Topic followed successfully
Go to BHkuParlimen Israel lulus undang-undang hukuman mati terhadap rakyat Palestin
Parlimen Israel lulus undang-undang hukuman mati terhadap rakyat Palestin
Dilihat sebagai kemenangan kepada golongan kanan yang tegar dalam pentadbiran Netanyahu
Parlimen Israel lulus undang-undang hukuman mati terhadap rakyat Palestin
TEL AVIV: Parlimen Israel meluluskan undang-undang baru yang membolehkan hukuman mati terhadap rakyat Palestin yang disabitkan dengan serangan maut, satu langkah kontroversi yang mencerminkan pendirian lebih keras negara itu susulan konflik berterusan di Gaza.
Undang-undang yang diluluskan oleh Knesset selepas perbahasan panjang itu menetapkan hukuman gantung sebagai hukuman utama di mahkamah tentera bagi rakyat Palestin yang didapati bersalah dalam serangan bersenjata.
Langkah tersebut dilihat sebagai kemenangan kepada golongan kanan yang tegar dalam pentadbiran Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, yang sebelum ini berkempen untuk memperkenalkan hukuman mati terhadap militan Palestin.
Walaupun hukuman mati secara teknikal boleh dikenakan kepada semua warga Israel, termasuk warga Yahudi dan Arab, pakar undang-undang berpendapat pelaksanaannya hampir pasti hanya menyasarkan rakyat Palestin.
Profesor Undang-Undang di Universiti Tel Aviv, Encik Yoav Sapir, menyifatkan undang-undang itu sebagai berat sebelah.
“Niatnya jelas untuk dikenakan ke atas rakyat Palestin dan bukan terhadap ekstremis Yahudi,” katanya.
Susulan penolakan kesatuan doktor Israel untuk melaksanakan suntikan maut, hukuman gantung ditetapkan sebagai kaedah pelaksanaan di bawah undang-undang baharu tersebut.
Undang-undang itu turut membenarkan hakim membuat pengecualian dalam keadaan tertentu, namun, tidak memberikan laluan jelas untuk pengampunan kepada mereka yang disabitkan di mahkamah tentera.
Kumpulan hak asasi dan pengamat antarabangsa mengecam undang-undang tersebut sebagai diskriminasi dan melanggar prinsip kesaksamaan.
Peguam kumpulan hak Palestin, Dr Suhad Bishara, berkata: “Undang-undang ini secara jelas menyasarkan rakyat Palestin dan melanggar prinsip asas kesaksamaan serta larangan diskriminasi.”
Pihak Penguasa Palestin turut mengutuk langkah tersebut dan menegaskan bahawa Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas wilayah Palestin yang diduduki.
Beberapa negara Eropah termasuk Britain, Perancis, Jerman dan Italy menyuarakan kebimbangan bahawa undang-undang itu boleh menjejaskan komitmen Israel terhadap prinsip demokrasi.
Organisasi hak asasi seperti Amnesty Antarabangsa sebelum ini turut menggesa agar rang undang-undang itu ditolak kerana berpotensi digunakan secara tidak adil terhadap rakyat Palestin.
Beberapa ahli politik sayap kanan Israel dilaporkan memakai pin berbentuk tali gantung sebagai lambang sokongan terhadap undang-undang tersebut, namun, ia mencetuskan kritikan meluas.
Penyokong undang-undang berhujah hukuman mati boleh menjadi pencegah terhadap serangan masa depan, termasuk penculikan warga Israel bagi tujuan pertukaran tahanan.
Ahli Parlimen dari parti Likud, Encik Moshe Saada, berkata: “Setiap kali kita tidak menggunakan hukuman mati, kita sebenarnya menggalakkan cubaan penculikan seterusnya.”
Namun, pandangan itu dipertikaikan oleh bekas pegawai keselamatan Israel, Encik Adi Rotem.
“Langkah ini boleh memberi insentif baharu kepada kumpulan bersenjata untuk menculik bagi menghentikan pelaksanaan hukuman,” katanya.
Sebahagian besar rakyat Palestin akan dibicarakan di mahkamah tentera Israel, yang menurut pengkritik mempunyai perlindungan undang-undang lebih lemah berbanding sistem mahkamah awam.
Undang-undang baru itu menetapkan hukuman mesti dilaksanakan dalam tempoh maksimum 180 hari, sekali gus mengehadkan peluang untuk rayuan.
Berbeza dengan sistem di Amerika Syarikat yang memerlukan keputusan juri sebulat suara, undang-undang ini hanya memerlukan majoriti mudah hakim.
Isu hukuman mati turut mencetuskan perdebatan dari sudut moral dan agama.
Tokoh agama Yahudi, Rabai Benny Lau, menyatakan bahawa dalam tradisi undang-undang Yahudi, hukuman mati hampir mustahil dilaksanakan.
“Ini jelas lebih kepada balas dendam daripada soal keselamatan,” katanya.
Undang-undang itu diluluskan dalam konteks konflik yang semakin memuncak sejak serangan Hamas pada Oktober 2023.
Tinjauan pendapat menunjukkan majoriti rakyat Yahudi Israel menyokong hukuman mati terhadap kumpulan militan Palestin, sekurang-kurangnya secara prinsip.
Namun, pengkritik memberi amaran langkah itu boleh meningkatkan ketegangan dan menjejas usaha damai.
Menurut perangkaan Persatuan Tahanan Palestin, kira-kira 9,500 rakyat Palestin dan tahanan Arab kini ditahan di penjara Israel.
Bilangan tahanan yang jenazah mereka ditahan oleh Israel meningkat kepada 97 orang, termasuk 86 sejak serangan Israel di Jaluran Gaza, manakala jumlah keseluruhan tahanan Palestin yang meninggal dunia dalam tahanan Israel sejak 1967 meningkat kepada 326 orang.
Hukuman mati amat jarang dilaksanakan dalam sejarah kehakiman Israel dan hanya pernah dilaksanakan sekali iaitu pada 1962 terhadap pegawai Nazi, Adolf Eichmann. – Agensi berita.

