Topik diikuti
Pergi ke BHku19 warga Indonesia ditahan di Saudi atas pelbagai kesalahan
19 warga Indonesia ditahan di Saudi atas pelbagai kesalahan
Antara dakwaan termasuk rakam wanita tanpa izin, jual dam secara tidak sah
19 warga Indonesia ditahan di Saudi atas pelbagai kesalahan
JAKARTA: Seramai 19 warga Indonesia ditahan oleh pihak keselamatan Arab Saudi sepanjang musim haji 2026 atas pelbagai dakwaan pelanggaran undang-undang, termasuk mempromosikan perkhidmatan haji haram, menjual dam secara tidak sah serta merakam video wanita tempatan tanpa kebenaran.
Konsul Jeneral Indonesia di Jeddah, Encik Yusron B. Ambary, berkata pihak Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) telah menghantar pasukan perlindungan jemaah bagi memastikan hak semua rakyat Indonesia terbela sepanjang proses siasatan berlangsung.
“KJRI melalui Pasukan Perlindungan Jemaah sudah mendatangi balai polis. Ketika ini, 15 orang sedang disiasat di kawasan Khororoh manakala empat lagi berada di Al-Mansyur,” katanya ketika meninjau perkhidmatan haji di Arafah pada 14 Mei.
Menurut beliau, semua individu terbabit masih berstatus tertuduh dan bukannya suspek yang telah disabitkan kesalahan.
Daripada keseluruhan 19 warga yang diperiksa, dua individu telah diberikan pembebasan bersyarat selepas siasatan awal dijalankan pihak berkuasa Arab Saudi.
Salah seorang daripada mereka disiasat kerana didakwa merakam video seorang wanita Arab Saudi di Masjid Nabawi tanpa izin, manakala seorang lagi dikaitkan dengan kes penjualan dam yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan.
Encik Yusron berkata individu yang dikaitkan dengan kes rakaman video tanpa izin itu masih dibenarkan meneruskan ibadah hajinya sementara menunggu perkembangan proses undang-undang.
“Buat masa ini dia masih dibebaskan dan boleh meneruskan ibadah haji. KJRI akan terus memantau sama ada akan wujud tuntutan khas daripada wanita yang dirakam videonya itu,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa sistem perundangan Arab Saudi membezakan antara kesalahan jenayah umum dan jenayah khusus yang bergantung kepada aduan atau tuntutan mangsa.
“Jika tiada tuntutan khas daripada mangsa, individu terbabit boleh pulang mengikut jadual penerbangan asal. Namun jika mangsa membuat tuntutan, proses undang-undang akan diteruskan,” katanya lagi.
Dalam kes penjualan dam pula, seorang daripada empat individu yang disiasat telah dibebaskan secara bersyarat selepas pihak berkuasa mendapati bukti yang dikumpulkan masih belum mencukupi.
Encik Yusron turut meminta semua pihak menghormati sistem perundangan Arab Saudi dan tidak membuat kesimpulan awal terhadap individu yang sedang disiasat.
“Pihak keselamatan mempunyai tempoh lima hari untuk mengumpulkan bukti. Jika bukti masih belum lengkap, tempoh tahanan boleh dilanjutkan sehingga 20 hari,” katanya.
Beliau menambah bahawa pihak KJRI sudah bertemu secara langsung dengan semua tertuduh bagi memastikan hak mereka dipenuhi sepanjang tempoh siasatan.
Perkembangan itu berlaku ketika pemerintah Indonesia terus memperkukuh persiapan menghadapi kemuncak musim haji 1447 Hijrah, termasuk memberi penekanan terhadap kesihatan dan keselamatan jemaah.
Jurucakap Kementerian Haji dan Umrah Indonesia, Cik Maria Assegaff, berkata seluruh operasi haji Indonesia setakat ini berjalan lancar melibatkan penerbangan, penginapan, pengangkutan, kesihatan dan bimbingan ibadah.
“Alhamdulillah, perkhidmatan haji Indonesia terus berjalan dengan baik. Namun menjelang kemuncak haji, disiplin menjaga kesihatan amat penting,” katanya pada 13 Mei.
Beliau mengingatkan jemaah supaya mula menyimpan tenaga, mengurangkan aktiviti tidak penting dan mengelakkan berada di luar hotel terlalu lama terutama pada waktu tengah hari ketika cuaca panas melampau.
Menurut data terkini, sebanyak 379 kumpulan penerbangan melibatkan 146,622 anggota jemaah serta 1,513 petugas sudah dihantar ke Arab Saudi.
Dalam masa sama, perpindahan jemaah dari Madinah ke Makkah turut berjalan secara berperingkat dengan 312 kumpulan penerbangan melibatkan 120,507 anggota jemaah dan 1,248 petugas sudah tiba di kota suci itu.
Bagi gelombang kedua ketibaan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah, sebanyak 103 kumpulan penerbangan membawa 39,388 anggota jemaah dan 413 petugas telah selamat tiba.
Selain itu, seramai 7,146 anggota jemaah haji khas juga sudah berada di Arab Saudi.
Cik Maria berkata kemuncak ibadah haji memerlukan persediaan fizikal, mental dan rohani yang rapi, terutama bagi warga emas dan jemaah berisiko tinggi.
“Jangan tunggu sehingga keadaan menjadi serius. Jika jemaah berasa lemah, pening, sesak nafas, demam atau mengalami masalah kesihatan lain, segera maklumkan kepada petugas,” katanya.
Beliau turut menasihatkan jemaah supaya memberi keutamaan kepada ibadah wajib, mendapatkan rehat secukupnya, makan mengikut waktu dan minum air secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi.
Dalam pada itu, Kementerian Haji Indonesia turut mengingatkan jemaah gelombang kedua supaya memahami sepenuhnya peraturan ihram sebelum tiba di Makkah.
Cik Maria berkata jemaah yang mendarat di Jeddah akan terus bergerak ke Makkah dan perlu memastikan pakaian ihram dipakai dengan betul sebelum melepasi miqat.
“Jangan malu untuk bertanya kepada pembimbing ibadah atau petugas sekiranya masih keliru mengenai niat ihram, miqat atau larangan ihram,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan musim haji bukan sahaja bergantung kepada kecekapan petugas, tetapi juga disiplin jemaah dalam menjaga kesihatan dan mematuhi peraturan sepanjang berada di Tanah Suci. – Agensi berita.
