Topik diikuti
Pergi ke BHkuPolis Indonesia tahan 13 suspek langgar peraturan haji, kerugian cecah 10b rupiah
Polis Indonesia tahan 13 suspek langgar peraturan haji, kerugian cecah 10b rupiah
Polis Indonesia tahan 13 suspek langgar peraturan haji, kerugian cecah 10b rupiah
JAKARTA: Polis Indonesia menamakan 13 suspek dalam kes pengurusan haji tidak sah yang dipercayai menipu ratusan bakal anggota jemaah dengan kerugian dianggar mencecah 10 bilion rupiah ($721,000).
Jurucakap Polis Nasional Indonesia, Encik Johnny Eddizon Isir, pada 19 Mei berkata siasatan dijalankan selepas pihak berkuasa menerima puluhan aduan berkaitan pakej haji tidak mengikut prosedur rasmi.
“Pengawasan dan keselamatan haji bukan sekadar soal penguatkuasaan undang-undang, bahkan juga sebahagian daripada tanggungjawab negara untuk melindungi rakyat,” katanya.
Menurut beliau, pihak berkuasa akan terus memperketat pemantauan sepanjang musim haji 2026 bagi membanteras penganjur haji haram, penyalahgunaan visa dan penipuan yang menyasarkan bakal jemaah.
Dalam operasi terkini, Pasukan Petugas Haji dan Umrah Polis Indonesia pada 15 Mei lalu, pihak berkuasa berjaya menghalang 32 bakal anggota jemaah haji tidak sah daripada berlepas melalui Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.
Siasatan awal mendapati kumpulan itu mendakwa mereka mahu melancong ke Hainan, China melalui Singapura menggunakan penerbangan Batik Air.
Namun pemeriksaan imigresen mendapati 31 daripada mereka memegang visa kerja Arab Saudi sekali masuk yang sah selama 90 hari.
“Hasil soal siasat lanjut mendapati lima individu mengaku mahu menunaikan haji melalui laluan tertentu, manakala yang lain masih mendakwa mereka melancong,” kata Encik Johnny.
Pihak berkuasa turut mengenal pasti seorang individu yang dipercayai bertindak sebagai ketua rombongan dan pengurus operasi syarikat pelancongan FEIGO Travel yang menguruskan perjalanan itu.
Dalam operasi tersebut, polis merampas 32 pasport Indonesia; 32 pas masuk penerbangan Jakarta-Singapura; dan 31 visa kerja Arab Saudi untuk siasatan lanjut.
Menurut Encik Johnny, penubuhan Pasukan Petugas Haji Polis Indonesia membuktikan iltizam pemerintah untuk memastikan urusan ibadah haji dijalankan secara selamat, teratur dan mematuhi undang-undang.
“Pasukan ini diwujudkan melalui kerjasama dengan kementerian berkaitan, institusi pemerintah dan pihak berkuasa Arab Saudi bagi memastikan rakyat mendapat kepastian, keselamatan dan perlindungan daripada pelbagai jenayah termasuk penipuan dan penyalahgunaan laluan perjalanan,” katanya.
Beliau menegaskan tindakan pencegahan itu penting kerana ramai rakyat Indonesia sanggup mencari jalan alternatif untuk menunaikan haji akibat tempoh menunggu yang terlalu panjang.
Indonesia menerima kuota sekitar 220,000 anggota jemaah haji bagi 2026, menjadikannya kontinjen haji terbesar di dunia.
Namun, puluhan juta umat Islam di negara itu masih berada dalam senarai menunggu dengan sebahagian daripada mereka perlu menunggu lebih 15 tahun sebelum dapat menunaikan ibadah berkenaan secara rasmi.
Keadaan itu menyebabkan sesetengah bakal jemaah mudah terpedaya dengan tawaran pakej haji segera menggunakan visa kerja, visa pelancong atau laluan tidak sah.
Arab Saudi sebelum ini menegaskan hanya visa haji rasmi dibenarkan untuk menunaikan ibadah tersebut.
Individu yang cuba memasuki negara itu tanpa permit sah berisiko ditahan dan dihantar pulang.
Polis Indonesia berkata pasukan khas haji akan terus melaksanakan langkah pencegahan, pengesanan awal dan tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang disyaki melanggar peraturan.
“Kami mahu memastikan masyarakat dilindungi daripada amalan haji tidak mengikut prosedur dan pelbagai skim penipuan yang merugikan bakal jemaah,” tambah Encik Johnny. – Agensi berita.
