut memperketat pengawasan bagi memastikan bekalan perubatan dan makanan untuk jemaah berada pada tahap selamat dan mencukupi.

Pasukan pemeriksaan SFDA kini ditempatkan di beberapa pintu masuk utama negara itu bagi memeriksa penghantaran ubat-ubatan dan peranti perubatan yang dibawa masuk bersama delegasi haji dari pelbagai negara.

Menurut pihak berkuasa itu, pemeriksaan dilakukan bagi memastikan semua bekalan mematuhi piawaian yang ditetapkan selain membantu mempercepat prosedur kemasukan di pintu masuk negara itu.

Setakat ini, SFDA telah memeriksa 27 penghantaran bekalan perubatan dari 20 negara melibatkan lebih 187 tan barangan.

Dalam masa sama, pihak berkuasa itu turut menghalang kemasukan kira-kira satu tan produk makanan dan farmaseutikal yang didapati tidak mematuhi piawaian keselamatan.

SFDA berkata beberapa langkah fleksibiliti operasi turut diperkenalkan bagi memastikan bekalan perubatan kepada misi haji tidak terganggu.

Antaranya termasuk pemeriksaan sebahagian penghantaran dilakukan terus di ibu pejabat misi haji di tanah suci bagi mempercepat proses tanpa menjejaskan standard keselamatan yang ditetapkan.

Langkah persediaan besar-besaran itu dilakukan ketika Arab Saudi bersiap menerima jutaan jemaah dari seluruh dunia untuk musim haji 2026, dengan tumpuan diberi kepada aspek keselamatan, kesihatan dan kelancaran operasi di semua lokasi utama ibadah. – Agensi berita.