Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Protes rakyat Iran meluas ketika angka korban meningkat, Internet diputuskan

Jan 9, 2026 | 10:33 AM
Iran, bantahan, orang ramai
Rakaman skrin daripada kandungan pengguna yang dimuat naik di media sosial menunjukkan pasukan keselamatan Iran menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan di bazar Tehran pada 6 Januari 2026. - Foto AFP

TEHRAN: Gelombang protes di Iran memasuki fasa paling tegang pada 8 Januari apabila penunjuk perasaan meningkatkan tekanan terhadap kepimpinan ulama negara itu dalam demonstrasi terbesar sejak hampir dua minggu lalu, ketika pihak berkuasa bertindak memutuskan akses Internet dan angka korban akibat tindakan keras keselamatan terus meningkat.

Gerakan bantahan itu bermula pada 28 Disember lalu dengan penutupan bazar utama Tehran susulan kejatuhan nilai mata wang rial ke paras terendah dalam sejarah.

Sejak itu, protes merebak ke seluruh negara dan kini disertai perhimpunan berskala lebih besar, termasuk di ibu negara, sekali gus menggugat kestabilan kepimpinan tertinggi di bawah Ayatollah Ali Khamenei yang sedang berdepan krisis ekonomi berpanjangan akibat sekatan antarabangsa serta kesan perang dengan Israel pada Jun lalu.

Di Washington, Presiden Amerika Syarikat Encik Donald Trump mengeluarkan amaran keras terhadap Tehran, dengan menyatakan Amerika Syarikat akan mengambil tindakan tegas sekiranya pihak berkuasa Iran “mula membunuh rakyat mereka sendiri”.

Beliau memberi amaran bahawa Washington akan “bertindak sangat keras” terhadap Iran jika keganasan terhadap penunjuk perasaan berterusan.

Kenyataan itu dibuat ketika pertubuhan hak asasi manusia melaporkan peningkatan mendadak penggunaan kekerasan oleh pasukan keselamatan Iran.

Pertubuhan bukan pemerintah berpangkalan di Norway, Hak Asasi Iran (IHR), berkata sekurang-kurangnya 45 penunjuk perasaan telah terbunuh sejak demonstrasi bermula, termasuk lapan kanak-kanak bawah umur.

Menurut IHR, 7 Januari lalu merupakan hari paling berdarah setakat ini, dengan 13 kematian disahkan dalam satu hari. “Bukti yang ada menunjukkan skala tindakan keras ini semakin ganas dan semakin meluas dari hari ke hari,” kata Pengarah IHR, Encik Mahmood Amiry-Moghaddam. IHR menambah bahawa ratusan lagi cedera dan lebih 2,000 orang telah ditahan.

Media pemerintah Iran dan kenyataan rasmi pula melaporkan sekurang-kurangnya 21 orang, termasuk anggota pasukan keselamatan, terkorban sejak rusuhan bermula, menurut pengiraan AFP. Pada 7 Januari sebuah agensi berita tempatan melaporkan seorang pegawai polis maut di barat Tehran ketika cuba “mengawal ketegangan”.

Namun, tindakan keras itu gagal meredakan kemarahan rakyat. Protes berterusan sehingga lewat malam 8 Januari, dengan rakaman media sosial yang disahkan AFP menunjukkan sekumpulan besar penunjuk perasaan berhimpun di Lebuhraya Ayatollah Kashani di barat laut Tehran, manakala demonstrasi turut dilaporkan di bandar Abadan di wilayah Khuzestan.

Ketika bandar-bandar utama dilanda bantahan, badan pemantau Internet NetBlocks melaporkan bahawa Iran kini “sedang mengalami gangguan internet berskala nasional”, satu langkah yang dilihat bertujuan menyekat penyebaran maklumat dan koordinasi protes.

Agensi berita Aktivis Hak Asasi yang berpangkalan di Amerika Syarikat menyatakan bahawa perhimpunan telah berlaku di 348 lokasi merentasi kesemua 31 wilayah Iran, mencerminkan skala kebangkitan yang semakin meluas.

Tokoh pembangkang buangan, Encik Reza Pahlavi, anak kepada Shah Iran yang digulingkan dalam Revolusi Islam 1979, menggesa rakyat supaya terus mengadakan demonstrasi besar-besaran.

Parti-parti pembangkang Kurdi Iran yang berpangkalan di Iraq turut menyeru mogok umum di kawasan majoriti Kurdish di barat Iran.

Kumpulan hak asasi Hengaw melaporkan seruan itu disambut meluas di kira-kira 30 bandar dan pekan, sambil memuat naik rakaman kedai-kedai yang ditutup di wilayah Ilam, Kermanshah dan Lorestan.

Hengaw turut menuduh pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan di Kermanshah dan bandar berhampiran, Kamyaran, menyebabkan beberapa orang cedera.

Dalam satu lagi insiden yang mencetuskan kemarahan awam, IHR melaporkan seorang wanita ditembak tepat di bahagian mata semasa satu protes di Abadan lewat 7 Januari.

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, pada 8 Januari menggesa semua pihak menunjukkan “kawalan maksimum” dalam menangani demonstrasi. “Sebarang tingkah laku ganas atau bersifat paksaan perlu dielakkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Di peringkat antarabangsa, Menteri Luar Jerman, Johann Wadephul, mengecam apa yang disifatkannya sebagai “penggunaan kekerasan berlebihan” terhadap penunjuk perasaan Iran, menambah tekanan diplomatik terhadap Tehran.

Satu video yang disahkan AFP menunjukkan penunjuk perasaan di bandar Kuhchenar di wilayah Fars bersorak kegembiraan ketika mereka merobohkan patung bekas komander operasi luar Pengawal Revolusi, Qassem Soleimani, yang terbunuh dalam serangan Amerika Syarikat pada Januari 2020. Demonstran turut melaungkan slogan anti-pemerintah seperti “Pahlavi akan kembali” dan “Seyyed Ali akan digulingkan”, merujuk kepada Khamenei.

Protes itu turut menular ke institusi pendidikan tinggi. Agensi berita ISNA melaporkan peperiksaan akhir di Universiti Amir Kabir di Tehran ditangguhkan selama seminggu susulan ketegangan yang berterusan.
Pemerhati menyifatkan gelombang bantahan ini sebagai yang terbesar sejak protes 2022–2023, yang tercetus selepas kematian Mahsa Amini dalam tahanan polis moral kerana didakwa melanggar kod pemakaian wanita.

Pertubuhan hak asasi antarabangsa Amnesty International turut menuduh pihak berkuasa Iran menggunakan taktik keras, termasuk menyerbu hospital untuk menahan penunjuk perasaan yang cedera. “Pasukan keselamatan Iran telah mencederakan dan membunuh penunjuk perasaan serta orang awam,” kata Amnesty, sambil menegaskan penggunaan “kekerasan yang menyalahi undang-undang”. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg