Topic followed successfully
Go to BHkuPerang maklumat Iran: Senjata senyap yang membentuk persepsi global
Perang maklumat Iran: Senjata senyap yang membentuk persepsi global
Sebar propaganda, maklumat mengelirukan serta manfaatkan AI
Perang maklumat Iran: Senjata senyap yang membentuk persepsi global
TEHERAN: Dalam konflik yang semakin memuncak antara Iran dengan Amerika Syarikat dan Israel, satu dimensi yang kurang kelihatan tetapi semakin berpengaruh sedang dimainkan secara agresif – perang maklumat.
Di sebalik peluru berpandu dan serangan udara, Iran dilihat memanfaatkan propaganda, penyebaran maklumat mengelirukan serta teknologi kecerdasan buatan untuk membentuk persepsi global.
Pendekatan ini bukan sekadar melengkapi strategi ketenteraan, sebaliknya menjadi senjata utama dalam perang tidak seimbang – iaitu keadaan di mana satu pihak tidak memiliki kekuatan ketenteraan setara dengan lawannya, lalu menggunakan ruang digital untuk mempengaruhi persepsi, mengawal naratif dan membentuk sokongan global sebagai medan pertempuran baharu.
Sejak lebih sebulan konflik berlangsung, kandungan propaganda pro-Iran membanjiri platform media sosial seperti X, Facebook, Instagram dan TikTok.
Kandungan ini bukan sahaja mengkritik Presiden Amerika, Encik Donald Trump, malah sering menggambarkannya sebagai pemimpin agresif yang menyasarkan orang awam.
Antara contoh paling menonjol ialah video yang menunjukkan peluru berpandu mengenai Pulau Liberty di New York, satu kandungan yang akhirnya disahkan sebagai rekaan.
Walaupun banyak kandungan ini telah dinafikan, ia tetap berjaya mencapai jutaan pengguna sebelum dipadamkan. Ini menunjukkan keberkesanan strategi Iran dalam memanfaatkan kelajuan penyebaran maklumat digital.
Menurut penganalisis Encik Darren L. Linvill dari Universiti Clemson: “Mereka sedang memenangi perang propaganda. Mereka lebih bersedia kerana telah membuat persiapan sejak puluhan tahun.”
Berbeza dengan propaganda tradisional, kempen ini tidak disasarkan kepada rakyat Iran sendiri.
Dengan akses Internet dalam negara yang terhad, sasaran utama adalah pengguna di luar Iran, khususnya di Amerika dan Eropah.
Penyelidik mendapati kebanyakan akaun yang menyebarkan kandungan ini dikendalikan oleh individu sebenar, bukan sekadar bot automatik.
Satu rangkaian sekurang-kurangnya 62 akaun dikenal pasti aktif menyebarkan naratif pro-Iran dalam pelbagai bahasa dan lokasi.
Sebahagian akaun tersebut menyamar sebagai pengguna dari Amerika Latin dan Eropah, sekali gus meningkatkan kredibiliti kandungan yang dikongsi.
Penggunaan teknologi kecerdasan buatan generatif menjadi faktor penting dalam meningkatkan keberkesanan propaganda ini. Imej dan video yang dihasilkan kelihatan semakin realistik, menyukarkan pengguna biasa untuk membezakan antara fakta dan rekaan.
Satu video yang tular memaparkan tokoh seperti Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, dan pemimpin tertinggi Korea Utara, Encik Kim Jong-un, ketawa sambil mendengar lagu rap yang mengejek Encik Trump satu contoh bagaimana naratif hiburan digunakan untuk menyampaikan mesej politik.
Penganalisis Encik Jonathan Ruhe berkata: “Kelemahan Trump dalam membina pakatan telah membuka ruang, dan kempen maklumat Iran hanya menambah tekanan terhadap keadaan itu.”
Iran tidak bersendirian dalam perang maklumat ini.
Penyelidik mendapati bahawa Russia dan China turut memainkan peranan dalam memperkuatkan naratif yang sama.
Media milik negara dan operasi pengaruh dari kedua-dua negara ini dilihat menyebarkan kandungan yang selari dengan mesej Iran, termasuk dakwaan bahawa Amerika dimanipulasi untuk menyertai perang.
Walaupun tiada bukti sokongan ketenteraan langsung, koordinasi dalam ruang maklumat menunjukkan satu bentuk kerjasama strategik yang semakin ketara.
Firma analisis Graphika menggambarkan strategi Iran sebagai “rantaian naratif” yang bergerak dari satu platform ke platform lain.
Proses ini bermula dengan siaran media negara Iran, diikuti oleh pempengaruh dalam talian, sebelum disebarkan secara meluas oleh rangkaian akaun berkaitan Russia dan China.
Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan capaian, malah memberi gambaran bahawa naratif tersebut mendapat sokongan meluas secara organik.
Menurut Graphika: “Kempen ini bertujuan mengalihkan kesalahan kepada pihak luar dan membina persepsi bahawa Iran adalah mangsa yang bertindak mempertahankan diri.”
Walaupun sukar diukur secara tepat, pakar percaya perang maklumat ini telah memberi kesan kepada sentimen awam, khususnya di Amerika.
Naratif yang mempersoalkan legitimasi perang serta menggambarkan penderitaan orang awam telah meningkatkan tekanan terhadap pentadbiran Encik Trump.
Pada masa yang sama, Iran berjaya mengalihkan perhatian daripada kerugian ketenteraan yang dialaminya di medan perang.
Platform seperti TikTok memainkan peranan besar dalam penyebaran kandungan.
Kajian mendapati 72 peratus tontonan kandungan propaganda berlaku di platform tersebut.
Dalam tempoh dua minggu pertama konflik, kempen pro-Iran dilaporkan meraih sehingga 145 juta tontonan.
Firma pemantauan Cyabra menyifatkan usaha ini sebagai: “Kempen tersusun dengan koordinasi jelas, menggunakan kandungan berulang dan lonjakan penyiaran dalam tempoh singkat.”
Strategi ini membolehkan Iran “menguasai perbincangan dalam talian” pada saat-saat kritikal konflik.
Tentera Amerika telah berusaha menafikan beberapa dakwaan palsu, termasuk laporan bahawa Iran berjaya menembak jatuh jet pejuang F/A-18.
Platform media sosial juga mengambil langkah memadam kandungan yang jelas palsu.
Namun, jumlah kandungan yang besar serta kelajuan penyebaran menjadikan usaha ini sukar.
Lebih membimbangkan, beberapa kandungan yang mengelirukan turut dihasilkan daripada akaun rasmi, termasuk penggunaan bahan berasaskan kecerdasan buatan.
Perang maklumat yang dilancarkan Iran menunjukkan bahawa konflik moden tidak lagi terhad kepada medan fizikal.
Dalam era digital, persepsi awam menjadi sasaran utama, dan siapa yang menguasai naratif boleh memperoleh kelebihan strategik.
Walaupun peluru berpandu boleh memusnahkan infrastruktur, propaganda mampu membentuk naratif global dan dalam banyak kes, kesannya lebih berpanjangan.
Seperti yang ditunjukkan oleh konflik ini, kemenangan tidak lagi ditentukan semata-mata di medan perang, tetapi juga dalam ruang maklumat yang tidak mempunyai sempadan.
Dalam konteks ini, Iran mungkin tidak menguasai sepenuhnya dari segi ketenteraan, namun dalam perang persepsi, ia dilihat semakin berupaya mengimbangi kekuatan lawannya. – Agensi berita.

