Topik diikuti
Pergi ke BHkuKorban nahas kereta api Bekasi meningkat kepada 16
Korban nahas kereta api Bekasi meningkat kepada 16
Korban nahas kereta api Bekasi meningkat kepada 16
JAKARTA: Angka korban dalam nahas membabitkan kereta api Argo Bromo Anggrek dan KRL Commuter Line di Stesen Bekasi Timur, Jawa Barat, meningkat kepada 16 orang pada 29 April, selepas seorang pesakit yang cedera parah meninggal dunia selepas menjalani pembedahan di hospital daerah.
Pengarah hospital daerah, Cik Ellya Niken Prastiwi, berkata 22 pesakit yang cedera masih dirawat di hospital berkenaan, termasuk tiga yang ditempatkan di Unit Jagaan Rapi (ICU).
“Seorang pesakit di ICU meninggal dunia selepas menjalani pembedahan,” katanya.
Menurut Cik Ellya, hospital itu setakat ini mencatatkan empat kematian berkait nahas tersebut.
Secara keseluruhan, pihak berkuasa mengenal pasti 54 mangsa dalam tragedi itu.
Daripada jumlah berkenaan, 16 disahkan meninggal dunia, tiga dirujuk ke kemudahan kesihatan lain, 21 masih menerima rawatan, manakala 26 sudah dibenarkan pulang.
Nahas berlaku lewat malam 27 April berhampiran Stesen Bekasi Timur dan mencetuskan tindak balas segera daripada pihak berkuasa peringkat daerah serta nasional.
Tumpuan ketika ini diberikan kepada rawatan mangsa, bantuan kepada keluarga dan siasatan keselamatan bagi menentukan punca penuh kejadian.
Gabenor Jawa Barat, Encik Dedi Mulyadi, berkata pemerintah wilayah akan menanggung sepenuhnya kos rawatan semua mangsa.
Beliau berkata pentadbiran wilayah turut memperuntukkan 20 bilion rupiah ($1.56 juta) sebagai dana rangsangan bagi menaik taraf kemudahan di hospital yang merawat mangsa.
Bantuan kewangan juga disalurkan terus kepada mangsa dan keluarga mereka.
Pesakit yang masih dirawat akan menerima 10 juta rupiah setiap seorang bagi membantu keperluan isi rumah sepanjang tempoh pemulihan, khususnya bagi mereka yang tidak dapat bekerja buat sementara waktu.
Keluarga mangsa yang meninggal dunia pula menerima pampasan 50 juta rupiah.
“Mereka yang cedera mungkin tidak dapat bekerja untuk beberapa waktu. Kami mahu memastikan keluarga mereka terus mendapat sokongan dan anak-anak mereka dapat meneruskan pendidikan,” kata Encik Dedi.
Dalam perkembangan berkaitan, dua jenazah mangsa nahas itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Umum Mangun Jaya, Kabupaten (Daerah) Bekasi, pada 29 April.
Kedua-dua mangsa dikenal pasti sebagai Allahyarhamha Nur Ainia Eka Rahmadhynna dan Allahyarhamha Arinjani Novita Sari, yang merupakan kakitangan KompasTV.
Menurut laporan Detikcom, proses pengebumian berlangsung sejak pagi dengan kehadiran ahli keluarga dan rakan-rakan.
Jenazah Allahyarhamha Nur Ainia tiba di kawasan perkuburan pada kira-kira 9.30 pagi waktu tempatan, manakala jenazah Allahyarhamha Arinjani tiba sekitar 10.20 pagi.
Kedua-duanya dikebumikan berdekatan.
Sementara itu, perhatian orang ramai turut tertumpu kepada rakaman video yang menunjukkan kesedihan mendalam bapa kepada seorang lagi mangsa, Cik Vica Acnia Fratiwi.
Dalam hantaran akaun Instagram @noise.talks pada 29 April, lelaki itu dilihat tidak dapat menahan air mata ketika memeluk keranda anak perempuannya.
Menurut keterangan hantaran itu, sehari sebelum pengebumian, bapa mangsa masih berusaha mencari anaknya dengan penuh harapan.
Pada 28 April beliau dilihat berada di Hospital Polis Kramat Jati, Jakarta Timur, sambil membawa gambar Cik Vica dan menyusuri beberapa ruang hospital untuk mendapatkan maklumat mengenai keberadaan anaknya.
Namun, pencarian itu akhirnya berakhir dengan berita duka selepas proses pengenalan jenazah selesai dilakukan. – Agensi berita.
