Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia gagalkan cubaan 80 rakyat tunai haji secara haram
Indonesia gagalkan cubaan 80 rakyat tunai haji secara haram
Arab Saudi turut tahan 10 warga Indonesia kerana tunai haji tanpa permit sah
Indonesia gagalkan cubaan 80 rakyat tunai haji secara haram
JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia telah menggagalkan cubaan 80 rakyat negara itu untuk berlepas ke Arab Saudi bagi menunaikan ibadah haji secara tidak sah, dalam operasi besar-besaran membanteras perjalanan haji tanpa prosedur rasmi musim ini.
Operasi itu dilaksanakan di beberapa lapangan terbang antarabangsa utama menerusi Pasukan Petugas Pencegahan Haji Haram yang melibatkan kerjasama antara Kementerian Haji, Kementerian Imigresen dan Pemasyarakatan serta Polis Nasional Indonesia.
Setiausaha Direktorat Jeneral Haji dan Umrah Indonesia, Encik Rizka Anungnata, berkata tindakan penguatkuasaan tertumpu di beberapa hab transit utama negara itu.
“Sehingga hari ini, sebanyak 80 tindakan penguatkuasaan telah dijalankan oleh rakan imigresen di beberapa lokasi,” katanya pada 8 Mei.
Menurut beliau, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta merekodkan jumlah tertinggi dengan 57 individu ditahan, diikuti Surabaya seramai 15 orang, Medan lima orang dan Yogyakarta tiga orang.
Pemerintah Indonesia berkata pasukan petugas itu diwujudkan bagi melindungi rakyat negara itu daripada menjadi mangsa penipuan, selain memastikan pematuhan terhadap peraturan haji yang ditetapkan Arab Saudi.
Pihak berkuasa menegaskan hanya visa haji rasmi diiktiraf kerajaan Arab Saudi untuk memasuki Makkah sepanjang musim haji.
Mereka yang cuba menunaikan ibadah itu tanpa permit sah berdepan risiko dihantar pulang, dikenakan denda berat dan terkandas di luar negara.
Selain faktor keselamatan individu, pemerintah Indonesia turut menyatakan bahawa cubaan menggunakan saluran tidak rasmi boleh menjejaskan reputasi negara itu serta integriti sistem kuota haji rasmi Indonesia.
Encik Rizka berkata pemerintah mengambil iktibar daripada beberapa kes sebelum ini yang menyaksikan rakyat Indonesia berdepan masalah undang-undang serius selepas menggunakan laluan tidak sah untuk menunaikan haji.
“Langkah pencegahan ini juga bertujuan menyokong usaha kerajaan Arab Saudi dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman sepanjang musim haji,” katanya.
Sementara itu, Polis Nasional Indonesia kini sedang menyiasat beberapa rangkaian yang disyaki mengatur perjalanan haji haram.
Pesuruhjaya Kanan Polis, Encik Pipit Subiyanto, berkata pihaknya menerima 95 laporan awal berkaitan cubaan berlepas tanpa prosedur rasmi.
Menurut beliau, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti taktik sindiket pelancongan yang cuba memintas peraturan pemerintah.
“Beberapa kes kini telah memasuki peringkat pendakwaan di peringkat wilayah,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya hanya menggunakan saluran rasmi dan mematuhi prosedur yang ditetapkan pemerintah bagi memastikan keselamatan dan kesucian ibadah haji terpelihara.
“Kami menggesa orang ramai menunaikan ibadah mengikut peraturan, prosedur operasi standard dan ketetapan kementerian,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa Arab Saudi turut menahan 10 rakyat Indonesia sepanjang minggu lalu kerana menunaikan haji tanpa permit sah.
Jurucakap Kementerian Haji dan Umrah Indonesia, Cik Maria Assegaff, berkata pemerintah Indonesia tidak akan campur tangan dalam proses undang-undang yang dijalankan Arab Saudi terhadap individu terbabit.
“Pemerintah Indonesia menyokong penuh dasar Arab Saudi yang melarang pelaksanaan haji tanpa permit rasmi,” katanya.
Cik Maria turut memberi amaran kepada rakyat Indonesia supaya berhati-hati terhadap tawaran pakej haji tanpa giliran rasmi kerana ia boleh menyebabkan kerugian kewangan, hukuman jenayah, pengusiran serta larangan memasuki Arab Saudi sehingga 10 tahun.
Pada masa yang sama, pemerintah Indonesia terus memperketat pemantauan di lapangan terbang bagi menghalang cubaan berlepas menggunakan dokumen tidak lengkap atau visa yang tidak sah.
“Operasi membanteras perjalanan haji tanpa kebenaran berjaya menggagalkan beberapa cubaan berlepas tanpa dokumen yang sah,” katanya.
Beliau berkata tindakan itu mencerminkan peranan pemerintah dalam melindungi rakyat daripada penipuan dan eksploitasi yang berselindung di sebalik perkhidmatan haji.
Sehingga 11 Mei, sebanyak 229 penerbangan telah membawa kira-kira 89,000 jemaah Indonesia ke Arab Saudi bagi musim haji tahun 2026 ini.
Cik Maria berkata kira-kira 10,700 anggota jemaah Indonesia mengalami masalah kesihatan ringan setakat ini, manakala sekitar 340 orang menerima rawatan di klinik atau hospital.
Beliau turut menasihatkan jemaah supaya menjaga kesihatan memandangkan suhu di Madinah dan Makkah kini mencecah antara 37 hingga 39 darjah Celsius.
“Jemaah perlu segera mendapatkan rawatan jika mengalami masalah kesihatan,” katanya. – Agensi berita.
