TEHERAN: Sekurang-kurangnya 36 orang terbunuh dalam bantahan berterusan di Iran, kata sebuah kumpulan hak asasi manusia yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Angka kematian itu terus meningkat ketika protes peniaga dan demonstrasi jalanan merebak ke 285 lokasi di 92 bandar di serata negara pada hari ke-10 pergolakan tersebut.
Agensi Berita Aktivis Hak Asasi Manusia (Hrana) menyatakan sekurang-kurangnya 34 penunjuk perasaan dan dua anggota pasukan keselamatan Iran terbunuh sejak pergolakan bermula pada 28 Disember.
Empat daripada mereka yang maut berusia di bawah 18 tahun. Berpuluh-puluh lagi penunjuk perasaan cedera, kebanyakannya terkena peluru.
Protes kini telah direkodkan di 27 wilayah dengan pasukan keselamatan menahan lebih 2,000 orang, ujar laporan itu.
Tindakan keras terhadap bantahan telah diperluas ke hospital dan pusat perubatan yang merawat penunjuk perasaan yang cedera di Ilam dan Teheran.
Demikian menurut saksi dan rakaman video yang diperoleh oleh agensi berita Iran International.
Perkembangan paling ketara pada hari ke-10 protes ialah bantahan dan tunjuk perasaan meluas oleh peniaga bazar, terutama di pusat komersial, Mashhad dan Bazar Besar Teheran.
Sebahagian besar pasar emas, mata wang, fabrik, kasut dan barangan rumah dilaporkan ditutup sepenuhnya atau sebahagiannya.
Pasukan keselamatan meningkatkan kehadiran mereka di sekitar hab komersial utama dan menyekat beberapa perhimpunan, tetapi protes itu mengganggu kegiatan ekonomi harian.
Hrana turut mendokumentasikan peningkatan kekerasan oleh unit keselamatan, termasuk penggunaan senjata pelet, gas pemedih mata dan serangan langsung ke atas penunjuk perasaan.
Pemantau hak asasi berkata laporan rasmi tentang angka kematian bercanggah dengan keterangan saksi.
Wilayah Ilam, yang majoritinya penganut Kurdi di barat Iran, kekal menjadi titik panas protes pada 6 Januari, ketika pengebumian di bandar Malekshahi untuk penunjuk perasaan yang terbunuh bertukar menjadi tempat protes antipemerintah besar-besaran.
Penunjuk perasaan di bandar Abdanan juga membanjiri jalanan dengan sorakan menentang pucuk pimpinan Iran.
Tujuh parti pembangkang Kurdish Iran telah mengeluarkan seruan bersama untuk melancarkan mogok umum pada 8 Januari sebagai menyokong protes di seluruh negara dan sebagai kecaman terhadap apa yang mereka sifatkan sebagai “jenayah rejim di wilayah Kermanshah, Ilam dan Lorestan”.
Mereka mengutuk tindakan keras terhadap demonstrasi dan penahanan penunjuk perasaan, menyifatkannya sebagai “dasar lama rejim Republik Islam”. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg