Topic followed successfully
Go to BHkuIran lancar peluru berpandu rentas Timur Tengah ketika Trump ancam hab minyak
Iran lancar peluru berpandu rentas Timur Tengah ketika Trump ancam hab minyak
Netanyahu: Lebih separuh objektif ketenteraan telah dicapai
Iran lancar peluru berpandu rentas Timur Tengah ketika Trump ancam hab minyak
TEHERAN: Iran melancarkan gelombang serangan peluru berpandu baharu di seluruh Timur Tengah pada 31 Mac ketika ibu negaranya, Teheran, dilanda beberapa letupan susulan ancaman keras daripada Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, terhadap infrastruktur tenaga utama negara itu.
Letupan terbaharu di Teheran dilaporkan menyebabkan gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan, manakala siren amaran turut kedengaran di Baitulmakdis selepas Israel memintas peluru berpandu Iran.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata lebih separuh objektif ketenteraan negaranya telah dicapai, namun enggan menetapkan garis masa bagi menamatkan operasi yang kini mencetuskan perang serantau dan mendorong lonjakan harga minyak global.
“Ia sudah melepasi separuh jalan, tetapi saya tidak mahu menetapkan jadual,” katanya.
Iran turut melancarkan serangan ke atas beberapa negara Teluk yang dituduh sebagai pangkalan bagi operasi ketenteraan Amerika.
Di Dubai, empat individu cedera akibat serpihan peluru berpandu yang dipintas.
Sebuah kapal tangki minyak gergasi milik Kuwait, Al-Salmi, dilaporkan terkena serangan dipercayai diserang dron Iran pada awal pagi 31 Mac, menyebabkan kebakaran serta kerosakan serius pada badan kapal ketika berada di perairan barat laut Dubai.
Arab Saudi pula memaklumkan berjaya memintas lapan peluru berpandu balistik, beberapa jam selepas diplomat tertinggi Iran menggesa Riyadh mengusir tentera Amerika.
Situasi ini menunjukkan konflik kini semakin meluas melangkaui sempadan Iran dan Israel, sekali gus menjejaskan kestabilan ekonomi dan keselamatan serantau.
Encik Trump sebelum ini memberi amaran bahawa Amerika akan memusnahkan kemudahan tenaga Iran sekiranya Teheran enggan mencapai perjanjian bagi menamatkan perang, termasuk membuka semula Selat Hormuz.
Namun laporan media menunjukkan Encik Trump dipercayai mahu menamatkan kempen itu lebih awal dan menangguhkan usaha rumit membuka semula laluan strategik berkenaan kepada peringkat seterusnya, pada tarikh yang belum ditentukan, menurut laporan The Wall Street Journal (WSJ) yang dipetik Reuters.
Sebagai tindak balas, jawatankuasa parlimen Iran mengundi untuk mengenakan bayaran tol ke atas kapal yang melalui Selat Hormuz serta mengharamkan kapal dari Amerika dan Israel.
Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, menyifatkan langkah itu sebagai perkembangan yang berbahaya.
“Ini memberi isyarat bahawa negara boleh menguasai laluan air antarabangsa dan menganggapnya milik sendiri,” katanya.
Konflik turut merebak ke Lebanon apabila Israel terus melancarkan serangan ke atas kumpulan Hezbollah yang disokong Iran.
Tentera Israel melaporkan empat lagi anggota tenteranya terbunuh dalam pertempuran di selatan Lebanon manakala serangan udara turut dilancarkan ke atas beberapa kawasan termasuk Beirut.
Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah al-Sisi, menggesa Encik Trump agar segera mencari jalan keluar bagi menamatkan konflik.
“Tolong bantu hentikan perang ini; anda mampu melakukannya,” katanya.
Pakistan pula memainkan peranan sebagai perantara, dengan Menteri Luarnya, Encik Ishaq Dar, dijadual mengadakan rundingan dengan China mengenai isu global termasuk konflik ini.
Washington mendakwa sedang berhubung dengan pihak Iran, namun Teheran menafikan sebarang rundingan langsung dan menuduh Amerika cuba mengelirukan keadaan.
Jurucakap Kementerian Luar Iran pada 31 Mac menegaskan bahawa Iran tidak mengadakan sebarang rundingan terus dengan Amerika setakat ini, selain menyifatkan dakwaan bahawa Tehran bersetuju dengan cadangan Washington sebagai tidak berasas, lapor agensi berita Mehr (MNA).
Bercakap dalam sidang media mingguan, Encik Esmaeil Baghaei menjawab dakwaan Presiden Trump yang menyatakan bahawa Iran telah menerima cadangan daripada pihak Amerika.
Konflik berpanjangan ini telah memberi tekanan besar kepada ekonomi global, khususnya melalui lonjakan harga minyak.
Pakar pasaran memberi amaran bahawa sekiranya berlaku operasi darat oleh Amerika atau tindak balas lebih besar dari Iran, harga minyak boleh melonjak ke paras tertinggi sejak krisis komoditi 2008.
Negara Kumpulan Tujuh (G7) turut mengadakan pertemuan di Paris bagi membincangkan kesan konflik, dengan beberapa negara mula melaksanakan langkah penjimatan tenaga.
Selain itu, kumpulan Houthi di Yaman yang disokong Iran turut melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas Israel, sekali gus menambah ancaman terhadap laluan perkapalan di Laut Merah.
Pertahanan udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) memintas satu lagi projektil Iran di ruang udara Turkey, menurut Kementerian Pertahanan Turkey, menandakan insiden keempat seumpamanya sejak Amerika dan Israel mula melancarkan perang ke atas Iran pada Februari lalu.
Turkey mengambil semua langkah perlu dengan tegas dan tanpa teragak-agak untuk melindungi wilayah serta ruang udaranya daripada sebarang ancaman, menurut kementerian itu dalam kenyataan di X.
Di sebalik ketegangan, penduduk Teheran cuba meneruskan kehidupan harian dalam keadaan serba tidak menentu.
Seorang pembantu pergigian berusia 27 tahun, Cik Fatemeh, menggambarkan suasana tersebut:
“Apabila saya duduk di kafe walaupun seketika, saya hampir lupa dunia sedang runtuh. Tetapi apabila pulang, realiti perang kembali menghantui.” – Agensi berita.

