Topik diikuti
Pergi ke BHkuLembaga Keamanan beri amaran Gaza berisiko kekal musnah dan terbahagi
Lembaga Keamanan beri amaran Gaza berisiko kekal musnah dan terbahagi
Gesa Majlis Keselamatan PBB supaya desak Israel laksana perjanjian, Hamas lucut senjata
Lembaga Keamanan beri amaran Gaza berisiko kekal musnah dan terbahagi
NEW YORK: Wakil kanan Gaza bagi pelan damai usulan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, memberi amaran perpecahan semasa di Gaza berisiko menjadi “realiti kekal” sekali gus mengurangkan wilayah Gaza sekiranya tiada tindakan segera diambil untuk melaksanakan sepenuhnya perjanjian gencatan senjata dan proses pemulihan wilayah itu.
Dalam laporan pertama kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), utusan utama Lembaga Keamanan bagi Gaza memberitahu UNSC, tindakan Israel kini menyebabkan lebih dua juta penduduk kekal berhimpit di wilayah Gaza.
Keluasannya juga sudah berkurangan lebih separuh, berbanding sebelum ini.
Lembaga Keamanan turut menyifatkan keengganan Hamas melucutkan senjata dan menyerahkan kuasa sebagai “halangan utama” kepada pelaksanaan fasa kedua perjanjian damai itu.
“Risikonya, status quo yang semakin merosot akan menjadi kekal – Gaza yang berpecah, dengan Hamas mengekalkan kawalan ketenteraan dan pentadbiran ke atas dua juta penduduk di wilayah yang sudah tinggal kurang separuh,” kata Utusan Lembaga Keamanan bagi Gaza, Encik Nickolay Mladenov, kepada UNSC di New York.
Beliau berkata keadaan itu akan menyebabkan satu lagi generasi rakyat Gaza terus hidup dalam khemah selain menjejas keselamatan Israel serta menutup laluan ke arah penubuhan negara Palestin.
“Ia gambaran masa depan yang perlu digeruni rakyat Israel, Palestin dan seluruh rantau ini, serta perlu dielakkan bersama,” katanya.
Encik Mladenov berkata pelaksanaan perjanjian itu tidak boleh hanya bergantung kepada tekanan terhadap rakyat Palestin semata-mata.
“Pembunuhan berterusan dan sekatan Israel terhadap aliran bantuan kemanusiaan bukan isu abstrak,” katanya menerusi sidang video kepada UNSC.
Beliau berkata rakyat Palestin semakin hilang keyakinan bahawa keselamatan dan pemulihan Gaza mampu dicapai, selepas wilayah itu terus dibelenggu keganasan harian walaupun gencatan senjata masih berkuat kuasa.
Pada 21 Mei sahaja, sekurang-kurangnya enam rakyat Palestin dilaporkan terbunuh termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun, akibat serangan Israel.
Encik Mladenov menegaskan keadaan di Gaza masih terlalu buruk untuk dianggap sebagai proses pemulihan sebenar.
“Saya tidak akan berdiri di hadapan Majlis ini dan menyebut keadaan ini sebagai pemulihan, kerana tiada pemulihan berlaku,” katanya.
Menurut beliau, kira-kira 70 juta tan runtuhan kini memenuhi Gaza selepas rumah, sekolah dan hospital musnah akibat perang yang tercetus sejak Oktober 2023.
Lebih sejuta penduduk masih tinggal di khemah atau bangunan rosak tanpa perlindungan kekal, manakala kadar pengangguran terus melonjak dan perkhidmatan asas masih lumpuh.
“Senjata mungkin semakin senyap buat kali pertama dalam dua tahun, tetapi pelanggaran masih berlaku setiap hari,” katanya.
Beliau berkata kelewatan penghantaran bantuan dan sekatan berterusan terhadap akses kemanusiaan turut melemahkan keyakinan rakyat terhadap proses damai.
Dalam kenyataannya, Encik Mladenov memberi amaran kegagalan bertindak boleh menyebabkan Gaza terus terbahagi dan dikuasai Hamas untuk tempoh yang panjang.
“Risikonya ialah status quo yang semakin merosot ini menjadi kekal.
“Gaza akan terus terbahagi dengan Hamas mengekalkan kawalan ketenteraan dan pentadbiran terhadap dua juta penduduk,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa generasi kanak-kanak Gaza yang membesar dalam trauma dan khemah pelarian akan menjejas masa depan rantau itu.
Pada Januari lalu, Washington mengumumkan proses damai memasuki fasa kedua yang melibatkan pelucutan senjata Hamas, pengunduran tentera Israel secara berperingkat dan penempatan pasukan penstabil antarabangsa.
Jurucakap Hamas, Encik Hazem Qassem, menyifatkan kenyataan Encik Mladenov itu sebagai cubaan memberi tekanan politik terhadap Hamas serta mengulangi naratif Israel.
Beliau berkata Hamas tetap komited kepada gencatan senjata dan bersedia menyerahkan pentadbiran Gaza kepada Jawatankuasa Nasional Pentadbiran Gaza semasa tempoh peralihan.
“Kami bersedia menyerahkan pentadbiran secara penuh dan segera,” katanya.
Sementara itu, wakil Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Jonathan Miller, menuduh Hamas menggunakan kelewatan rundingan untuk memperkukuh semula kedudukan mereka.
“Hamas menggunakan masa ini untuk menyusun semula kekuatan, membina semula kemampuan dan memperketat kawalan terhadap penduduk awam,” katanya.
Beliau menegaskan, Hamas bukan organisasi politik yang sedang beralih kepada diplomasi.
“Ia sebuah tentera pengganas yang sedang mengekalkan keupayaan bagi perang seterusnya,” katanya.
Timbalan wakil Amerika Syarikat ke PBB, Encik Tammy Bruce, memuji pencapaian awal Lembaga Keamanan itu termasuk penubuhan pejabat wakil tinggi Gaza dan pasukan penstabil antarabangsa.
Namun beliau mengakui cabaran besar masih wujud.
“Masih terdapat cabaran besar dalam usaha membina semula Gaza dan memastikan keselamatan serta kestabilan berkekalan,” katanya.
Beliau berkata Amerika akan terus bekerjasama dengan Israel, negara jiran dan rakan antarabangsa bagi memastikan pelan damai itu berjaya dilaksanakan. – Agensi berita.
