SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

PBB nilai kemajuan pelan Gaza, desak Hamas lucut senjata tanpa berlengah

PBB nilai kemajuan pelan Gaza, desak Hamas lucut senjata tanpa berlengah

Wakil khas Gaza maklumkan pentadbiran peralihan Palestin telah ditubuh bagi tadbir wilayah
Mar 25, 2026 | 11:20 AM

PBB nilai kemajuan pelan Gaza, desak Hamas lucut senjata tanpa berlengah

pelan gaza
Seorang anggota Hamas Palestin mengawal keadaan di jalan sempena Hari Raya Aidilfitri di Bandar Gaza pada 20 Mac. - Foto REUTERS

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersidang pada 24 Mac bagi menilai perkembangan pelan damai di Gaza yang diluluskan pada November lalu, di tengah-tengah gencatan senjata yang rapuh antara Israel dan Hamas serta ketegangan serantau yang semakin memuncak susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran.

Mesyuarat itu berlangsung di tengah-tengah kebimbangan bahawa kemajuan di lapangan masih tidak sekata, walaupun usaha diplomatik terus dipergiatkan.

Wakil khas Gaza di bawah Lembaga Keamanan (BoP) Presiden Amerika, Encik Donald Trump, Encik Nickolay Mladenov, memaklumkan bahawa sebuah pentadbiran peralihan Palestin telah ditubuhkan bagi mentadbir wilayah itu, satu langkah penting dalam pelaksanaan rangka kerja damai tersebut.

“Perbincangan serius sedang berlangsung ketika ini,” katanya sambil menjelaskan bahawa pelan yang dipersetujui oleh negara penjamin Amerika, Mesir, Turkey dan Qatar telah dikemukakan kepada kumpulan bersenjata berkaitan.

Pelan itu berteraskan prinsip “satu autoriti, satu undang-undang dan satu senjata”, yang memerlukan semua kumpulan bersenjata, termasuk Hamas dan Jihad Islam Palestin, menyerahkan senjata mereka kepada pentadbiran peralihan yang dikendalikan rakyat Palestin dan menggesa semua kumpulan Palestin untuk menerima rangka kerja berkenaan tanpa berlengah.

Menurut Encik Mladenov, proses itu akan dimulakan dengan pengumpulan senjata paling berbahaya terlebih dahulu, diikuti pemantauan pematuhan sebelum sebarang usaha pembinaan semula dilaksanakan.

Pada masa sama, mereka akan diberi peluang kembali ke kehidupan awam.

“Rakyat Gaza mahukan pembinaan semula, dan pembinaan semula memerlukan pelucutan senjata,” katanya, sambil menyifatkan hubungan itu sebagai “pemacu utama” pelan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan garis masa pelaksanaan atau menjelaskan tahap kemajuan rundingan dengan kumpulan berkaitan, selain tidak menyentuh kemungkinan pengunduran tentera Israel secara serentak.

“Rangka kerja ini memerlukan ruang,” katanya, sambil meminta masa dan fleksibiliti.

Pada Januari lalu, Washington memaklumkan ia memasuki fasa kedua pelan damai yang antara lain menggesa Hamas melucutkan senjata.

Serangan oleh anggota Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober 2023 sebelum ini mencetuskan operasi ketenteraan besar-besaran oleh Israel.

Pelan itu juga mencadangkan pengunduran tentera Israel secara berperingkat serta penempatan pasukan penstabil antarabangsa di kawasan berkenaan.

Amerika turut menegaskan pendiriannya dalam mesyuarat itu, apabila wakilnya ke PBB, Encik Michael Waltz, menyatakan masa depan Gaza bergantung sepenuhnya kepada pelucutan senjata Hamas.

“Masa depan Gaza bergantung sepenuhnya kepada Hamas untuk melucutkan senjatanya,” katanya sambil menggesa masyarakat antarabangsa memberi tekanan kepada kumpulan itu.

Mengulas kritikan beberapa negara, termasuk Denmark, mengenai kelewatan kemajuan dan sekatan Israel terhadap bantuan kemanusiaan, Encik Waltz mengakui proses itu tidak bergerak sepantas yang diharapkan, namun menegaskan terdapat peningkatan bekalan bantuan sejak gencatan senjata dilaksanakan.

“Adakah kita mencapai kemajuan secepat yang dituntut? Tidak,” katanya.

Wakil Palestin ke PBB, Encik Riyad Mansour, sekali lagi menyokong pelan damai yang dicadangkan oleh Trump, namun pada masa sama mengkritik tindakan Israel di lapangan.

Beliau mendakwa Israel cuba mengilhakkan tanah Palestin walaupun tindakan itu dikecam masyarakat antarabangsa, selain mengkritik sekatan terhadap bantuan kemanusiaan, keganasan ketenteraan di Gaza, serta peningkatan serangan oleh peneroka Israel di Tebing Barat.

Encik Mansour turut menegaskan bahawa rancangan peluasan petempatan Israel dan retorik pemimpin berhaluan kanan semakin menjejas usaha damai.

“Tanah Palestin bukan untuk dijual atau dirampas,” katanya. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg