Topik diikuti
Pergi ke BHkuLaporan: AS, Lembaga Keamanan rancang pelan Gaza tanpa Hamas
Laporan: AS, Lembaga Keamanan rancang pelan Gaza tanpa Hamas
Rundingan pelucutan senjata buntu, pembinaan semula mahu dimulakan di kawasan luar kawalan Hamas
Laporan: AS, Lembaga Keamanan rancang pelan Gaza tanpa Hamas
BAITULMAKDIS: Amerika Syarikat bersama Lembaga Keamanan yang menyelia gencatan senjata di Gaza mahu mula melaksanakan pelan pentadbiran dan pembinaan semula Gaza di kawasan yang tidak lagi berada di bawah kawalan Hamas.
Ini selepas rundingan melucutkan senjata kumpulan itu menemui jalan buntu.
Menurut seorang pegawai Lembaga Keamanan dan dua sumber lain yang mengetahui perbincangan tersebut, keputusan untuk mengaktifkan pelan kecemasan, atau ‘pelan B’, dibuat selepas usaha memujuk Hamas menyerahkan senjata berat gagal mencapai kemajuan.
Laporan syarikat media digital, Axios, menyatakan bahawa pentadbiran Presiden Amerika, Encik Donald Trump, kini mahu meneruskan pelaksanaan pelan damai 20 perkara itu tanpa menunggu persetujuan Hamas.
Pelan berkenaan sebelum ini bergantung kepada persetujuan Hamas untuk melucutkan senjata sebagai syarat utama bagi membolehkan pembentukan kerajaan teknokrat Palestin baharu, serta pembinaan semula Gaza dimulakan.
Bagaimanapun, selepas berbulan-bulan rundingan dijalankan, hampir tiada kemajuan dicapai.
Menurut sumber, rundingan itu melibatkan wakil khas Gaza bagi Lembaga Keamanan, Encik Nickolay Mladenov, diplomat Amerika serta pengantara dari Qatar, Mesir dan Turkey.
Pelan asal menetapkan Hamas perlu menyerahkan senjata berat dan menutup rangkaian terowong mereka sebagai langkah pertama.
Peringkat seterusnya pula melibatkan pelucutan senjata individu dan pembubaran kumpulan bersenjata lain, termasuk militia yang didakwa menerima sokongan Israel.
Langkah itu sepatutnya membuka laluan kepada pembentukan pemerintah teknokrat Palestin baharu, penubuhan pasukan polis Palestin yang baharu serta penempatan Pasukan Penstabilan Antarabangsa di Gaza.
Tentera Israel juga dijangka berundur dari beberapa kawasan di wilayah tersebut.
Namun, Hamas menegaskan mereka tidak akan membincangkan soal pelucutan senjata selagi Israel gagal memenuhi komitmen sendiri di bawah perjanjian gencatan senjata.
Antara tuntutan Hamas termasuk memastikan bantuan kemanusiaan disalurkan seperti dipersetujui, membuka sepenuhnya lintasan Rafah dan menghentikan serangan ketenteraan di Gaza.
Dalam sidang media di Baitulmakdis pada 13 Mei, Encik Mladenov mengakui berlaku pelanggaran gencatan senjata oleh Israel.
“Orang awam masih terbunuh. Bagi rakyat Palestin di Gaza, perang sebenarnya belum benar-benar berakhir,” katanya.
Beliau pada masa sama mendakwa Hamas sedang mengukuhkan kawalan mereka ke atas penduduk Gaza bagi menunjukkan bahawa “tiada apa boleh berlaku tanpa kebenaran mereka”.
“Kita perlu bergerak ke hadapan untuk keluar daripada keadaan yang menyedihkan ini,” tambahnya.
Menurut laporan itu, perang Iran-Israel turut menyebabkan perhatian pentadbiran Encik Trump terhadap Gaza semakin berkurangan, walaupun konflik tersebut dijangka memberi kesan besar kepada Hamas yang menerima sokongan kewangan dan ketenteraan daripada Teheran.
“Semakin lemah Iran, semakin lemah Hamas,” kata Encik Trump dalam wawancara bersama Axios sebelum ini.
Pegawai Amerika, Israel dan negara pengantara turut mendakwa Hamas kini memperlahankan rundingan kerana mahu melihat terlebih dahulu bagaimana perang serantau itu berakhir sebelum membuat sebarang keputusan besar.
Di sebalik kebuntuan itu, Encik Mladenov dan diplomat Amerika, Encik Aryeh Lightstone, dilaporkan bertemu Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, minggu lalu bagi membincangkan keadaan semasa di Gaza.
Hasil pertemuan tersebut membawa kepada keputusan untuk mula mempertimbangkan ‘pelan B’.
Menurut sumber, beberapa kumpulan kerja telah dibentuk untuk menyediakan cadangan langkah seterusnya dalam tempoh seminggu.
Walaupun terdapat cadangan daripada pihak Israel supaya perang di Gaza disambung semula bagi memecahkan kebuntuan, pentadbiran Encik Trump dan Lembaga Keamanan dilaporkan menolak idea tersebut.
“Kami tidak fikir perang di Gaza perlu disambung semula.
“Kami juga percaya masih ada pilihan lain untuk melaksanakan pelan damai 20 perkara itu,” kata seorang pegawai Amerika.
Dalam taklimat tertutup di Institut Washington bagi Dasar Asia Barat Timur Tengah minggu lalu, Encik Mladenov dilaporkan berkata ‘pelan B’ adalah untuk mula melaksanakan pelan damai itu di kawasan Gaza yang tidak dikuasai Hamas.
Pelan tersebut termasuk memindahkan pemerintah teknokrat Palestin yang kini beroperasi dari Kahirah ke kawasan berkenaan, memulakan projek pembinaan semula, serta menempatkan Pasukan Penstabilan Antarabangsa dan pasukan polis Palestin baharu yang sedang menjalani latihan di Mesir.
Pada peringkat seterusnya, pemerintah Palestin dijangka menggalakkan penduduk berpindah dari kawasan yang masih dikawal Hamas ke kawasan yang dibangunkan di bawah pelan baharu itu.
Bagaimanapun, Hamas didakwa cuba menghalang usaha sedemikian, termasuk menghalang pekerja pembinaan Palestin memasuki Rafah untuk menyertai projek pembinaan semula yang diterajui Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Lembaga Keamanan kini berharap ‘pelan B’ itu dapat diumumkan secara rasmi pada awal Jun.
“Kami tahu Hamas akan terus cuba menghalang usaha ini. Tiada siapa mahukan dua Gaza.
“Ia akan menjadi proses yang panjang dan sukar, tetapi kami komited untuk melaksanakan pelan damai Presiden Trump,” kata seorang pegawai Lembaga Keamanan.
