SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Lembaga Keamanan desak Hamas lucut senjata di Gaza jelang hujung minggu

Lembaga Keamanan desak Hamas lucut senjata di Gaza jelang hujung minggu

Tuntut militan serah hampir semua senjata, kongsi peta rangkaian terowong bawah tanah
Apr 7, 2026 | 1:51 PM

Lembaga Keamanan desak Hamas lucut senjata di Gaza jelang hujung minggu

Lembaga Keamanan, desak Hamas lucut senjata, Gaza
Anggota Briged Ezzedine Al-Qassam milik Hamas dan Briged Quds milik Jihad Islam Palestin dikerah di persimpangan jalan semasa solat Aidilfitri di Dataran Al-Saraya, Bandar Gaza, pada 20 Mac 2026. Terkini, Lembaga Keamanan mendesak Hamas melucutkan senjata di Gaza menjelang hujung minggu ini. - Foto AFP

WASHINGTON: Lembaga Keamanan yang disokong Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menuntut Hamas memuktamadkan perjanjian pelucutan senjata di Gaza sebelum hujung minggu ini.

Demikian menurut empat diplomat yang terlibat dalam rundingan itu, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap kumpulan tersebut agar melepaskan kuasa.

Tuntutan itu dibuat oleh Lembaga Keamanan, badan antarabangsa yang ditubuhkan bagi memantau gencatan senjata di Gaza sejak enam bulan lalu, dan memerlukan Hamas menyerahkan hampir semua senjatanya serta berkongsi peta rangkaian terowong bawah tanahnya.

Perwakilan Lembaga Keamanan dan Hamas dijadual bertemu di Kahirah, Mesir, pada 7 April, bagi memuktamadkan perjanjian itu menjelang hujung minggu, walaupun para diplomat menyatakan tarikh akhir tersebut masih boleh berubah.

Langkah itu mencerminkan usaha Washington untuk memastikan gencatan senjata berkekalan, di samping menunjukkan ketidaksabaran yang semakin meningkat terhadap Hamas, walaupun perhatian Amerika dan Israel kini tertumpu kepada konflik dengan Iran.

Menurut dokumen dalaman Lembaga Keamanan yang ditukil oleh The New York Times pada 6 April, jika Gaza melaksana pelucutan senjata, tentera Israel akan berundur sepenuhnya atau sebahagian besarnya dari wilayah tersebut.

Sekatan terhadap kemasukan barangan penting juga akan ditarik balik, anggota militan diberikan pengampunan, dan rumah sementara akan disediakan bagi penduduk yang kehilangan tempat tinggal.

Wakil kanan Lembaga Keamanan bagi Gaza, Encik Nickolay Mladenov, telah menyampaikan cadangan pelucutan senjata itu kepada pimpinan Hamas pada Mac lalu.

Beliau memberi amaran Hamas bakal berdepan akibat yang serius jika ia menolak pelan tersebut.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, turut memberi amaran jika Hamas enggan melucutkan senjata secara sukarela, ia akan dilakukan dengan paksaan.

Namun, Hamas yang kekal sebagai kuasa utama di Gaza dilihat keberatan menerima syarat tersebut.

Jurucakap sayap ketenteraan Hamas, Encik Abu Obeida, menegaskan kumpulan itu menolak sebarang konsesi yang Israel tidak dapat lakukan di medan tempur.

“Cara isu senjata ini dikendalikan adalah satu usaha memalukan oleh pihak pendudukan untuk terus membunuh dan memusnahkan rakyat kami,” katanya.

Beliau menambah, Israel perlu terlebih dahulu memenuhi komitmennya di bawah perjanjian gencatan senjata pada Oktober 2025, sebelum sebarang rundingan mengenai pelucutan senjata Hamas dirundingkan.

Dalam pertemuan di Kahirah sebelum ini, pemimpin Hamas turut mengkritik Israel kerana gagal membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan dalam jumlah mencukupi, serta meneruskan serangan di Gaza.

Menurut perjanjian terdahulu itu, sekurang-kurangnya 4,200 lori bantuan sepatutnya memasuki Gaza setiap minggu.

Namun, data menunjukkan hanya sekitar 1,000 lori dibenarkan masuk dalam minggu kedua Mac.

Israel pula mempertahankan tindakannya dengan menyatakan sebahagian individu yang disasarkan adalah militan yang mengancam keselamatan tenteranya.

Sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada Oktober, ratusan individu, termasuk orang awam, dilaporkan terbunuh dalam serangan berterusan.

Lembaga Keamanan kini turut memberi tekanan pada Israel agar memenuhi komitmen tersebut, termasuk membenarkan sekurang-kurangnya 600 lori bantuan memasuki Gaza dalam tempoh terdekat.

Sekiranya Hamas bersetuju melucutkan senjata, ia berpotensi membuka laluan kepada pembinaan semula Gaza, yang sebahagian besarnya musnah selepas dua tahun peperangan.

Namun, bagi ramai anggota Hamas, pelucutan senjata dianggap sebagai tanda menyerah kalah.

Di peringkat serantau, usaha diplomatik terus dipergiat, termasuk pertemuan pemimpin Hamas dengan Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, di Istanbul.

Sementara itu, seorang penduduk Gaza yang dipindahkan, Encik Nidal Kuhail, berkata beliau menyokong sebarang perjanjian yang mampu mengembalikan kehidupan normal di wilayah tersebut.

“Selepas semua kemusnahan ini, perkara paling penting adalah pembinaan semula,” katanya.

“Jika perjanjian ini boleh mencapainya, Hamas perlu menerimanya.” – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg