Topic followed successfully
Go to BHkuPenduduk Israel hidup di bawah tanah elak serangan roket
Penduduk Israel hidup di bawah tanah elak serangan roket
Penduduk Israel hidup di bawah tanah elak serangan roket
KIRYAT SHMONA (Israel): Ketika siren kecemasan berbunyi dan amaran peluru berpandu muncul di telefon bimbit, penduduk Israel tidak lagi panik seperti dahulu.
Mereka tahu apa yang perlu dilakukan: bergegas ke tempat perlindungan, sama ada tempat letak kereta, stesen metro atau ruang bawah tanah.
Di bandar sempadan utara Kiryat Shmona, realiti ini menjadi rutin harian.
Bandar yang terletak hanya kira-kira satu kilometer dari sempadan Lebanon itu sekali lagi menjadi barisan hadapan dalam konflik antara Israel dan Hezbollah yang disokong Iran.
Di Jalan Sprinzak, suasana lengang menggambarkan tekanan yang dihadapi penduduk.
Sebahagian memilih berlindung di rumah, manakala yang lain berpindah ke kubu perlindungan bawah tanah lama yang kini menjadi tempat tinggal sementara.
Sekitar 18 penduduk termasuk wanita dan kanak-kanak berkongsi ruang sempit dengan katil besi yang tersusun rapat.
Kemudahan asas seperti penghawa dingin dan peti sejuk disediakan pihak majlis bandaran, namun keadaan tetap serba kekurangan.
Cik Yasmin Twito, ibu kepada empat anak, menggambarkan tekanan psikologi yang dihadapi.
“Saya takut untuk mandi. Sudah tiga hari saya tidak mandi,” katanya.
Beliau hanya berani pulang ke rumah seketika untuk memasak atau membersihkan anak-anak, sebelum kembali ke bunker.
Kedudukan Kiryat Shmona yang terlalu hampir dengan sempadan menjadikan masa amaran amat singkat, malah kadangkala tiada amaran langsung.
Serangan roket oleh Hezbollah bermula pada 2 Mac sebagai sokongan kepada Iran, membuka satu lagi medan konflik. Sejak itu, serangan balas Israel ke atas Lebanon dan tembakan roket berterusan telah menjadikan kawasan ini antara yang paling terjejas.
Pada satu malam, lebih 200 roket, peluru berpandu dan dron dilancarkan ke utara Israel.
Walaupun kebanyakannya dipintas, tekanan psikologi terhadap penduduk tidak dapat dielakkan.
Walaupun berdepan ancaman berterusan, ramai penduduk masih menyokong tindakan ketenteraan Israel terhadap Iran dan sekutunya.
Tinjauan oleh institusi penyelidikan Israel menunjukkan majoriti rakyat Yahudi Israel menyokong perang ini, dengan harapan ia dapat menamatkan ancaman jangka panjang.
Namun, bagi penduduk di kawasan sempadan, realitinya lebih rumit.
Encik Yaniv Weizman, seorang penduduk, menyuarakan rasa terpinggir.
“Apabila peluru berpandu jatuh di Tel Aviv, seluruh negara memberi perhatian. Tetapi di sini, tiada siapa peduli,” katanya.
Ramai penduduk masih dihantui pengalaman konflik terdahulu.
Cik Yasmin Twito mengimbas kembali perang 2006 apabila roket meletup berhampiran dirinya.
Pada 2023, beliau bersama keluarganya dipindahkan selama sembilan bulan sebelum dibenarkan pulang.
Namun, keputusan pemerintah untuk membenarkan penduduk kembali kini dipersoalkan.
“Adalah satu kesilapan membawa kami pulang tanpa perlindungan yang mencukupi,” kata Cik Twito.
“Kami cuba untuk kuat, tetapi jiwa saya terasa tertekan dari setiap sudut,” katanya.
Semasa konflik 2023, pemerintah Israel memindahkan lebih 60,000 penduduk dari utara.
Namun kali ini, penduduk diminta kekal di tempat masing-masing.
Menteri Pertahanan, Encik Israel Katz, menegaskan: “Tiada siapa akan meninggalkan tanah dan rumah mereka.”
Pendekatan ini menimbulkan kekeliruan.
Ada yang enggan berpindah lagi, tetapi dalam masa sama bimbang dengan keselamatan keluarga.
Encik Aviv Ben Shimol, seorang pekerja klinik, berkata: “Mereka kata ia selamat. Setahun kemudian, inilah keadaan kami.”
Walaupun gencatan senjata dicapai pada 2024, ketegangan tidak pernah benar-benar reda.
Serangan rentas sempadan berterusan menjadikan kehidupan harian sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga.
Encik Avraham Guy Kalfon, seorang penduduk, berkata bandar itu tidak lagi hidup seperti dahulu.
“Tiada siapa keluar. Tiada aktiviti. Kami hidup dalam tanda tanya,” katanya.
Walaupun begitu, beliau tetap enggan berpindah lagi.
Di seluruh Israel, tempat perlindungan kini menjadi ruang kehidupan alternatif.
Di Tel Aviv, tempat letak kereta bawah tanah bertukar menjadi pusat masyarakat lengkap dengan kelas yoga dan acara sosial.
Di bawah Stesen Bas Pusat, keluarga migran dari Filipina dan Eritrea tinggal dalam khemah sementara, berkongsi makanan dan membina komuniti kecil.
Di hospital, rawatan dipindahkan ke ruang bawah tanah.
Di Pusat Perubatan Sheba, kakitangan cuba menceriakan pesakit kanak-kanak dengan aktiviti seperti meniup buih sabun.
Walaupun Israel mempunyai sistem tempat perlindungan yang meluas, tidak semua masyarakat mempunyai akses yang sama.
Kawasan miskin dan masyarakat tertentu kekurangan kemudahan perlindungan, memaksa penduduk tinggal sepenuhnya di ruang bawah tanah.
Di Tebing Barat, keadaan lebih kritikal dengan akses terhad kepada tempat perlindungan. – Agensi berita.

