DUBAI: Sekurang-kurangnya 16 orang telah terbunuh semasa protes bagi membantah inflasi yang melambung tinggi merebak ke seluruh Iran, mendorong pertempuran ganas antara penunjuk perasaan dengan pasukan keselamatan.
Kumpulan hak asasi manusia berkata pada 4 Januari bahawa kematian dan penangkapan telah dilaporkan sepanjang minggu oleh media pemerintah.
Namun, angka kematian sebenar belum dapat disahkan.
Protes tersebut adalah yang terbesar dalam tempoh tiga tahun, dan walaupun lebih kecil daripada beberapa pergolakan sebelumnya yang menggegarkan Republik Islam itu.
Protes tersebut berlaku pada saat-saat kelemahan ekonomi mencengkam Iran dan tekanan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap negara itu.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, telah mengancam untuk menyokong penunjuk perasaan jika mereka menghadapi keganasan, dengan menyatakan pada 2 Januari bahawa Amerika sedia mengambil tindakan tetapi tanpa menyatakan butirannya.
Amaran itu mencetuskan ancaman tindakan balas terhadap pasukan Amerika di rantau ini daripada pegawai kanan termasuk pemimpin Iran Ayatollah Ali Khamenei yang berkata negaranya “tidak akan tunduk kepada musuh”.
Kumpulan hak asasi Kurdish Hengaw melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 17 orang telah terbunuh sejak bermulanya protes.
Rangkaian aktivis hak asasi, Hrana, berkata sekurang-kurangnya 16 orang telah terbunuh dan 582 orang ditangkap.
Pertempuran paling sengit telah dilaporkan di bahagian barat Iran, tetapi terdapat juga protes dan pertempuran antara penunjuk perasaan dengan polis di ibu negara Tehran, di kawasan tengah, dan di selatan wilayah Baluchistan.
Pada lewat 3 Januari, gabenor Qom, pusat konservatif pertubuhan ulama Syiah Iran, berkata dua orang telah terbunuh di sana dalam pertermpuaran yang berlaku.
Menurutnya, salah seorang daripada mereka telah meninggal dunia apabila alat letupan yang dibuatnya meletup sebelum waktunya.
Hrana dan agensi berita Tasnim yang bergabung dengan pemerintah melaporkan bahawa pihak berkuasa telah menahan pentadbir akaun dalam talian yang mendalangi protes tersebut.
Agensi berita sebelum ini melaporkan protes bermula di Teheran apabila peniaga melancarkan mogok sebagai bantahan terhadap kenaikan harga yang mendadak dan keadaan ekonomi yang terus merudum.
Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, cuba meredakan ketegangan dengan mengakui penunjuk perasaan mempunyai “tuntutan yang sah”, khususnya berkaitan kehidupan seharian dan ekonomi.
“Daripada perspektif Islam, jika kita gagal menyelesaikan isu kehidupan rakyat, kita akan berakhir di neraka,” kata beliau dalam satu acara yang disiarkan di televisyen pemerintah pada 1 Januari. - Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg