Topic followed successfully
Go to BHkuTentera Israel berisiko ‘runtuh dari dalam’ akibat kekurangan anggota
Tentera Israel berisiko ‘runtuh dari dalam’ akibat kekurangan anggota
Tentera Israel berisiko ‘runtuh dari dalam’ akibat kekurangan anggota
TEL AVIV: Ketua Turus Angkatan Tentera Israel (IDF), Eyal Zamir, dilaporkan memberi amaran bahawa tentera negara itu berdepan risiko “runtuh dari dalam” susulan tekanan operasi yang semakin meningkat serta kekurangan anggota yang kritikal.
Dalam satu mesyuarat kabinet keselamatan minggu ini, Encik Zamir dikatakan membangkitkan kebimbangan serius terhadap keupayaan IDF untuk mengekalkan operasi semasa, apatah lagi menghadapi konflik pelbagai medan.
“Saya mengemukakan 10 amaran besar kepada anda semua,” katanya kepada para menteri, menurut laporan Channel 13. Beliau menegaskan bahawa Israel kini memerlukan undang-undang baharu berkaitan kerahan tentera, tugas simpanan dan lanjutan tempoh perkhidmatan wajib bagi menampung kekurangan anggota.
“Dalam masa terdekat, IDF mungkin tidak lagi bersedia untuk melaksanakan misi rutin, dan sistem anggota simpanan tidak akan mampu bertahan,” katanya.
Amaran itu mencerminkan tekanan besar yang dihadapi tentera Israel ketika negara itu terlibat dalam konflik serentak di beberapa medan, termasuk di Gaza, Lebanon dan Tebing Barat, selain ketegangan dengan Iran, lapor The Times of Israel.
Menurut laporan, IDF kini kekurangan sekitar 12,000 hingga 20,000 anggota, terutamanya dalam unit tempur.
Encik Zamir sebelum ini turut menggesa agar tempoh perkhidmatan wajib dilanjutkan semula kepada 36 bulan, selepas ia dipendekkan kepada 30 bulan pada 2024, bagi memastikan kesiapsiagaan tentera kekal terjamin.
Namun, kekurangan anggota dijangka semakin meruncing apabila kumpulan pertama tentera di bawah tempoh perkhidmatan baharu dijadualkan menamatkan tugas pada 2027.
Dalam mesyuarat sama, Ketua Komando Tengah Israel, Encik Avi Bluth, turut memberi amaran bahawa dasar pemerintah di Tebing Barat menambah beban kepada tentera.
Beliau dilaporkan berkata pembukaan penempatan baharu di Lembah Jordan dan kawasan lain memerlukan tahap keselamatan lebih tinggi, sekali gus meningkatkan keperluan anggota. “Ini adalah dasar anda, tetapi ia memerlukan perlindungan penuh kerana realiti di lapangan telah berubah – dan itu memerlukan tenaga manusia,” katanya.
Keadaan itu turut diperburuk oleh peningkatan keganasan melibatkan peneroka ekstremis terhadap rakyat Palestin, yang memaksa tentera mengalihkan pasukan dari medan lain ke Tebing Barat.
Amaran Encik Zamir mencetuskan reaksi keras daripada pemimpin pembangkang, termasuk Encik Yair Lapid, yang menyifatkan pemerintah gagal mengurus keselamatan negara dengan berkesan. “Pemerintah menghantar tentera ke dalam perang pelbagai medan tanpa strategi, tanpa sumber mencukupi dan dengan jumlah anggota yang terlalu sedikit,” katanya.
Encik Lapid turut menggesa pemerintah supaya meningkatkan usaha merekrut golongan ultra-Ortodoks, yang selama ini menikmati pengecualian daripada perkhidmatan tentera.
Bekas perdana menteri, Encik Naftali Bennett, turut menyuarakan pandangan sama, dengan menyatakan bahawa Israel mempunyai puluhan ribu lelaki muda yang layak untuk diserap ke dalam tentera.
“IDF kekurangan sekitar 20,000 anggota. Jika sebahagian kecil daripada golongan ini direkrut, masalah ini boleh diselesaikan,” katanya.
Pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu bagaimanapun menolak kritikan tersebut dan mendakwa kenyataan Encik Zamir telah disalah tafsir oleh pihak pembangkang.
Menurut kenyataan rasmi, pemerintah sedang berusaha meluluskan undang-undang berkaitan kerahan tentera dan perkhidmatan wajib, namun berdepan halangan daripada penasihat undang-undang.
Walaupun begitu, beberapa pegawai kanan tentera dilaporkan tidak menyokong rang undang-undang pengecualian yang dicadangkan, dengan menyifatkan ia tidak mencukupi untuk menangani krisis kekurangan anggota.
Amaran berulang daripada Encik Zamir menandakan kebimbangan serius dalam kalangan kepimpinan tentera bahawa konflik berpanjangan boleh menjejaskan kesiapsiagaan IDF secara keseluruhan.
Dalam satu surat kepada kepimpinan negara sebelum ini, beliau memberi amaran bahawa kekurangan anggota boleh menjejaskan keupayaan operasi dalam masa terdekat. - Agensi berita

