Topik diikuti
Pergi ke BHkuLembaga Keamanan akui pelan damai Gaza masih buntu
Lembaga Keamanan akui pelan damai Gaza masih buntu
Hamas boleh sertai politik Palestin jika tinggalkan gerakan bersenjata
Lembaga Keamanan akui pelan damai Gaza masih buntu
BAITULMAKDIS: Wakil tertinggi Lembaga Keamanan Antarabangsa, Encik Nickolay Mladenov, mengakui usaha membina semula Gaza dan melaksanakan sepenuhnya perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas masih berdepan jalan buntu walaupun tujuh bulan sudah berlalu sejak gencatan senjata bermula.
Menurut beliau, rakyat Palestin di Gaza masih hidup dalam keadaan sengsara, manakala Israel pula belum memperoleh jaminan keselamatan yang diharapkan selepas perang selama dua tahun yang memusnahkan wilayah itu.
“Tujuh bulan selepas gencatan senjata, pintu menuju masa depan Gaza masih tertutup. Ini bukan apa yang dijanjikan kepada rakyat Palestin dan bukan juga apa yang mereka layak terima,” katanya dalam sidang media di Baitulmakdis pada lewat 12 Mei. Beliau menambah bahawa keadaan itu juga gagal memberikan “keselamatan untuk Israel bergerak ke hadapan seperti yang diinginkan rakyat Israel.”
Encik Mladenov, diplomat Bulgaria dan bekas utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kini mengetuai usaha antarabangsa yang disokong Amerika Syarikat bagi memantau gencatan senjata serta pelan pembangunan semula Gaza.
Namun, beliau mengakui kemajuan terhadap beberapa perkara utama dalam perjanjian itu masih sangat sedikit, termasuk usaha melucutkan senjata Hamas dan kumpulan bersenjata lain serta memulakan pembinaan semula Gaza yang musnah teruk akibat peperangan.
“Kita mempunyai gencatan senjata dan ia masih bertahan. Tetapi ia tidak sempurna. Malah sangat jauh daripada sempurna,” katanya. “Terdapat pelanggaran setiap hari dan sebahagiannya sangat serius.”
Dalam kenyataan yang dilihat paling tegar terhadap Hamas setakat ini, Encik Mladenov menuduh kumpulan itu lebih memberi tumpuan untuk mengekalkan pengaruh politik dan ketenteraannya berbanding membantu rakyat Gaza keluar daripada penderitaan.
Beliau mendakwa Hamas mengenakan cukai terhadap penduduk yang sudah kehilangan hampir segala-galanya akibat perang. “Hamas mengenakan cukai kepada rakyat di jalanan yang sudah tidak mempunyai apa-apa lagi untuk diberikan,” katanya.
Beliau turut menuduh kumpulan itu menghalang pekerja bantuan daripada membina penempatan sementara bagi membolehkan rakyat Gaza keluar daripada khemah yang dipenuhi tikus dan berpindah ke tempat tinggal yang lebih manusiawi.
“Untuk tujuan apa?” soal Encik Mladenov. “Adakah untuk mendapatkan syarat rundingan yang lebih baik? Untuk membuktikan tiada apa yang boleh bergerak di Gaza tanpa kebenaran mereka? Atau untuk menutup peluang rakyat Palestin menentukan masa depan mereka sendiri?”
Walaupun mengkritik Hamas secara terbuka, beliau tidak menetapkan sebarang tarikh akhir untuk kumpulan itu menerima pelan damai berkenaan atau mengeluarkan ancaman jelas sekiranya Hamas terus menolak cadangan tersebut.
Sebaliknya, beliau memberi gambaran suram bahawa Gaza akan terus terperangkap dalam penderitaan dan pertumpahan darah jika kebuntuan berterusan.
Menurutnya, Hamas masih boleh mempunyai masa depan dalam politik Palestin sekiranya kumpulan itu bersedia menyerahkan senjata dan meninggalkan perjuangan bersenjata.
“Kami tidak meminta Hamas lenyap sebagai gerakan politik,” katanya. “Sebuah parti politik yang menolak aktiviti bersenjata masih boleh bertanding dalam pilihan raya Palestin.”
Namun beliau menegaskan kewujudan kumpulan bersenjata dengan rangkaian ketenteraan sendiri tidak boleh diterima bersama pentadbiran peralihan Palestin yang dicadangkan di Gaza. “Apa yang tidak boleh dirunding ialah kewujudan militia bersenjata dengan sistem ketenteraan, senjata dan rangkaian terowong sendiri,” katanya lagi.
Pelan yang dipimpin Amerika Syarikat itu melibatkan penubuhan Jawatankuasa Pentadbiran Gaza, sebuah kumpulan teknokrat Palestin yang dijangka mengambil alih fungsi pentadbiran di wilayah tersebut.
Jurucakap Hamas, Encik Hazem Qassim, berkata pemerintah yang dikendalikan Hamas di Gaza bersedia menyerahkan pentadbiran wilayah itu kepada jawatankuasa tersebut. Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan sama ada sayap tentera Hamas sanggup menyerahkan senjata mereka.
Setakat ini, Hamas masih bertegas enggan melucutkan senjata walaupun perkara itu menjadi syarat utama dalam pelan damai antarabangsa.
Dalam sidang media pertamanya sejak memegang jawatan itu pada Januari lalu, Encik Mladenov turut mengkritik Israel walaupun secara lebih berhati-hati.
Beliau mengakui serangan udara Israel yang berlaku hampir setiap hari di Gaza, termasuk di kawasan bandar yang jauh daripada ancaman langsung terhadap tentera atau rakyat Israel, merupakan pelanggaran terhadap gencatan senjata.
Penganalisis turut menuduh Israel melanggar syarat gencatan senjata Oktober 2025 dengan menguasai kawasan melebihi garis yang dipersetujui selain menyekat penghantaran bantuan kemanusiaan dan peralatan pembersihan runtuhan.
Jurucakap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bagaimanapun enggan mengulas mengenai kenyataan Encik Mladenov.
Dalam pada itu, Encik Mladenov menggambarkan keadaan kemanusiaan di Gaza sebagai semakin kritikal dengan ribuan keluarga masih tinggal di khemah sempit yang dipenuhi tikus sambil berdepan “kesengsaraan, keganasan dan ketidakpastian.”
Beliau menyifatkan pelan damai yang dibawa oleh Lembaga Keamanan sebagai usaha paling besar dan paling mendapat sokongan antarabangsa untuk menyelesaikan isu Gaza secara menyeluruh.
Menurutnya, pelan itu melibatkan beberapa langkah yang perlu dilaksanakan secara berperingkat oleh Hamas dan Israel, dengan setiap langkah disahkan terlebih dahulu sebelum proses seterusnya diteruskan.
Beliau memberi amaran bahawa pilihan yang tinggal hanyalah antara menerima pelan damai itu atau mengekalkan keadaan semasa yang menyaksikan Israel terus menguasai sebahagian besar Gaza sementara Hamas kekal bertapak di kawasan lain.
“Kami cuba menyelesaikan masalah Gaza, bukan sekadar menguruskannya dan menyembunyikannya seperti sebelum ini,” katanya.
Namun cadangan bahawa Hamas masih boleh memainkan peranan politik selepas melucutkan senjata menerima reaksi skeptikal daripada beberapa penganalisis Palestin. Kolumnis Palestin dari Gaza, Encik Akram Atallah, berkata identiti Hamas sendiri terbina atas gerakan bersenjata. “Hamas dilahirkan dengan senjata,” katanya. “Hamas tidak boleh menjadi Hamas tanpa senjata.” - Agensi berita
